Thursday, November 19, 2009

SS - Pemilihan nama watak

Entri ini bagi menjawab soalan dalam e-mel yang saya terima. Maaf, lambat beri respons. Suka diingatkan jawapan ini syok sendiri; mewakili pandangan peribadi saya. Ia mungkin bercanggah dengan realiti sebenar dalam dunia penulisan.

Bagaimana nama dipilih?
Bagi saya pemilihan nama watak itu terpulang kepada penulis. Selalunya ia diputuskan oleh beberapa perkara:
1.Ada yang mahu mengabdikan nama kawan-kawan sebagai watak dalam karya mereka.
2.Ada yang menggunakan nama orang yang dibenci untuk watak jahat.
3.Ada yang mencari nama-nama dalam buku agama; yang ada makna yang baik-baik
4.Ada yang terbaca di mana-mana terus suka dengan nama itu


Perlukah dimaklumkan ataupun minta kebenaran guna nama orang yang kita kenal?
Nama tiada copryright. Sesiapa sahaja boleh guna nama itu. Tiada akta khusus cakap kita perlu minta kebenaran (maksud saya nama orang biasa-biasa macam kita ya. Tidak tahulah pula ada orang yang namanya sudah didaftar). Tetapi mungkin kita mahu beritahu apabila kita sengaja guna nama kawan baik kita dan sebagainya. Kalau watak jahat pula, saya selalu elakkan guna nama orang di sekeliling, bimbang salah faham wujud. Malah, watak baik sekalipun, tengok keadaan; sebabnya watak utama saya selalunya ada sedikit kejahatan dalam dirinya. Nanti, orang itu sangka saya ada gambaran begitu (yang buruk-buruk) tentang dia pula. Masalah pula nanti! :P


Kesimpulan; tiada peraturan khusus untuk memilih nama watak. Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan:
1.Nama yang realistik. Janganlah pilih nama yang terlalu bombastik kerana ada pembaca tidak suka; susah menyebut, mengingat ataupun nampak tidak real. Senang cakap nama itu terlalu 'cantik'.
2.Sesetengah nama selalunya dikaitkan dengan karakter. Contohnya, apabila guna nama Badrul; selalunya dibayangkan lelaki itu playboy. Manakala nama Muhammad Taufik seperti nama orang baik-baik. (Ini hanya contoh persepsi yang timbul).
3.Perbincangan dengan editor. Ada keadaan di mana editor akan minta nama ditukar kerana faktor kesesuaian. Mungkin nama itu terlalu moden berbanding perwatakan (kecuali disengajakan). Mungkin juga banyak sangat nama watak dalam novel itu kedengaran sama; contohnya hampir kesemua nama bermula huruf A dan sebagainya.
4.Meletakkan nama orang yang kita (yang kita benci) sebagai watak jahat, saya anggap itu sesuatu yang berisiko. Sebabnya, novel kita akan dicetak berulang kali(kalau laku ye :P), katakan selepas dua tahun, kita sudah berbaik dengan orang itu, mungkinkah kita akan rasa kesal kerana guna nama dia sebagai sejahat-jahat manusia dalam novel kita?

Tepuk dada, tanya selera.

Friday, October 23, 2009

CERPEN - Teksi Untuk Ana

Ana menghela nafas panjang. Keluhan yang dalam. Pesan ibu supaya tidak mengeluh sudah dilanggar. Dengan hujung lengan baju, Ana meyeka peluh yang memercik di dahi. Mata Ana menghala ke jalan berbukit yang perlu dilaluinya. Perjalanannya masih panjang tetapi sungguh, Ana keletihan. Walaupun tiada keyakinan, Ana berharap ada yang datang membantu.
Saat hampir berputus asa, tiba-tiba sebuah teksi berhenti di hadapan Ana.
Ana tergamam. Mahu mendekati teksi itu, Ana serba salah. Tetapi teksi itu kelihatan mengujakan. Lalu Ana mendekatinya. Dibelek luar dalam secara sepintas lalu, Ana rasa selesa. Tanpa sedar, ada rasa mahu menaiki teksi itu. Ya, Ana mahu mencuba, berharap teksi itu sebagai penyelamat keadaan. Ana berharap teksi itu akan membantunya meneruskan perjalanan yang entah bila akan terhenti.
Malang untuk Ana, teksi itu bukan untuk Ana. Ternyata teksi itu sudah memilih penumpangnya sendiri. Lalu apa sahaja yang mampu Ana buat?
Ana terkilan. Kalau sudah ada penumpang lain yang jadi pilihan, mengapa berhenti di hadapan Ana? Mengapa tidak terus berlalu? Mengapa membuatkan Ana berharap pada yang tiada?
Namun, siapalah Ana untuk mempertikaikan takdir. Teksi itu ditakdirkan berhenti di hadapannya. Siapa Ana untuk mempersoalkan kewajarannya?
Ana membiarkan teksi itu berlalu. Biarkan sahaja kerana teksi itu bukan untuk Ana. Ana terduduk, terluka. Mata Ana dipejam. Memikir. Harus bagaimana? Teruskan perjalanan ataupun menunggu teksi lain? Akan adakah teksi untuk Ana?
Perlahan nafas dihela. Mata dibuka. Keyakinan yang sedikit sudah tiada. Ana tahu Ana perlu melangkah. Tetapi buat seketika, Ana mahu begini sahaja....

Monday, October 19, 2009

SS - Cinta pertama? - Tiada kaitan dengan tip menulis :P

Terlebih dahulu, wah saya update entri pada hari terakhir Syawal. Sempat lagi wish raya? Err....

Editor saya, Widad Soraya (ceh, bila pula saya bayar gaji dia) pernah bertanya, mengapa dalam cerita saya, mesti ada kisah cinta pertama ataupun mungkin perasaan yang tidak kesampaian yang terbawa-bawa hingga ke tua?
Adakah kerana saya mengalaminya. :)

Baru-baru ini, seorang pembaca bertanya perkara yang sama. Adakah ini pengalaman saya? Dia mahukan pendapat saya kerana dia juga dalam dilema.

Juga, seorang rakan lama berjaya menjejaki saya. Katanya, dahulu semasa sekolah, dia suka saya. Hehe... kembang mak cik. (Selalunya hanya saya yang suka orang hoh...) Eh, saya lupa tanya dia adakah saya yang pertama? Rasanya tidak hoh....

Ini jawapan saya untuk mereka.

Kepada Widad saya katakan, ya. Ada benar dan tidaknya. Tetapi yang pasti dalam CR, watak Wan Radzi itu adaptasi daripada watak kawan saya.


Kepada pembaca itu, ini jawapan saya.

Cinta pertama untuk saya, saya pun tidak tahu yang mana. Sebab crush masa sekolah adalah, tetapi semuanya tergantung begitu sahaja. Adakah boyfriend pertama itu cinta pertama? Tetapi bagaimana dengan crush sebelum itu?

Tetapi, ya, saya ambil ia sebagai inspirasi menulis cerita. Senang cakap saya 'hidup dalam angan-angan'. Selalu berpegang pada kenangan lama yang sepatutnya dilepaskan.

Untuk memberi pendapat saya rasa tidak layak. Apatah lagi saya tidak tahu dilema saudari.
Tetapi, pandangan saya begini sahaja. Crush ataupun cinta ataupun kenangan yang sudah berlalu, biarkan ia berlalu. Sebab yang kita ada adalah sekarang dan insya-Allah masa depan.
Kalau betul cinta pertama itu datang semula dan ianya untuk awak, dan awak masih mahu, grab it.
Tetapi kalau ia tidak datang, sebaliknya awak hanya menunggu sesuatu yang tidak pasti, let it go and move on.

Kadangkala perasaan dalam hati itu sudah tiada, cuma kita tidak mahu lepaskan, jadi kita anggap ia ada.
Saya beri contoh ya. Saya pernah crush pada seorang lelaki semasa sekolah. kami lost contact berbelas tahun. dalam tempoh itu, banyak kali saya berkira-kira mahu mencarinya. Saya mahu sangat tahu hidupnya sekarang dan ada juga berharap dia suka saya. (Hehe...) Hinggalah akhirnya hasrat saya tercapai.

Tetapi apabila kami bertemu kembali, rasa teruja itu sekejap sahaja. seketika terbuai-buai oleh perasaan dulu; kenangan lama. seketika, saya sedar, saya tidak rasa apa-apa lagi. kerana masa sudah berlalu, dan perasaan yg saya pendam itu sebenarnya untuk dia yang berusia 15 tahun pada masa itu. bukan dia yang sekarang.

(Sebab itu kalau awak perasan persamaan dalam IK dan MC adalah Ann dan Zafir tidak end up dengan crush or should I call their 1st love?

Semoga saudari dipermudahkan membuat keputusan. :)



Berkenaan kawan saya itu pula...
Saya pernah berada di tempat dia, jadi saya faham keterujaan dia. Saya juga faham yang dia tidak rasa apa-apa lagi.
Tetapi, ya, saya sedikit kecewa. Buat apa cari saya apabila sudah tidak rasa apa-apa? Buat apa luahkan apa yang sudah tiada? Ya, saya rasa hidup saya akan lebih mudah sekiranya dia masih suka saya. Sekurang-kurangna itu yang saya harap. Jadi, saya tidak perlu pening-pening. Terima sahaja apa yang datang hoh.
Hmm... nampaknya saya masih perlu menunggu petunjuk dari langit. Eh, tetapi, bukankah saya sudah tidak percaya pada istilah true love mahupun soulmate? Hahaha....


Kepada semua yang terperangkap dalam dilema cinta pertama yang sudah tiada tetapi masih berharap pada keajaiban.... terpulang. Tetapi pilihlah untuk hidup gembira. With or without your first love....

Monday, August 24, 2009

Salam Ramadan

Alhamdulillah, hari ini masuk hari ketiga kita berpuasa. Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua orang yang mengenali saya (sebagai saya, Leeya Myra mahupun Aizam Aiman) sekiranya saya ada berbuat salah dalam bentuk apa-apa pun. Kata-kata, perbuatan, layanan dan sebagainya.
Halalkan segala-galanya. Saya memaafkan semua orang; sama ada saya tahu ataupun tidak apa kesalahan saudara-saudari kepada saya.

:) Macam over sahaja hoh. Tetapi saya serius.

Okey, insya-Allah kita bertemu di dalam entri yang lain.

Semoga Ramadan kali ini dilalui hingga penghujung dengan lebih baik berbanding terdahulu. Lalalala~

Tuesday, August 18, 2009

SS - Apa hendak buat apabila manuskrip ditolak?

Seperti selalu, saya ulang. Entri dibawah label SS alias Syok Sendiri adalah pandangan peribadi saya. Ia berdasarkan sedikit pengalaman dan pengetahuan saya. Mungkin ia bermanfaat. Mungkin juga ia tidak ada kaitan dengan yang membaca. Pandai-pandailah ya. :P

Saya tulis entri ini berdasarkan soalan Ann. Kata Ann, sudah 4 kali dia menghantar manuskrip tetapi ditolak.

Soalan saya kepada Ann.

1.Adakah manuskrip yang sama ditolak? Ataupun yang berbeza?
2.Pernahkah saudari bertanya mengapa manuskrip saudari ditolak?
3.Manskrip saudari ditolak 100 peratus ataupun dicadangkan supaya diubah/dibaiki?
4.Pernahkah saudari menyuruh orang terdekat membacanya?
5.Pernahkah saudari menganalisa manuskrip saudari dan membandingkan dengan yang berada dalam pasaran?


Sedikit komen, harap membantu:

Mungkin saudari boleh cuba menulis manuskrip lain sahaja ataupun memperbaikinya (maksudnya merombak dengan banyak – mungkin 50 - 80peratus). Tetapi, sebelum menulis yang lain, kenal pasti dahulu kelemahan dalam manuskrip terdahulu. Tanyakan kepada penerbit yang menolak, mengapa manuskrip itu ditolak? Sekiranya mereka tidak beri jawapan, boleh juga tanya pendapat rakan-rakan. Atau paling tidak, bandingkan karya saudari dengan karya terbitan penerbit itu. Lihat perbezaannya. Mungkin karya saudari lemah daripada segi olahan? Mungkin juga tema?
Tanyakan juga kepada penerbit kritera karya yang biasa diterima. Ataupun mungkin penerbit mahukan kelainan; tidak mahu karya yang lebih kurang sama dengan yang sudah diterbitkan.
Tanpa mengenal pasti kelemahan, saudari mungkin mengulangi kesilapan yang sama.

Sekiranya penerbit meminta saudari mengubah, jangan berputus asa. Itu perkara biasa. Kali pertama saya menghantar karya, editor meminta saya mengubah dan menambah di sana sini. Saya juga diminta membaca buku terbitan penerbit itu sebagai panduan. Itu perkara biasa yang perlu dilalui oleh penulis ataupun orang yang mahu menjadi penulis.

Apabila berkesempatan, hadiri bengkel-bengkel penulisan. Ini dapat membantu saudari mendapat pendedahan yang lebih. Banyakkan membaca pelbagai jenis genre, kenal pasti genre yang sesuai dengan jiwa saudari. Cari gaya olahan tersendiri. Ini mengambil masa. Lihat gaya olahan ramai penulis. Somehow, saudari akan jumpa gaya saudari.

Cuba hantar semula apabila sudah yakin ia lebih baik daripada sebelumnya. Ada banyak penerbit di luar sana. Dapatkan panduan daripada mereka. KLIK UNTUK BACA ENTRI INI SEBAGAI RUJUKAN

Paling penting, berdoalah di samping berusaha. Berdoa diberi idea menulis, ditunjukkan jalan. Berdoa juga diberi petunjuk sama ada ini bidang yang sesuai ataupun mungkin sebenarnya saudari mempunyai bakat dalam bidang lain. Mintalah petunjuk dari langit.

Selamat menulis. :)

Friday, August 14, 2009

Siapa Saya?

Ada yang bertanya biodata saya. Jadinya saya ringkaskan di bawah berkenaan saya. Saya pun tidak pasti hari ini ada mood mahu bercerita tentang peribadi saya:

Penulis novel dewasa dan novel remaja bahasa Melayu.
Juga seorang editor di sebuah syarikat penerbitan.

Karya:
Diterbitkan oleh Alaf 21 menggunakan nama pena Leeya Myra
2004 – Mencari Cinta
2006 – Izinkan Kubahagia
2009 – Ceritera Rindu


Diterbitkan oleh PTS One Sdn. Bhd. menggunakan nama pena Aizam Aiman
2005 – My Angel
2006 – My Hero
2008- My Secret
2009 – Sayalah Puteri Raja

Blog:
www.leeya-myra.blogspot.com
www.aizam-aiman.blogspot.com

E-mel:
leeya.myra@yahoo.com
aizamaiman@gmail.com
roswell_124@yahoo.com


Fakta lain tentang saya:
1.Kurang percaya wujudnya 'true love' antara lelaki dan perempuan (terutama diri sendiri, orang lain mungkin mendapatnya) tetapi menulis tentang itu.
2.Pemalas dan pentingkan diri sendiri selain keluarga.
3.Kurang bersosial, hanya ada beberapa orang kawan termasuklah dua orang kawan baik.
4.Sangat percaya diri dilahirkan sebagai penulis walaupun bakat tidak seberapa. Hahahaha :P
5.Suka makan, tidur, berkhayal, menonton drama terutama Cina, Korea, Jepun. Juga drama Inggeris. Channel kegemaran adalah 8tv dan NTV7. (Bila balik kampung ada Astro, sangat suka tengok AXN dan Hallmark).
6.Apabila merasakan diri tidak ada pencapaian, rasa tidak berguna, akan cuba siapkan novel. Bila terbit, akan rasa telah melakukan sesuatu dalam hidup sebagai pencapaian peribadi. :)
7.Kehidupan berlegar soal kerja; apabila terlalu banyak kerja rasa bosan dan penat. Tetapi apabila tidak buat kerja, rasa kosong, tidak tahu hendak buat ataupun fikir apa.
8.Berharap dapat berperanan membawa sedikit perbezaan dalam hidup orang lain.
9.Mencari ketenangan dan kedamaian hidup di dunia juga di akhirat.
10.Berharap dapat mencintai Allah lebih daripada segala-galanya setiap detik melalui perbuatan, kata-kata dan dalam hati.

Thursday, July 30, 2009

SS - Mula menulis dan menulis....

Salam untuk semua. Semoga mendapat rahmat dan perlindungan daripada-Nya.
Seperti selalu, saya ulang kata. Entri dibawah label SS adalah pandangan peribadi saya dengan harapan ia bermanfaat kepada semua yang bercita-cita menjadi penulis mahupun yang bergelar penulis. Sekiranya ia tidak sesuai, abaikan sahaja. :P


Bagaimana mahu mula menulis sesebuah manuskrip?
Apa yang perlu ditulis?
Bagaimana dengan pembahagian bab?
Berapa muka surat?
Format penulisan?
Berapa jangka masa biasanya diperlukan untuk penulis?
Benarkah kaedah kad yang diuar-uarkan oleh pengerusi PTS berkesan?


Pada pandangan saya, tiada teknik penulisan yang salah. Tetapi belum tentu semuanya tepat dan sesuai dilaksanakan tanpa pengubahsuaian.

1. Seorang novelis terkemuka pernah bercerita gayanya. Katanya, setiap kali mahu menulis manuskrip baru, dia membeli sebuah buku nota. Dalam buku nota ini tertulis steps yang dibuat untuk manuskrip itu. Ada kajian, pembahagian bab lengkap dengan tarikh bila catatan itu dibuat. Selepas bahan-bahan siap terkumpul, dia akan mula menulis mengikut deadline yang sudah ditetapkan.

Format penulisan di dalam word pula mengikut mood. Maksudnya pemilihan font, tidak terikat kepada Times New Roman seperti yang diminta penerbit. Hanya apabila mahu dihantar untuk penilaian barulah dia mengikut format yang sepatutnya; TNR 12, double spacing.


Kelebihan:
Proses penulisan lebih teratur. Apabila semua bahan sudah ada, maka tumpuan akan kepada pengolahan ayat dan jalan cerita. Buku catatan akan jadi sumber rujukan dan panduan yang sangat membantu. Penyusunan bab daripada awal akan memudahkan penyusunan scene.


Kelemahan:
Berisiko terhenti sekiranya bahan mengambil masa terlalu lama dikumpulkan – semangat manusia ada turun naik. Penyusunan bab dari awal kadangkala memberi kekangan pada pengolahan dan idea lain.



2. Pengerusi PTS pula selalu membicarakan kaedah kad untuk penulisan yang pantas. Tulis satu ataupun dua perkataan pada setiap kad dan tulang ikan. Apabila mahu menulis, ambil kad, lihat tulisan itu dan menulis. Manakala tulang ikan itu untuk perkembangan watak dan bab. Akhir sekali barulah, disusun semua scene itu. Maka terhasillah sebuah manuskrip.

Kelebihan:
Sistem kad mempercepatkan penulisan. Sistem tulang ikan membuatkan penulis dapat memperkembangkan watak. Boleh menulis daripada mana-mana bab/scene.


Kelemahan:
Masalah semasa penyusunan cerita mengikut kad. Pengalaman saya menilai dan membaca manuskrip yang menggunakan kaedah ini, tidak ada kesinambungan antara satu scene ke scene lain. Time frame ada kalanya tidak tepat. Kadangkala setiap cerita/kad berdiri sendiri menyebabkan pembaca akan terfikir-fikir apakah tema utama, daya penarik untuk habis membaca kerana setiap kad sudah ada kesudahan masing-masing.
Sebuah buku bagi saya apabila temanya jelas, ia bermula daripada satu titik ke titik lain; cuma perjalanannya bukan garis lurus, ia boleh herot-berot asalkan jumpa titik akhir, bukannya banyak titik pemula dan titik akhir tanpa pertalian antara satu sama lain. Itu seperti membaca cerita pendek yang berbeza-beza.

3. Kesimpulan yang saya buat, menulis perlukan perancangan dan deadline.
Apabila ada dua perkara ini, penulisan akan lebih teratur dan bermatlamat. Matlamatnya adalah siap.
Apa pun sistem yang digunakan, perlu disesuaikan dengan keselesaan penulis dan keperluan manuskrip.
Tidak semestinya bahan perlu sudah lengkap baru boleh menulis. Sambil menulis, masih boleh mengumpul bahan lain. Pembahagian bab pula tidak perlu terlalu rigid. Dari semasa ke semasa, ia boleh berubah berdasarkan idea baru.
Sistem kad boleh digunakan tetapi perlulah pandai menyusun kesinambungan. Jangan terlalu banyak perkara diceritakan tetapi tiada kesinambungan mahupun objektif jelas.

Pendapat saya, perkara paling penting memulakan penulisan:
1.Tema – tentukan tema – >KLIK UNTUK RUJUK ENTRI TERDAHULU (saya selalu sibuk memilih working title; konon nak yang sedap disebut; pembakar semangat walaupun manuskrip tak mula tulis pun! :P)
2.Beberapa watak utama dan latar belakang watak utama (watak sampingan biasanya akan muncul dalam proses penulisan.
3.Rangka cerita/pembahagian bab – ia sebagai panduan, selalunya akan berubah serba sedikit (ada kalanya banyak) dalam proses penulisan. Tentang muka surat pula ia bergantung kepada aplikasi penerbit (kalau buku remaja, jumlah dikurangkan kerana kekangan kos ilustrasi), lokasi, tema dan masa scene dan sebagainya. Jumlah yang biasa sekitar 5 – 10 muka surat double spacing TNR.
4.Bahan/maklumat yang membantu penulisan – tidaklah proses penulisan terhenti ataupun tidak tahu mahu tulis apa kerana bahannya tidak ada. Boleh kumpul semua sebelum menulis mahupun bergerak seiring.
5.Jangan berhenti menulis. Apabila terasa stuck pada sesetengah bahagian, tulis yang lain. Nanti boleh rearrange semula.
6.Tetapi paling penting daripada semua di atas adalah doa dan tawakal.


Selamat menulis! :)

p/s: Adakah saya sistematik? Oh tidak, sekiranya ya, tentu saya mampu menulis dengan banyak. :P

Saturday, July 25, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 5)

“Saya tahu apa yang awak fikirkan. Mengapa tidak luahkan?” tanyanya dalam senyuman sinis.
Yang ditanya dahinya sudah berkerut. “Maksud awak?”
“Awak mengandaikan saya terjatuh pada tempat yang salah. Bukankah itu yang bermain dalam fikiran awak?”
Senyum diikuti tawa kecil. Tergeleng-geleng kepala. Bukan menafikan kerana memang itu yang terlintas dalam hati. Gelengan itu kerana mengagumi si dia yang bijak menelah isi hatinya.
Itulah... itulah saat permulaannya. Saat yang membawa kepada keakraban antara Akal dan Cinta. Si Cinta saat itu kecewa. Lalu entah bagaimana laju sahaja meluahkan kekecewaan kepada Akal. Padahal mereka bukan rapat pun. Mereka hanya berjiran. Berjiran tempat duduk di pejabat.
Tetapi itu cerita lama. Cerita lama yang Akal tidak mahu kenang-kenang lagi. Biarlah. Biarkan sahaja cerita lama itu berkubur.
Cinta yang terluka. Akal yang cuba merawat. Akhirnya Cinta sembuh tetapi Akal terjebak. Terjangkit penyakit yang sama. Si penyebar virus pula enggan bertanggungjawab. Kata Cinta, dia tidak mahu melaluinya sekali lagi. Dia tidak berani menanggung risiko akan terluka lagi.
Padahal, Akal mentafsir alasan Cinta itu sebagai penolakan. Cinta tidak suka Akal. Titik. Semudah itu. Makanya Akal tidak lagi percaya Cinta. Dan mereka kembali asing. Seperti dahulu. Apatah lagi Cinta memilih berpindah pejabat. Bukan jauh pun. Di bangunan bertentangan. Tetapi Akal selalu mengelak, lalu mereka tidak bertembung. Luka itu kekal dalam hati Akal. Tetapi tiada yang sedar. Kisah mereka jadi sejarah yang tidak diketahui.
Kini, muncul pula Hati. Hati pada mata Akal naif orangnya. Seperti dia dahulu, mudahnya hati terusik, teruja dengan kehadiran Cinta. Akal tertanya sendiri, kali ini bagaimana Cinta menanganinya? Akan terlukakah Hati? Ataupun Hati akan menjadi orang yang menewaskannya sekali gus menjinakkan Cinta?
Akal tidak ada jawapannya. Namun, doanya untuk Hati, moga Hati tidak terluka.

Monday, July 20, 2009

Sinopsis Mencari Cinta

Ini saya copy paste daripada laman web Alaf 21 atas permintaan seseorang Kepada yang belum pernah baca, sila-silalah... :P


Bayangan kenangan manis zaman sekolah bersama Ilham, menjadikan Annessa seorang perindu. Dia setia menantikan lelaki itu. Namun lain yang diharap, lain pula yang datang. Faris tiba-tiba muncul melamarnya. Annessa menggantung kata; tidak menolak atau menerima.

Ilham kembali dari Jepun dengan status 'suami orang'. Annessa kecewa kerana penantiannya sia-sia. Lukanya bertambah parah bila diketahui, Sofia isteri Ilham adalah sahabatnya sendiri. Dia segera berundur dan berpaling pada Faris sebagai penyelamat.

Namun, setiap saat hatinya meronta. 'Jasadku di sini bersama Faris, tetapi jiwaku merantau jauh mengejar bayang Ilham'. Annessa yang tabah jadi sasar. Sekeping kad ucapan; 'Hidup Baik-baik' kiriman Ilham menimbulkan penyesalan. Jika mereka berterus terang tentang perasaan, pasti semua ini tidak akan terjadi!

Cinta itu duri. Cinta itu duka. Sofia terkorban dalam kemalangan. Ilham datang kembali merayu kasihnya. Tapi wajarkah cinta dijadikan alasan untuk bersikap keji? Itulah yang telah dilakukan oleh Annessa. 'Takkan saya langsung tak bernilai pada awak?' Air mata Faris menitis.

Bagi Annessa, soal cinta bukan sekadar hitam atau putih! Tidak juga betul atau salah! Cinta adalah sesuatu yang sukar dikawal. Ilham suatu mimpi dan Faris pula suatu realiti. Tapi mimpi itu juga yang dikejarnya. Dia mahu merebut cinta Ilham yang tidak pernah dimilikinya selama ini.
Harga : RM 15.00
Halaman :400
ISBN : 983-124-170-3

Friday, June 26, 2009

Saya diberi award again and again :P




Ini award saya copy dari blog Aku & KISAHKU.

Sha, minta maaf saya lambat respon. Sebenarnya award awak itu pernah diberi oleh Azrin tetapi saya jawab juga ok. :P


5 interesting fact bout orang yang bagi award ini:
(Ini saya cedok daripada blog Sha :P)
-suka baca novel
-suka makan
-macam kembar dengan kakak dia (berdasarkan gambar)
-bercita-cita menjadi novelis
-suka tersenyum (berdasarkan gambar)

another 10 blogger to get dis award with description:-

Errkk.... seperti jawapan saya pada Azrin, bab ni saya malas :P

Harap Sha tak marah ye. :P


Ini lagi seorang. Rajin betul. :P








* Postkan gambar anugerah di blog
-dah letak kat atas :P
* sebutkan siapa pemberi anugerah ini dan sertakan pautan pemberi anugerah ini
-Encik Azrin a (http://azrusti12.blogspot.com)
* malas Lalalalala~


Okay, done. Terima kasih kepada both of you. Lain kali jangan beri lagi. :P Lalalala~

Friday, June 19, 2009

SS - Saya mahu menulis tetapi....

Seperti selalu, saya akan ulang yang sama. Entri ini syok sendiri. Kalau ada yang mendapat manfaat, alhamdulillah. Kalau rasa tidak bermakna, juga tidak mengapa. Nama pun syok sendiri hoh.

"Saya rasa nak give up lah."
"Mungkin saya memang tiada bakat menulis."
"Saya nak menulis tetapi saya pun tak tahu kenapa saya tak ada semangat."

Dialog di atas antara banyak dialog orang yang sudah ataupun mahu bergelar penulis.

1. Tanpa keinginan yang kuat, mimpi tidak bermakna.
-Tanyalah pada diri sendiri, sejauh mana tekad mahu berkarya. Kalau kesungguhan itu tidak kuat, lupakan sahaja. Mungkin minat itu terarah ke bidang lain.

2. Saya mahu tetapi tidak tahu....
-Mahu tetapi tidak tahu adalah alasan. Banyak ruang untuk belajar. Bukankah belajar itu sebahagian daripada kehidupan kita? Sekarang ada banyak bengkel penulisan yang dianjurkan secara berbayar mahupun percuma. Ambil masa untuk hadiri kelas sebegitu.
Ataupun, belajar sendiri. Belajar sendiri bermaksud bacalah karya penulis-penulis pelbagai genre, lihat gaya olahan mereka dan penggunaan bahasa. Lihat juga cara pembahagian bab ataupun pergerakan cerita. Bertanyalah keapda orang yang ada pengalaman.

3. Saya mahu tetapi tidak ada bakat....
-Saya orang yang percaya bakat sangat penting, bakat itu anugerah Tuhan. Tetapi saya juga percaya tanpa minat, bakat akan sia-sia. Saya juga percaya bakat itu boleh datang dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kalau betul minat, berusahalah untuk mendapatkan bakat itu. Kalau kesudahannya masih tidak berjaya, sekurang-kurangnya mampu tersenyum kerana tahu pernah berusaha.

4. Tiada sesiapa yang memahami dan menyokong saya.
-Seorang kaunselor pernah berpesan kepada saya. Katanya, berkawanlah dengan orang yang memiliki minat yang sama. Aura positifnya akan terasa. Orang yang tidak memahami boleh membunuh impian itu tetapi orang yang berkongsi mimpi boleh membantu mengembangkan mimpi itu menjadi impian. Bukanlah bermaksud kita tidak boleh berkawan dengan orang yang tiada minat yang sama. Tetapi maksudnya carilah seorang dua kawan yang ada minat yang sama. Kadangkala perkongsian minat ini akan menjadi dorongan antara satu sama lain. Elakkan berbicara soal minat ini dengan orang yang hanya tahu memperlekehkan minat kita. Nanti impian kita terbantut. Sebagai contoh, saya ada seorang kawan yang meminati bidang penulisan. Perbualan kami ada kalanya berkisar matlamat mahu menyiapkan manuskrip, cita-cita dan impian dalam bidang ini. Kami juga ada kalanya bersaing secara sihat. Dia juga ada kalanya mengingatkan saya tentang impian ini apabila saya 'terlupa'.


5. Hukum tarikan- law of attraction. Kalau kita mahukan sesuatu, fikirkan perkara itu. Tanam keazaman yang kuat dalam hati. Bayangkan kita sudah berjaya memilikinya. Ketika menulis manuskrip pertama, walaupun ceritanya biasa-biasa, walaupun saya tidak tahu betulkah apa yang saya lakukan, saya sangat yakin ia akan diterbitkan. Sepanjang proses menulis, ketika pos dan ketika saya membuat pembetulan, keyakinan itu menggunung. Setiap kali berkhayal, saya membayangkan buku itu ada di rak kedai buku. Walaupun rupanya samar-samar (sebab tak tahu lagi cover, tajuk dan nama pena kan... hehehe...), tetapi dalam bayangan saya, itu adalah buku saya. Saya tidak fikir langsung bagaimana kalau ia ditolak. Terus terang, saya pun tidak tahu dari mana keyakinan itu datang, tetapi somehow, ia berkait dengan hukum tarikan. Dan tentunya Tuhan yang mengurniakan keyakinan itu.

6. Mungkin saya memang tidak ditakdirkan Tuhan untuk bergelar penulis....
-Doa. Saya orang yang sangat percaya doa adalah usaha yang paling berkesan. (Walaupun dalam sesetengah perkara, saya takut nak berdoa kerana tiada keyakinan), saya sangat yakin apabila kita berdoa dengan sepenuh hati, apabila kita betul-betul mahukan sesuatu dan ternyata itu baik untuk kita, Tuhan akan makbulkan. Berdoalah supaya Tuhan memudahkan semua urusan, mengurniakan idea dan menunjukkan jalan ke arah ini.


Semua penulis mengalami turun naik semangatnya. Saya sendiri, setiap kali mahu menulis manuskrip baru, saya akan rasa seperti tidak tahu menulis. Saya akan rasa mungkin saya memang tidak ada bakat. Malah, ada juga masa mahu give up sahaja. Waktu begitu, semua perkara di atas membantu.


Selamat hari Jumaat. Esok cuti. Lalalala....

Friday, June 12, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 4)

Surat Untuk Cinta Episod 1
Surat Untuk Cinta Episod 2
Surat Untuk Cinta Episod 3



“Awak pernah terjatuh?”
Dia tidak memberi respons. Sekadar menjadi peneman setia. Bukan tidak ada jawapan, tetapi lebih kepada tidak bersedia berkongsi cerita. Biarlah hanya si dia yang bercerita. Bagi dirinya pula, ceritanya sudah lama tamat, dia tidak mahu membuka simpulan kenangan lama. Kenangan yang menjerut hati setiap kali melintasi ruang fikirannya. Kenangan yang memberi resah. Kenangan yang belum mampu dilepaskan.
“Dahulu, semasa kita anak-anak lagi, jatuh bukan perkara besar. Sakitnya hanya seketika. Kemudian kita seolah-olah terlupa yang kita pernah jatuh dan tercedera. jadi kita teruskan, terjatuh, tercedera, teruskan dan rutin itu berulang. Tetapi menginjak dewasa, kita mula didatangi rasa yang satu itu. Takut terjatuh kerana takut terluka. Semakin meningkat usia, semakin kuat pula rasa itu menguasai jiwa. Lalu rutin yang satu itu semakin berkurang. Dan sejak itu, kita semakin jarang terjatuh. Tidak kiralah terjatuh dalam situasi bagaimana. Kita hanya mahu menjalani hidup dengan selesa. Jadi kita kerap memilih jalan selamat. Jalan yang tidak akan buat kita terjatuh jauh sekali terluka. Sedangkan hidup ini satu risiko. Bagaimana mahu menjalani hidup apabila tidak berani mengambil risiko?
Dia kekal membisu. Membiarkan luahan itu meniti di bibir. Saat itu, dia tidak mahu berbalas hujah, hanya mahu menjadi pendengar yang setia.
“Saya mahu berfikiran postif. Saya tidak mahu rasa itu menguasai diri. Saya mahu melawan ketakutan itu. Saya mahu mengambil risiko. Jadi saya membiarkan diri terjatuh kerana saya percaya saya tidak akan terluka. Saya benar-benar yakin risiko yang saya ambil ini berbaloi. Pernah dengar tentang hukum tarikan? Law of attraction? Asalkan kita mahu sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh dan kerap memikirkannya, maka kita akan memperolehnya. Asalkan tiada keraguan dalam hati. Jadi, saya membiarkan diri terjatuh kerana saya mahu itu berlaku dan tiada sedikit pun keraguan dalam diri yang saya akan terluka. Tetapi mengapa akhirnya saya tetap terluka?
'Mungkinkah kerana awak terjatuh di tempat yang salah ataupun mungkin awak terjatuh untuk terluka?' Kata-kata itu hanya berlegar dalam diri.

Friday, June 5, 2009

SS - Pemilihan tema cerita

Sebelum saya menulis lebih panjang, suka saya ulang sekali lagi, dalam kategori Syok Sendiri (SS), saya menulis perkara-perkara berkaitan penulisan dan penerbitan. Ia berdasarkan sedikit pengalaman, sedikit pengetahuan dan selebihnya pandangan peribadi saya (nama pun syok sendiri kan... :P) Jadi, sekiranya ada yang tidak bersetuju, tidak perlu baca. Okey? :)

Dalam entri terdahulu, saya ada menulis tentang kepentingan memahami sistem kerja penerbit. Untuk entri kali ini pula, saya mahu berkongsi tentang pemilihan tema cerita yang hendak ditulis.

Sebelum mula menulis, tentukan dahulu tema yang mahu ditulis. Tema ini boleh dipilih berdasarkan kecenderungan penulis itu sendiri; minatnya pada buku-buku yang dibaca. Sebagai contoh, penulis meminati genre sains fiksyen, cinta, thriller dan sebagainya.

Selain minat, ada dua perkara yang sangat penting dalam penentuan tema. Sasaran pembaca dan juga permintaan pasaran.

Ingat, menulis bukan perkara syok sendiri. Okey, memanglah syok sendiri, tetapi bukankah kita menulis supaya orang baca? Kalau kita tidak mahu orang baca, tentunya kita tidak akan merancang untuk menerbitkannya, bukan?

Sekiranya mahu menulis untuk remaja, pilih tema yang bersesuaian dengan kehidupan remaja masa kini. Apa masalah harian remaja? Apa budaya remaja hari ini? Kegemaran mereka? Boleh tulis cerita hobi, sains fiksyen, kekeluargaan, persahabatan, kisah pelajar sekolah asrama dan sebagainya.

Sekiranya mahu menulis novel dewasa pula, sasaran pembaca bagaimana yang diharapkan membeli karya itu? Golongan urban yang suka membaca chic-lit bahasa Inggeris, golongan yang suka novel cinta, sains fiksyen, thriller, ataupun bagaimana?

Pasaran novel di Malaysia sedikit terkebelakang berbanding Indonesia (ini saya cedok ayat orang :P) Contohnya, zaman chic-lit sudah berlalu, sekarang di sana permintaan adalah novel sains fiksyen, fantasi. Manakala di Malaysia pula, chic-lit bahasa Melayu masih kurang. Paling tidak pun, Jemari dan PTS menerbitkan konsep ini. Manakala cinta Islami (pernah dengar Ayat-ayat Cinta?) pula pasarannya terbuka tetapi pengisiannya masih samar-samar. Novel popular; tema cinta pula, saya rasa lambakannya terlalu banyak. Saya membuat andaian, pasaran urban sudah mulai statik manakala di luar bandar mahupun bandar kecil masih ada permintaan besar; saya dapat e-mel pun daripada pembaca nun jauh di Sibu. Dalam erti kata lain, temanya tidak basi, tetapi penampilannya mungkin perlukan suntikan baru.

Jadi, pilihlah tema berdasarkan minat, pengetahuan, sasaran pembaca, permintaan pasaran. Kalau perlu, minta pandangan penerbit, buat kajian di kedai buku, lihat carta buku best-sellers, lihat trend di luar negara, layari laman web/blog penulis mahupun penerbit; kadangkala ada komen-komen daripada pembaca minta ditulis tema itu dan ini. (Wah, macam beria-ia sahaja kan? Hehehe....)

Namun, di sebalik itu semua, mulalah menulis dengan perkara yang kita tahu, yang kita rasa mudah tetapi jangan syok sendiri. Pengalaman saya, saya mahu menulis novel thriller dan action-romance, tetapi saya belum mampu melakukannya. Dalam tempoh itu, saya menulis perkara-perkara yang saya rasa lebih mudah; novel cinta dan novel remaja. Dengan ini, tidaklah angan-angan saya tinggal mimpi kosong. Kegagalan menulis kerana dirasakan sukar akan mematahkan semangat. Jadi bermulalah daripada perkara yang kita tahu. :)

Selamat menulis. :)

Tuesday, June 2, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 3)

“Jadi kamulah Cinta yang diagung-agungkan?”
Cinta yang dari tadi khusyuk membaca novel sementara menunggu hidangan tengah harinya mengangkat muka. Matanya menangkap figura yang berdiri di hadapan meja makan yang didudukinya.
Wajah tersentaknya kendur, dihiasi senyuman manis. “Sudah lama kita tidak bertemu. Awak apa khabar?” Suaranya mesra, tanda gembira dengan pertemuan tanpa janji itu.
“Bagaimana awak mahu menjawab?” Intonasinya mendatar, tidak langsung ada keceriaan.
“Maksud awak?”
“Itu.” Lirik matanya menghala kepada sepucuk sampul warna merah jambu di sisi novel yang dibaca Cinta. Dia kenal sampul itu. Sampul yang sama yang dikucup Hati tempoh hari.
Cinta tersenyum. “Duduklah, saya akan jawab setiap pertanyaan awak tetapi duduklah dahulu. Sudah terlalu lama sejak kali terakhir kita duduk bersama.” Suara yang digetarkan perlahan dan lembut.
Dia mengalah. Duduk bertentang dengan Cinta.
“Saya harap itu petanda baik awak membawa sampul itu di sisi awak.”
Cinta menggeleng dalam tawa kecil. “Sekadar sebagai penanda buku, bukan apa-apa.” Serentak itu, Cinta meletakkan sampul itu di muka surat terakhir dia berhenti membaca sebelum menutup novel itu.
“Saya sangka awak sudah lama khatam membaca cerita itu?” Matanya melirik tajuk novel itu. Mencari Cinta.
“Saya suka ulang baca. Kisahnya dekat dengan diri.” Cinta tersenyum.
Dia tertawa mendengar jawapan itu. Sinis.
“Awak kenal Hati?” tanya Cinta.
“Awak bercadang mahu menjawab bagaimana kepada dia?”
“Akal, awak masih marah saya?”
Patutkah dia marah?
“Saya tidak perlu jawab soalan awak. Saya cuma harap awak tidak melukakan Hati. Padanya awak indah, sesuatu yang indah tidak akan melukakan. Saya tidak mahu dia terpedaya dengan tanggapan yang naif itu.”
Cinta tersenyum. “Dulu, awak juga beranggapan yang sama.”
“Dulu. Ketika saya bodoh menilai.”
“Sekarang, apa pandangan awak pada saya?”
“Pandangan saya bukan tajuk perbualan ini. Cinta, berhentilah melukakan.”
“Saya sendiri terluka. Awak perlu ingat itu, Akal. Dulu, bukan awak sahaja yang terluka. Saya juga.”
Akal menarik nafas dalam, menghembus perlahan. “Saya pernah terluka. Awak juga pernah terluka. Jadi, jangan lukakan dia.”
Cinta menggeleng. “Dia yang memilih untuk jatuh, jadi dia juga memilih untuk terluka. Akal, awak mahupun saya tidak upaya melindungi dia. Ini kisah Hati, biar dia lalui sendiri.”

Thursday, May 28, 2009

SS- Tip menulis novel

1. Tentukan tema dan ke syarikat mana yang kita mahu menghantar karya.
Lebih elok, hubungi syarikat penerbitan tersebut dan tanya keperluan mereka (cara menghantar karya). Boleh hubungi melalui panggilan telefon mahupun e-emel.
- Kenapa?
Syarikat penerbitan berbeza menggunakan konsep kerja berbeza. Memahami prinsip kerja mereka akan memudahkan kita merancang manuskrip kita.

Contoh:
1. Alaf 21
- biasanya menerima secara pos manuskrip yang sudah siap - ketebalan antara 400-500 double spacing TNR 12. Sertakan maklumat diri - pihak editor akan hubungi sekiranya manuskrip diterima ataupun dipertimbangkan untuk diterbitkan.

2. PTS Publications
- penulis digalakkan menghantar proposal; sinopsis lengkap dan contoh olahan beberapa bab untuk penilaian melalui e-mel. Sekiranya dirasakan bersesuaian, barulah diminta menulis manuskrip penuh.

Jadi kesimpulannya - adalah lebih elok tentukan dari awal target penerbit yang kita berharap akan menerbitkan karya kita dan fahami kehendak mereka.

Monday, May 25, 2009

Award, should I b thankfull? :P



Thanks Azrin.


1. copy award di atas utk diletakkan di blog anda -
Itu, yang kat atas tu. :P

2. nyatakan 5 fakta menarik ttg pemberi award ini -
erkk....
1. Nama dia Azrin (sama dengan nama kawan saya tapi kawan saya tu perempuan dan saya panggil dia Ayin.)
2. Dia suka kumpul dan baca novel alaf, ada 100+++ rasanya.
3. Dia rajin tag saya (tak menarik sebenarnya. Hahahaha)
4. Dia ada review pasal novel saya. Sila baca. :P)
5. Dia ada tulis novel bersiri di blog dia. Sila baca. :)


3. setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta atau hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya -
Hehehe... part ni paling saya suka. Pertama saya dah list dah 10 fakta, jadi saya malas nak tambah or ulang. Kedua, saya malas nak bagi award ni pada sesiapa. Hahaha. Ya, saya memang pemalas. :P
Bukan apa, satu, saya tak ada list nak beri. Dua, nanti orang yang sama dapat award ni 2,3 kali, jadi dah tak special. Kan? Kan? Kan? Hahaha. :P

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 2)

Untuk Cinta yang indah,
Untuk Cinta yang suci,
Untuk Cinta yang tulus,
Untuk Cinta yang damai,
Semuanya untuk Cinta....

Hati tidak pandai bermain madah,
Hati tidak tahu membisik kata puitis,
Hati tidak mahir berbicara soal rasa,
Tetapi sesungguhnya Hati hadir untuk Cinta.

Cinta,
Terima kasih kerana mewarnai hidup Hati,
Pinta Hati, Cinta selalu ada,
Buat Hati berbunga-bunga.


Cinta,
Hati menulis atas kertas yang istimewa,
Dakwatnya juga istimewa,
Tetapi tatkala menulis huruf pertama,
Ternyata tiada yang istimewa seistimewa Cinta.

Cinta,
Sudikah Cinta mekar dalam diri Hati?
Sudikah Cinta berlama di sisi Hati?
Sudikah Cinta menemani hari Hati?

Yang selalu mengharap Cinta,
Hati.



Hati tersenyum lebar saat melipat warkah cinta buat Cinta. Dalam hati, doanya melangit. Moga Cinta tersentuh. Moga Cinta merasakan yang sama. Moga ada Cinta untuk Hati.
“Sudah selesai menulis?” tegur Akal yang muncul tiba-tiba di belakang Hati.
Tersentak Hati dibuatnya. “Ish, awak ini, sengaja buat saya terkejut.” Hati mencemik.
Akal tertawa kecil. “Bagaimana?”
Hati tersenyum lebar. Dia mengangguk perlahan. “Ini, sudah siap. Tinggal lagi memberi kepada Cinta.”
“Betul awak mahu beri?” Akal bertanya lagi.
“Mengapa?”
Akal mengangkat bahu. “Sekadar bertanya.”
“Tentu ada sebab.”
Akal menarik nafas, menghembusnya perlahan dan panjang. “Mungkin kerana saya ambil berat tentang awak. Saya tidak mahu awak terluka.”
Hati menggeleng. “Terima kasih. Saya hargai perhatian awak. Tetapi bukankah saya pernah katakan, Cinta itu indah. Sesuatu yang indah tidak akan melukakan.”
Akal tersenyum tawar. “Saya harap saya tersilap.”

Saturday, May 16, 2009

Saya kena tag lagi...

10 facts about me...

1. Pemalas

2. Suka tidur.

3. Suka menulis.

4. Suka cerita Cina, Korea dan Jepun.

5. Anti-sosial.

6. Selfish.

7. Suka ketawa.

8. Suka menangis.

9. Moody.

10. Suka duit dan bau duit baru. Nikmat. :)


Azrin, jangan tag selalu, nanti dah tak ada rahsia tentang leeya myra. Tak best. :P

Friday, May 15, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 1)

Akal berjalan laju menuju ke 7 Eleven, niat di hati mahu membeli vitagen perasa oren, anggur dan epal. Di pertengahan jalan, dia bertembung dengan Hati.
Akal pantas menegur Hati yang tersenyum lebar seorang diri, “Mengapa awak tersenyum riang. Ada apa-apa yang buat awak gembira?”
Senyum Hati semakin lebar. “Hai Akal. Mahu beli vitagen?” Hati sudah tahu rutin Akal. Sengaja Hati tidak menjawab soalan Akal.
Akal mengangguk. “Awak pula?”
“Saya mahu ke Wangsa Ceria. Mahu beli pen dan kertas.”
Dahi Akal berkerut. Bukankah banyak kertas di pejabat? Mengapa perlu membeli?
Hati memahami kerutan dahi Akal. Tanpa ditanya dia menjelaskan hal sebenar. “Saya mahu beli kertas dan pen yang istimewa.”
“Istimewa?”
Hati tersenyum lalu mengangguk. “Yang istimewa untuk yang istimewa.”
“Maksud awak?” tanya Akal lagi.
“Saya mahu menulis surat untuk Cinta. Cinta istimewa, jadi surat itu perlu ditulis di atas kertas istimewa menggunakan pen istimewa.”
Akal tertawa. “Mengapa tidak SMS ataupun e-mel sahaja?”
Hati menggeleng. Masih tersenyum. “Cara itu tidak istimewa.”
Akal merenung Hati. “Bukankah Cinta itu buta? Walau seistimewa mana pun surat yang awak tulis, tetap dia tidak dapat membacanya. Bukankah hanya sia-sia?” Akal sengaja menduga Hati.
“Awak silap Akal. Surat untuk Cinta bukan untuk dibaca tetapi dirasa. Benar Cinta itu buta tetapi dia pasti dapat merasai luahan saya.”
Akal tergelak kecil lalu menggeleng. “Ya, mungkin saya tidak memahami permainan Hati dan Cinta.”
Hati terus tersenyum. “Suatu hari nanti, apabila awak bertemu Cinta, tentu awak akan faham.”
“Mungkin. Saya ada satu lagi soalan.”
“Apa?”
“Kalau Cinta tidak memahami ataupun tidak menerima luahan awak, bagaimana?”
“Belum cuba belum tahu,” jawab Hati tenang namun riak wajahnya sedikit berubah.
“Awak tidak menjawab soalan saya.” Akal tersenyum sinis.
Hati menghela nafas berat. “Sebetulnya, saya tidak berani memikirkan soalan itu. Saya hanya mahu berfikiran positif.”
Akal tersenyum dalam gelengan. “Sama ada awak optimis ataupun awak terlalu naif. Hidup ini bukan semuanya indah.”
“Tetapi Cinta indah. Sesuatu yang indah tidak akan melukakan.”
“Terpulang. Berusahalah.”
“Terima kasih. Saya pergi dahulu.”
Akal mengangguk. Menghantar pemergian Hati dengan doa, semoga semuanya kekal indah untuk Hati.
Hati pula sudah mula mengarang surat untuk Cinta dalam fikirannya. Untuk Cinta yang indah.....

Monday, May 11, 2009

Buat saya tersenyum :D

Lalala!

Ye, hati saya sedang menyanyi riang. Sah, memang syok sendiri! :P

Ketika baca mesej yang ditulis Azrin last week hati saya sudah berdegup kencang. Tetapi tidak mahu terlalu cepat percaya. Kemudian, apabila dia mengesahkan, saya terus call kakak. Selamba sahaja dia kata, oh, memanglah. Cis, dia tahu dan dia tidak beritahu saya!

Tidak sabar mahu balik ke Bangi, saya berusaha cari. Mujur wireless di ofis boleh guna dan nasib baik bawa laptop; pc ofis saya tak leh guna wireless dan ye, internet di pejabat sedang melalui proses upgrading yang berkurun lama nak siap!

Okey, yang penting, misi berjaya. Dan ketika ini, sepatutnya saya sedang sibuk buat kerja tetapi saya sedang sewel, sebab syok sendiri. Lalala! :P

Sila klik di sini untuk tahu mengapa saya sedang sewel! :P

Saturday, May 9, 2009

Terima kasih daun keladi....

Terima kasih kepada yang e-mel beri komen tentang CR. Juga kepada yang tinggalkan mesej di chatbox. Juga yang review di blog.

Kembang kuncup hati saya membaca review ini (biasalah syok sendiri.) Tapi kan... saya ini sangat tamak. Apabila orang memuji memanglah gembira tetapi rasa tidak puas hati kerana saya yakin tentu novel saya ada kurang di sana sini. Tetapi kalau orang komen lebih-lebih, kata tak suka nanti sedih la pulak! Habis, macam mana?

Tapi kesudahannya, pujian ataupun kritikan saya terima semuanya. Pujian itu satu hadiah selepas bersusah payah. Kritikan itu pula supaya saya memperbaiki tulisan saya pada masa hadapan. Kan? Kan? Kan? Yang pasti apabila ada respons itu tandanya orang di luar sana menyedari kewujudan karya saya dan memberi perhatian kerana sudi meluangkan masa memberi komen, menulis e-mel, meninggalkan pesan.

Jadi untuk semua itu, terima kasih. Sesiapa yang belum e-mel komen, silalah berbuat demikian kerana ia akan buat saya tersenyum (manis ataupun pahit). :P

Ini link komen seorang pembaca; sila klik di sini kalau nak baca. :P

SS - Editor ataupun penulis?

Tanggungjawab siapa? Editor ataupun penulis? Soalan ini selalu ditanya. Ataupun begini; bukankah ini kerja editor?

Berdasarkan pengalaman saya, ramai termasuklah saya sendiri kurang faham tugas sebenar editor dan tanggungjawab penulis.

Rakan saya seorang editor pernah dimarahi penulis semasa membuat pruf. Katanya manuskrip itu terlalu banyak kesalahan dan tidak diedit dengan betul. Apabila disemak manuskrip asal, lebih teruk keadaannya. Salah siapa?

Sebenarnya memarahi editor, menuduh editor tidak melakukan kerja adalah perkara yang kurang sopan. Apalah salahnya kemukakan rasa tidak puas hati itu dengan ayat yang lebih sopan?

Bukan penulis sahaja hatinya perlu dijaga. Penulis yang bijak akan tahu yang editor juga perlu dihormati kerana masing-masing ada peranan. Malah, dalam keadaan tertentu manuskrip seseorang penulis mungkin jadi jauh lebih baik kerana adanya editor itu.

Ada penulis karyanya dipuji. Si penulis bangga tetapi tanpa disedarinya, editor yang mengedit yang langsung tidak dipedulikannya itulah yang menambah rasa pada manuskripnya. Jadi, sesekali, ucapkan terima kasih. Tidak salah merendah diri.

Okey, bagaimana pula dengan situasi ini. Siapa yang perlu menyemak ejaan, memastikan manuskrip yang dihantar dalam keadaan 'bersih'?

Jawapannya adalah penulis. Ya, penulis bertanggungjawab memastikan manuskrip akhir yang dihantar sebelum kerja suntingan (oleh editor) dalam keadaan bersih. Ya, kadangkala memanglah berlaku kesalahan di sana sini, tetapi editor tahu menilai, ada kesalahan yang tidak disedari, tetapi ada juga yang memang tidak disemak sebelum dihantar.

Tugas utama editor adalah menyolek manuskrip; menambah baik di mana-mana, ada scene yang kurang sesuai diubah, dipotong, disusun semula dan sebagainya. Kesalahan ejaan dan tanda baca sebenarnya tanggungjawab penulis. Bukanlah bermakna editor langsung tidak semak tetapi, adalah lebih elok sekiranya penulis juga menyemak sebelum menghantar manuskrip. Dengan ini memudahkan kerja editor dan hasilnya lebih baik.

Saya sendiri sebagai penulis masih kurang teliti. Semoga lain kali, saya lebih cermat. :P


Apa yang penting? Kerjasama! :P

Saturday, May 2, 2009

SS - Antara minat dan duit

SS- syok sendiri adalah kategori baru entri saya. Akan berkisar tentang pendapat saya berdasarkan sedikit pengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan. Semoga ada manfaat. Kalau suka baca, sila baca, kalau tak suka, tak perlu baca. Okey. :P Dan tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan kepada diri sendiri dan tips kepada orang yang mahu menerimanya.

Selepas hampir lima tahun dalam bidang ini, ini pengalaman saya.

Seorang sasterawan muda pernah bertanya mengapa saya menulis, minat ataupun duit.
Hati saya menjawab, saya bermula kerana minat dan kini ia menjadi sumber pendapatan.

Sebagai orang belakang tabir dalam bidang penerbitan pula, saya bertemu dengan pelbagai ragam penulis. Kadangkala sakit kepala mahu menjelaskan.

Kesimpulan yang saya ambil, penulis ada 3 jenis.
1. Menulis kerana minat semata-mata.
2. Menulis kerana minat dan duit.
3. Menulis kerana duit.

Saya fikir kebanyakan bermula kerana minat dan kemudian akan menjadi yang nombor 2. Tetapi ada juga yang nombor 3. Tidak kisah yang mana satu pun, paling penting, jangan TAMAK.

Mengapa saya kata begini?
Ramai penulis mempersoalkan kenapa Si A dapat layanan lebih daripada penerbit?
Mengapa Si B royaltinya banyak?
Mengapa Si C bukunya cepat terbit? Asyik2 dia!
Mengapa dan mengapa? Semua ini cakap-cakap belakang dalam dunia penerbitan dan penulisan. Susah mahu menjelaskan mahupun memuaskan hati.

Fikirkan ini sahaja:
1. Rezeki setiap penulis berbeza - kita rasa karya kita lebih baik tetapi nak buat macam mana kalau pembaca lebih suka karya ABC kan? Taste manusia berbeza.
2. Usaha dan niat mempengaruhi - kita tidak tahu kesusahan penulis ABC sebelum berada di puncak, jadi jangan buat kesimpulan sendiri.

Jadi kepada yang mahu menulis, jangan pertikaikan ini semua. Menulislah kerana minat dan berusahalah, tentu akan ada rezeki kelak.

Percayalah pada janji Tuhan.

Gambar daripada Presiden Alaf FC

Semasa di booth Alaf, selain duduk melepak, sesekali saya sign, ataupun tolong buka plastik novel Kak Anis (hoping dapat aura dia; hahaha), tolong jadi kaunter pertanyaan (ye, ada juga yang sangka kami cashier, heh?) dan waktu lain, terkena tempias glamor penulis lain, gambar kami diambil.

Terima kasih kepada Mr.F sebab e-mel gambar-gambar ini.

Tuesday, April 28, 2009

Saya kena tag

Hmm... sepuluh hari pesta buku, saya tak ke ofis, mahupun balik Bangi. Jadi saya tak leh akses internet. Jadi saya semacam terpisah daripada dunia luar. Nanti saya update apa yang berlaku ye.

Buat permulaan saya jawab tag Azrin dulu (memula saya ingat awak perempuan - macam orang ingat Aizam Aiman itu lelaki. :P)

1. nama timangan family : Adik, Kak Yah
2. anda seorang yang ....pemalas, berlagak dan moody.
3. insan istimewa dan kenapa dia teramat istimewa :Mak dan Kak Lin kerana tanpa mereka, anda tentu tak berpeluang tag saya. :P
4. lagu kesukaan sekarang : Coba, Faizal Tahir. (Lagu tema untuk masalah jiwa kali ini. Hahaha)
5. warna kegemaran : Hitam dan putih (lambang kejahatan dan kebaikan saya. Hahaha)
6. benda paling wajib dalam handbag (saya jarang guna handbag, tapi tak kisah bag apa pun, benda paling penting DUIT)
7. kali terakhir nangis : malam tadi.
8. tag ramai2 rakan anda : Malaslah... (saya tak ada ramai kawan. Lalalala!)

Okey, sudah selesai. Btw, nama pena saya Leeya Myra (sebutannya MAIRA- sebab ramai yang salah semasa di book fair jadi saya announce di sini. :P )

Wednesday, April 15, 2009

Cerpen - Lara Hati

Cerpen ini pernah tersiar dalam MW. Ditulis ketika kita dikejutkan dengan kes kematian seorang perempuan. Rasanya ini cerpen terakhir dalam simpanan saya. Jadi mungkin lepas-lepas ni tak ada entri cerpen melainkan tiba-tiba saya terjumpa koleksi lama yang lain ataupun dapat petunjuk untuk menulis lagi. Selamat membaca.
________________________________________

LARA HATI


“Lepaskan saya.” Mendatar suara Aireen meluncur laju. Perlahan tetapi terselit sedikit ketegasan.
“Maksud sayang?” Zafir tersentak. Hatinya mula berdebar. Perlahan dan kemudian semakin kuat. Resah dia menanti bicara seterusnya dari Aireen. Matanya merenung tepat bola mata Aireen.
Aireen melarikan pandangan. Untuk menuturkan kata-kata itu, dia telah berfikir sedalamnya. Bukan mudah sebenarnya. Namun, desakan hatinya tidak mampu dibendung lagi. Dia ingin meleraikan lilitan sengsara yang melingkari hidupnya.
“Kita berpisah.”
Zafir mendengus. Benar sangkaan hatinya. Argh… wanita ini sengaja menduganya. Perlukah perpisahan yang dimintanya? Zafir sedikit geram. Niat di hati ingin membina semula hidupnya. Mencipta bahagia bersama Aireen dan Arisa Zafira, puteri hati mereka.
“Kalau abang kata tidak?”
Aireen mengeluh. Ego lelaki. Perlahan, Aireen bersuara memujuk.“Itu yang terbaik. Buat apa sengsara kalau sudah nampak jalan keluar.”
“Alasan! Aireen malu dengan abang, kan?” Bentak Zafir.
Perasaan terkilan bercampur geram membuak-buak di dada Aireen. Cuba disabarkan hatinya. Pesan emak, api jangan dicurah minyak.
“Abang tahu Aireen bukan macam tu.”
“Aireen masih marah? Belum maafkan abang?”
Suara Zafir kembali lembut. Terbit kesedaran dalam hatinya. Tidak wajar dia meninggikan suara. Hanya menambah kekusutan yang sedia ada. Bimbang hati Aireen kian terluka.
Aireen membelakangkan Zafir. Berjalan menuju ke balkoni. Merenung kosong lampu-lampu yang berkilauan. Sepoi angin malam tidak mampu mendamaikan hatinya.
Maaf? Persoalan itu berlegar di ruang fikiran Aireen. Aireen tidak pasti. Hatinya tawar. Sejak tujuh bulan lalu, Zafir kerap meminta Aireen untuk memaafkannya. Sudahkah kemaafan itu dihulur? Perlahan Aireen tersenyum tawar. Namun tiada bicara daripadanya.
Zafir melangkah mendekati Aireen. Bahu Aireen dipaut lembut. “Abang tunggu. Sampai sayang bersedia memaafkan abang. Ya?”
Aireen menoleh ke sisi. Merenung wajah Zafir penuh mengharap. Bukan tiada kasih yang bersisa namun, calar duka di hatinya tidak mampu dihilangkan.
“Tujuh bulan bukan masa yang singkat untuk Aireen berfikir. Abang, beri Aireen peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri.” Lembut dan tenang suaranya.
Zafir mendengus. Pautan dilepaskan. Aireen dan kata-katanya. Argh…dia memang bijak bermain kata. Tenang tetapi tegas. Api kemarahan kembali menguasai Zafir. Sakit hatinya melihat ketegasan Aireen.
“Apa pun terjadi, kita tidak akan berpisah.” Bersama kata-kata itu, Zafir melangkah meninggalkan Aireen. Pintu rumah dihempas kuat. Aireen sedikit tersentak. Air mata yang ditahan dari tadi berjujuran. Hatinya sepi, sesepi rumah yang dahulunya istana buat mereka.
* * * * *
“Maafkan Abang, sayang.” Zafir yang melutut tidak dipedulikan. Aireen terduduk kaku di hujung katil. Air matanya terus berguguran. Tiada kata-kata mampu diungkap untuk menggambarkan kekecewaan yang dirasa. Hatinya bagai kaca berderai. Hampa. Kesal. Marah. Benci. Perasaannya huru-hara. Pengakuan Zafir umpama bom atom yang meledak. Memusnahkan seluruh kuntuman bahagia dalam hidupnya. Badannya terasa menggigil. Aireen mengetap bibir. Cuba menenangkan rasa geram yang membuak di dada. Menunggu masa untuk meletup.
Zafir menggenggam erat tangan kanan Aireen. “Sayang, jangan macam ni. Marahlah abang. Pukul. Tapi tolong jangan membatu macam ni.”
Menggunakan tangan kiri, Aireen meleraikan genggaman Zafir. Mengumpul sisa kekuatan yang ada, Aireen bangkit dari bucu katil. Perlahan air mata dikesat. “Pergilah. Tentu ada sebab abang disyaki.”
“Sayang percaya kalau abang kata abang tak buat?”
Aireen mendengus. Zafir bangkit. Berdiri di hadapan Aireen.
“Sayang, tolong jawab. Jawapan sayang sangat penting buat abang.”
Aireen membisu seribu bahasa. Hanya anggukan sebagai jawapan.
“Jaga diri dan jaga anak kita. Mungkin Abang akan ditahan beberapa hari.”
Zafir memeluk Aireen erat. Rambut Aireen diusap. Lembut. Pipi Aireen dicium. Namun, Aireen tetap kaku. Langsung tidak membalas setiap tindakan Zafir.
Zafir melangkah perlahan. Menjauhi Aireen. Beberapa langkah, Aireen bersuara, “Kita pergi bersama.”
“Sayang?” Zafir menoleh. Mencari kepastian.
“Abang tentu perlukan peguam.”
“Maksud sayang?”
“Mulai sekarang, Aireen peguam abang.”
* * * * *
“Abang, Aireen nak abang dengar dengan teliti. Abang akan didakwa di atas tuduhan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kalau disabit kesalahan mungkin akan dijatuhkan hukuman mati.”
Zafir tunduk merenung meja. Tidak tergamak rasanya untuk menatap wajah di hadapannya.
“Aireen nak abang ceritakan semua. Semua yang berlaku pada malam kejadian. Malah sepanjang perhubungan abang dengan si mati. Jangan tertinggal walau sekecil hama pun.” Sengaja Aireen tidak menyebut nama Kartika. Hatinya terhiris. Namun, dia sedar, dia perlu kuat. Lelaki di hadapannya seorang suami yang curang tetapi bukan seorang pembunuh. Biar Tuhan yang menghukumnya di atas kecurangannya namun dia akan berjuang membuktikan Zafir bukan pembunuh.
* * * * *
“Melepaskan ataupun meneruskan. Kedua-duanya perlukan kekuatan.”
Aireen terdiam mendengar kata-kata Zaina. Sahabat baik yang menjadi tempat dia meluahkan deritanya. Ziana, seorang doktor psikologi. Secara tidak langsung, Aireen menjadi klien Zaina.
“Bertenang dan fikirkan sebaik mungkin. Di mana kau berada dan ke mana kau ingin melangkah.”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, semuanya nampak kusut. Aku penat. Betul-betul penat. Bila dalam mahkamah, aku rasa nak menjerit. Nak mengamuk pada Zafir. Tergamak dia buat aku macam ni.”
“Kenapa kau bersedia jadi peguam dia?’
“Aku sayang pada dia. Aku percaya dia tak bunuh perempuan tu.”
“Tapi, itu tak bermakna kau yang harus bela dia.”
“Entahlah. Mungkin sebab aku tak yakin dengan orang lain.”
Zaina terdiam. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Zaina sedar kecelaruan yang melanda hidup Aireen sukar diperbetulkan.
“Apa-apa pun, kau perlu tumpukan perhatian kepada tanggungjawab kau sebagai peguam Zafir.”
Aireen mengangguk lemah. Dia tahu, itu yang paling penting. Selepas itu? Biarlah, dia akan membuat keputusan bila tiba masanya.
* * * * *
Aireen bersandar di sofa. Memeluk erat bingkai gambar perkahwinannya. Air matanya sudah kering. Penat memikirkan jalan yang terbaik. Zafir masih belum pulang. Jam di dinding dijelingnya. Hampir pukul empat pagi. Mungkin Zafir tidak pulang. Mungkin dia sedang menenangkan hatinya.
Perlahan Aireen bangkit. Menuju ke bilik. Beg pakaian dikeluarkan. Baju dilipat kemas. Dimasukkan ke dalam beg. Tidak ditinggalkan walau sehelai pun. Kalau pun Zafir membenarkan dia tinggal di rumah ini selepas mereka bercerai kelak, Aireen tidak sanggup. Hidupnya tentu tidak aman, dihantui kenangan lama.
Selesai berkemas, Aireen mengambil wuduk. Menghadap Tuhan, memohon keampunan. Memohon ditetapkan hatinya. Memohon ditenangkan jiwanya.
* * * * *
Duduk seorang diri di dalam kereta, air mata Zafir tumpah lagi. Suara Aireen semakin sayup. Mengenang peristiwa yang berlaku, hatinya dihimpit rasa berdosa. Sesak nafasnya.
Ini bukan kali pertama dia menangis. Sejak tujuh bulan lalu, sudah terlalu kerap dia menangis. Hatinya penuh kesalan. Noda dosa yang dikumpul bersama Kartika amat berat untuk ditanggung. Pengorbanan seorang isteri, tegak di sisi ketika keaibannya dipertonton amat meruntun hati. Seorang isteri yang hatinya terluka, sanggup mengenepikan rasa hati lalu berjuang untuk seorang suami yang curang. Zafir tidak pasti adakah itu rahmat atau hukuman Tuhan yang diterimanya.

“Mahkamah memutuskan bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Zafir Anuar, awak dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan ini.”
Hanya Tuhan yang tahu betapa syukur dan gembira hati Zafir. Air mata Aireen tumpah juga. Menjadi tontonan segenap yang hadir dalam bilik mahkamah. Kalau sebelum ini, Aireen menjadi tajuk utama akhbar. Digambarkan sebagai wanita yang cekal dan berani. Begitu tenang biar pun sesi pendakwaan merungkai satu persatu keaiban dalam hubungan Zafir dan Kartika. Tenang melaksanakan tanggungjawab menyoal balik saksi pendakwa. Mendengar pengakuan Zafir tentang hubungannya dengan Kartika. Semuanya kerana etika guaman yang dijunjung. Lalu, bila keputusan diumumkan, Aireen menjadi seorang isteri yang gembira.
Zafir mendengus. Memadam kenangan lalu. Baru tiga hari dia dibebaskan. Baru tadi, selesai kenduri doa selamat. Tidak diduga Aireen meminta penceraian. Bukan dia tidak nampak kedukaan Aireen. Namun, sangkanya Aireen sepertinya. Ingin melupakan mimpi ngeri itu, lalu bersama berusaha untuk bahagia. Kenapa? Kenapa?
Solat subuh di masjid, Zafir merasa begitu kerdil. Niat di hati ingin memohon agar hati Aireen dilembutkan. Agar hati Aireen dapat dipujuk. Namun, Zafir terasa malu. Siapa dia untuk meminta? Layakkah dia untuk memohon?
* * * * *
“Assalamualaikum.” Zafir bersuara dalam sebak. Melihat Aireen yang duduk bersimpuh membaca al-Quran.
Aireen meneruskan bacaan seketika. Perlahan ditutup al-Quran, lalu mencari wajah Zafir.
“Abang dah sembahyang?” Itulah kali pertama Aireen bertanya tentang solat Zafir. Selama empat tahun usia perkahwinan mereka, baik Aireen mahupun Zafir kerap terlupa atau sengaja melupakan solat.
Zafir mengangguk lemah.
“Kita dah jauh tersasar. Inilah masanya untuk kita menilai semula langkah kita. Membaiki mana yang perlu.” Perlahan dan lembut suara Aireen.
“Tak bolehkah kita melakukannya bersama?”
Hati Aireen dihimpit kesayuan. Perlahan, dia menggeleng. “Aireen minta maaf. Sejak Abang ditahan, Aireen dah cuba. Aireen benar-benar berusaha. Sehinggalah saat ini, baru Aireen mengerti. Aireen dah pun memaafkan Abang. Malah, mungkin dari awal lagi. Tapi, untuk melupakan Aireen belum mampu.”
“Kalau Sayang benci Abang, kenapa sebelum ni Sayang tak tinggalkan Abang. Kenapa baru sekarang?’
“Aireen setia di sisi kerana itu tanggungjawab Aireen. Sebagai isteri. Sebagai peguam. Abang dah pun bebas, Aireen minta, beri peluang untuk Aireen.”
Peluang? Sudah dua kali Aireen minta diberi peluang. Bukankah aku yang sepatutnya diberi peluang oleh Aireen? Hati Zafir menjerit.
“Abang yang sepatutnya diberi peluang. Kenapa Aireen menghukum Abang?”
“Siapalah Aireen untuk menghukum. Aireen cuma ingin menyelamatkan diri.”
“Tak bolehkah kita sama-sama menyelamatkan keluarga kita?”
“Abang, dalam hati Aireen sudah tiada rasa percaya. Yang ada hanya curiga. Kalau kita bersama, kita hanya akan kelemasan. Biarlah kita sama-sama bernafas lega.”
Zafir menarik nafas. Melepaskan keluhan panjang. “Aireen berkeras?”
“Bukan berkeras tapi bertekad. Aireen tak mampu teruskan perkahwinan ini. Aireen akan terus dihantui bayang Kartika. Aireen akan terus tertanya siapa lagi sebelum atau selepas Kartika. Aireen tak sanggup Abang. Benar-benar tak sanggup! Aireen bukan wanita kental seperti digembar-gemburkan dalam akhbar. Aireen hanya wanita biasa. Yang tahu rasa sakit bila hati dilukakan. Yang tahu rasa kecewa bila cinta dikhianati.” Terhambur segalanya. Tujuh bulan, Aireen menyimpan kecewa dalam hati. Memaksa diri berdiri tegak. Akhirnya, dia tewas juga.
Zafir menggeleng kesal. Luka Aireen benar-benar parah.
“Arisa?”
“Dia tetap anak kita bersama. Aireen akan jaga dia. Abang boleh jumpa dia bila-bila masa.”
“Dia tentu hairan kenapa mama dan papanya tidak tinggal bersama.”
“Bila dia besar, kita akan terangkan pada dia. Dia akan mengerti.”
Zafir terdiam seketika. Aireen yang dikenalinya memang seorang yang tegas. Keputusan yang dibuat jarang diubah. Hatinya masih berat. Kasihnya pada Aireen menggunung. Sehingga kini, dia sendiri tidak mengerti kenapa dia boleh tergamak menduakan Aireen. Hubungannya bersama Kartika bukan atas dasar cinta. Nafsu semata-mata. Iman akan menjadi pendinding untuk kita dari melakukan kejahatan atau dosa. Itu pesan arwah ibunya. Mungkin itulah jawapan yang dicari. Dia terlalu leka. Leka dengan dunia. Lalu pegangannya tidak kuat. Begitu mudah hatinya diperdaya. Argh.. kesalan ini akan dirasa seumur hidup.
Suasana sepi menyelubungi bilik tidur mereka. Pandangan Zafir singgah pada beg-beg pakaian yang tersusun di tepi almari berdekatan pintu. Matanya berkaca. Hatinya kian hiba. Mengertilah dia, tiada apa yang mampu dilakukannya.
Menggigil tangan Zafir menggenggam tangan Aireen. Perlahan matanya merenung mata Aireen. “Abang lepaskan Aireen dengan talak satu.” Bergetar suara Zafir.
Air mata Aireen berguguran. Tenang dia menerimanya. Dalam senyuman tawar, dia bersuara. ‘Terima kasih.”

KLIBF09 dan saya....

Lama tak update. Minta maaf banyak-banyak. Saya sibuk. Err... tak, bukan itu sebab sebenarnya. Ya, saya sibuk tetapi ia lebih kepada saya malas nak update. Tidak ada keinginan mahu menulis. Hehehe...

Ok, kembali kepada cerita tajuk entri. Ya, saya akan berada di pesta buku di PWTC. Sejak lima tahun lalu, hidup saya berubah. Pesta buku jadi penting (kecuali 2006 di mana saya malas mahu ambil tahu pasal pesta buku).

Lain daripada itu, pesta buku adalah perkara yang akan buat saya sakit kepala, tidak cukup tidur dan dilanda kebimbangan tahap maksimum. Kenapa? Sebab ia berkaitan dengan kerja.

Okey, abaikan. Sebenarnya saya cuma nak beritahu Leeya Myra akan berada di booth Alaf 21 pada Jumaat(24/04), Sabtu (25/04) dan Ahad(26/04). Kononnya untuk sesi sain autograph. Hahaha! Macam poyo. Tak apalah, kalau tak ada pembeli novel saya, saya duduk lepak saja. Paling tidak pun saya tolong bukakan pembalut plastik novel Pak cik Ramlee. Hehehe....

Okey, sesiapa yang rasa nak jumpa saya, silalah. Bukan selalu saya 'membuka' diri kepada public. Hahahaha! :P

Saturday, April 4, 2009

Akhirnya!

Jeng...jeng...jeng....
Dengan tanpa segan silunya saya mempersembahkan novel ketiga bersama Alaf 21:




Antara benci dan rindu, apa yang dimahu Imanina? Mampukah Amin memberi peluang kedua kepada Imanina? Siapa pula Pak Cik dalam hidup Imanina?

Ceritera Rindu seorang Imanina, di mana kesudahannya?
Cewah....hahahaha. :P


Apa tunggu lagi? Sila beli dan baca. Hahaha. Sungguh tidak malu rupa-rupanya saya. :P Dan... oh... saya sebenarnya sangat berdebar-debar menunggu feedback pembaca. Huhu... Sudah agak lama menyepikan diri daripada menulis novel cinta, bagaimana agaknya penerimaan orang? Errkk..... tak nak fikir. Redah dan terima sahajalah. :P

Kepada mereka yang saya janjikan buku percuma, saya akan pos sebaik sahaja novel ini berada di tangan saya. Ya, saya belum pegang dan belek lagi. Tengoklah... saya ingat nak ambil cuti dan pergi Alaf 21 (hahaha... excited tahap melampau! :P Tak kut, mungkin saya akan susahkan Cik Widad Soraya, curi masa dia dan jumpa di tempat dating kami. Hehehe....

Semoga novel ini tidak sia-sia dibaca. Oh, saya harap sangat begitu!

Friday, March 27, 2009

Cerpen - 30.05.04

Cerpen ini ditulis saat kawan baik kakak saya mahu berkahwin. Saya berharap keajaiban berlaku. Penyudahnya saya siapkan pada hari si lelaki mahu berbulan madu. Dia call kakak saya dari dalam tandas di airport. Hahahaha!
Tapi... jangan salah faham, kakak saya tidak harap apa-apa, saya sendiri yang harap mereka ada jodoh. :P Tapi... sekarang kami 99% yakin lelaki itu sudah memadukan isterinya. Makanya, bukankah satu rahmat bukan kakak saya yang jadi pengantin pada 2004 itu? Hahahaha! :P
Selamat membaca!

____________________________________________________

24.05.04

Terasa seperti degupan jantung aku terhenti tatkala mendengar tiap butir yang meluncur laju dari bibir lelaki di hadapanku. Kaku aku seketika. Kejutan apa ini? Terbantut hajatku mahu meneruskan suapan. Sudu aku lepaskan daripada pegangan. Lalu sup sayur aku terbiar sahaja. Berusaha mengawal rasa terkejut, aku mengambil gelas berisi air suam. Perlahan aku teguk. Terasa perit tekakku. Walau air mengalir, masih, kering- kontang.
Menyedari saat-saat yang berlalu tanpa reaksi, aku memberanikan diri mengangkat kepala. “Kau buat lawak? Nak aku gelak?”
Dia tersenyum sinis. Menggeleng kepala. “Min, muka aku ni macam tengah buat lawak ke?”
Aku mengetap bibir. Melarikan pandangan. Membuang pandang, aku bersuara perlahan. “Kau yakin?”
“Kenapa tanya macam tu?”
Mendengarkan soalan aku dibalas dengan soalan lain, aku ketawa sinis. Argh... lelaki ini, sengaja berpura-pura tidak mengerti. Bukan dia tidak tahu maksud aku. Tidak pula aku membalas lalu kami saling menyepi. Melayan gelora dalam hati.
“Ini yang penting sangat kau ajak aku makan tengah hari?” tiba-tiba suaraku menjadi keras. Aku juga tidak mengerti.
“Kau bila lagi?”
Sakit hatiku dibuatnya. Soalan demi soalan, sampai bila? Tiada jawapan. Aku memandang tepat redup mata seorang lelaki bergelar sahabat. Faqri Redzuan. Baru dua minggu lepas usianya genap 25 tahun. Kenalan ketika darjah tiga. Rakan sekelas sehingga darjah enam. Namun kami tidak berhubung. Jauh sekali bersahabat. Melangkah meninggalkan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Palembang terus menjauhkan aku dari zaman kanak-kanakku. Sedikit kenangan zaman itu aku bawa meniti usia remaja dan dewasaku. Tentu sekali tidak aku bawa nama lelaki ini. Tidak meninggalkan kesan di dalam hidupku.
Dua belas tahun berlalu, sesungguhnya nama itu tidak aku ingati sekalipun dalam mimpiku. Entah demam apa yang melanda, dia muncul di hadapan rumah orang tuaku. Hari raya ketiga tahun lalu. Ziarah dari seorang rakan lama katanya. Lalu bermula kisah kami. Kisah sebuah keakraban yang terjalin dalam tempoh yang singkat. Tidak sampai sebulan, kami bergelar kawan baik. Itulah ikatan antara kami.
“Woi! Dengar tak?” Tersentak aku mendengar suara Faqri yang separuh menjerit. Sekelip mata, aku kembali ke alam nyata. Argh…jauh pula anganku berlari. Menyingkap sejarah antara kami.
Senyuman tawar aku ukir di bibir. Kelat. Fikiranku ligat berputar, mencari bait yang sesuai. Menarik nafas panjang, aku memaksa diri, bersuara, “Tahniah, pastikan kau bahagia.”
Berbalas senyuman, pandangan kami bertaut. Lama. Ada riak keliru terpancar dari sinar matanya. Mungkin dia bingung dengan sikapku yang dingin. Mungkin dia dapat membaca resah hatiku. Argh..pedulikan. Aku cuba melawan getar dalam hati. Payah. Sulit. Sukar. Berdepan dengan Faqri, inilah kali pertama dadaku sesak. Nafasku laju. Perasaanku huru-hara. Bermacam yang bergolak dalam hati. Sungguh, aku kebingungan.
“Okeylah, aku nak cepat ni. Banyak kerja di pejabat. Apa-apa SMS aku.” Pantas aku bangkit. Ingin rasanya aku berlari sekuat hati. Jauh dari lelaki ini.
Kembali ke pejabat, aku mula menyesal. Tidak sepatutnya aku berkata begitu. Tentu Faqri menyangka yang bukan-bukan. Sedangkan aku sendiri tidak mengerti.
“Kau tahu, masa darjah empat sampai darjah enam, aku pernah syok pada kau. Tapi, kau tu berlagak sangat. Maklumlah... budak pandai.” Kata-kata Faqri masih membekas dalam hati. Sewaktu dia meluahkannya dahulu, tidak pula aku mengambil serius. Aku sekadar ketawa mengejek. Kini, aku mula ragu. Entah sejak bila, kata-kata itu aku pegang sebagai benih harapan. Mengharap ia bercambah.
Berkerut dahiku memikir. Ingin sahaja aku lempar beban rasa yang menyarat dalam hati. Bingung. Sungguh, aku bingung. Faqri muncul tepat pada masanya. Waktu itu, aku dalam kecelaruan. Disokong dia, aku bertatih untuk bangkit dari kegagalan. Dikhianati kekasih, kerjayaku di hujung pedang, siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kepada Tuhan aku mengadu. Lalu, kehadiran Faqri umpama anugerah. Tanpa jemu, dia menjadi sahabat yang setia. Meniup api kecekalan ke dalam jiwaku.
Sungguh, hubungan kami jujur. Dibatasi sempadan hukum. Biarlah orang kata tiada istilah sahabat baik antara lelaki dan perempuan. Bukankah hubungan kami bukti menyangkal dakwaan itu? Itu anggapan aku. Setahun usia hubungan kami. Tidak pernah sekali aku menyingkap rahsia hatinya. Tidak pernah aku cuba mengambil tahu cinta yang hadir dalam jiwanya. Argh... bukankah dia lelaki kasanova? Tentunya tidak ada hubungan yang serius.
Sesekali aku bercerita tentang lelaki-lelaki yang menyapa hidupku. Sesekali dia bercerita tentang perempuan-perempuan yang ditemuinya. Tiada rasa cemburu. Sebaliknya kami saling menyakat. Mengusik. Gurau senda, bukankah itu gula dalam persahabatan?
Aku memejam mata. Berusaha mencipta damai dalam hati. Bila agaknya perasaan yang huru-hara ini akan kembali tenang? Urusan pejabat bersepah, terbiar di atas meja. Tidak aku endah. Berat. Persoalan demi persoalan menyarati fikiranku. Kacau. Berkocak. Bergolak.
Tiba-tiba hatiku menjadi sayu. Pilu. Tidak keruan. Entah bagaimana, entah bila, ada rasa yang berputik dalam hati. Menggeleng aku. Kepala aku pegang kejap-kejap. Aku perlu bercuti! Menenangkan diri. Persoalannya, bolehkah aku tenang selepas ini?
Memandu kereta, aku tidak pasti destinasi untuk dituju. Lalu, aku berpusing sekitar Taman Permata. Geram. Marah aku kepada Faqri membuak. Kenapa baru kini aku dikhabarkan berita itu? Kenapa setelah masa kian suntuk? Seminggu sahaja lagi. Bukankah aku kawan baiknya? Kenapa seperti aku yang terakhir mengetahuinya. Hatiku menjerit. Hampa. Semakin hampa.
Hampir satu jam berpusing, aku pulang ke rumah. Berkira-kira untuk mengirim e-mel. Meluahkan marah yang membuak. Melahirkan kecewa yang terbuku.
Aku hanya memandang kosong skrin komputer. Memandang pula kepada kad yang terbuka di atas meja. Sebelah papan kekunci. Kad undangan perkahwinan berwarna kuning susu. Fikiranku melayang jauh. Sukar untuk membendung rasa kecewa. Wajah Faqri muncul lagi. Memenuhi layar pandangku.
“Ni kad kahwin aku. Jangan tak datang pula.”
Suara Faqri tengah hari tadi bergema membawa angin pilu memenuhi segenap lorong hatiku. Rasa ingin menangis namun aku tahan. Tidak mungkin air mataku gugur kerana lelaki ini. Aku merengus. Bangkit dari kerusi, mengatur langkah menghala ke tandas. Membuka kepala paip lalu mencurah air paip di sinki. Aku membasuh muka. Beberapa kali. Membangkitkan diri dari mimpi. Jasmin, dia kawan baik kau! Hatiku menjerit. Serentak itu, hajatku untuk menaip e-mel terbantut. Mati di situ.
* * * * *
“Awak marah kerana marah ataupun marah kerana kecewa?”
Aku membulatkan biji mata. Memandang tepat Faisal yang begitu selamba menikmati makan malamnya. Apa maksud dia?
“Saya tak faham.”
Faisal tersenyum manis. Menyedut air tembikai susu beberapa kali. Aku merengus. Geram melihatkan sikapnya yang berlengah. Aku tidak sabar. Ingin kepastian. Faisal Ismail. Kami baru berkenalan dua bulan lalu. Baru beberapa kali keluar makan bersama. Selebihnya hanya berbalas SMS ataupun berbual di talian. Selalunya dia yang menghubungi aku. Kata Faqri, dia sedang cuba memikat aku. Entahlah, tidak pula aku rasa begitu. Kebetulan, petang tadi Faisal menelefon, mengajak aku makan malam bersama. Elok juga dari melayan perasaan seorang diri. Mengadap makan malam, ternyata aku tidak berselera. Menyedari sikap aku yang seperti ada tidak kena, Faisal bertanya. Laju sahaja aku mengadu kepada Faisal.
“Awak berkecil hati atas dasar seorang sahabat atau terluka sebagai seorang wanita?”
Aku mengetap bibir. Tidak terjawab olehku. Terserlahkah? Hinggakan Faisal boleh meneka isi hatiku. Walhal aku sendiri tidak menyedarinya. Baru kini, aku mula mengerti. Itu pun masih ragu.
“Kita baru kenal dua bulan. Setiap kali berbual, cerita awak lebih berkisar tentang dia. Kalau bukan suka, apa lagi?”
“Suka sebagai kawan? Dia kan kawan baik saya?” Aku cuba berdalih.
“Terpulang. Atas awak. Saya cuma boleh kata, awak ada enam hari lagi. Bertindak atau lepaskan.”
Aku termenung jauh. Mengenang kata-kata Faisal. Ada logiknya. Menyedari sesuatu, aku tersenyum.
“Kenapa?”
“Faqri kata awak nak pikat saya. Silap andaian dia. Sebaliknya, awak suruh saya kejar orang yang saya suka.”
Faisal membalas senyuman aku. “Dia tak silap. Memang benar. Saya sedang cuba memikat awak.”
Senyuman di bibir aku lenyap. Aku memandang Faisal kehairanan. “Dah tu, awak tak kisah?”
“Saya berhak suka awak dan awak berhak suka dia.”
Aku ketawa kecil. Betul. Bukankah hidup ini selalu begini? Si A suka Si B tapi Si B itu suka orang lain pula.
Kembali dari makan malam, aku berbaring di atas katil. Masih belum pasti. Perlukah aku berlaku jujur? Sedangkan aku sendiri belum yakin. Mungkin hanya untuk seketika rasa itu menjengah hatiku. Maklumlah, baru menyedari yang aku akan ‘kehilangan’ kawan baikku. Mungkin juga…
* * * * *
27.05.04
Tiga hari berlalu, aku masih belum pasti. Samar. Berbelah bagi. Menghitung hari ternyata sulit. Beberapa kali aku menaip e-mel tetapi tidak pula di klik pada perkataan ‘send’. Panggilan telefon dari Faqri aku biarkan tidak berjawab. Masuk kali kelima, tidak tergamak pula rasanya.
“Kau marah pada aku ke?”
“Tak ada sebab aku nak marah.” Kasar dan keras suaraku.
“Kalau tak, kenapa senyap? Aku call banyak kali buat tak tahu saja.”
“Saja. Tak rasa nak jawab.” Sengaja aku mencurah minyak. Biar terbakar.
“Min, aku tanya betul-betul ni. Yang kau merajuk tak bertempat ni kenapa?” Aku terusik mendengarkan suara Faqri yang kian meninggi. Mungkin kesabarannya telah lebur.
“Kalau setakat nak marah aku, baik tak payah.”
Aku terdengar keluhan Faqri yang panjang dari corong telefon. “Min, kita jumpa?”
“Tak payahlah. Aku tak nak kacau bakal pengantin. Tentu sibuk nak buat persiapan. Okeylah, bye.”
Belum sempat Faqri bersuara lagi, aku memutuskan talian. Telefon bimbit aku matikan. Mataku menjeling pada bungkusan hadiah yang berbalut rapi. Lampu tidur. Siang tadi, aku sempat berkejar memilih hadiah untuk Faqri. Aku tidak bercadang untuk hadir di majlisnya namun aku sekadar bersedia. Manalah tahu kalau-kalau aku mengubah fikiran. Paling tidak, aku beri sahaja hadiah ini sebelum atau selepas majlisnya. Hadiah dari kawan baik. Bukankah sangat bererti?
* * * * *
Dua hari lagi. Sesak nafasku mengira hari-hari yang berlalu. SMS ringkas daripada Faqri aku terima awal pagi tadi. Sesudah Subuh. Memberitahu yang dia sudah mula bercuti. Pulang ke rumah keluarganya di Bukit Baru, Melaka. Sempat dia mengingatkan aku agar hadir. Kalaupun tidak hadir pada hari pernikahannya, dia berharap aku hadir pada majlis di rumah keluarganya. Tidak aku balas SMS itu. Semakin hampir dengan hari ‘keramat’ itu, semakin aku tidak keruan. Aku mengambil cuti. Berkurung di dalam rumah. Bingung aku dibuatnya. Terasa ini dugaan yang paling berat. Perasaan yang samar semakin jelas. Ya Tuhan, bagaimana untuk aku mengakuinya? Sesungguhnya Faqri Redzuan, aku Jasmin Abdullah amat menyayangi dirimu. Bukan sekadar kasih seorang sahabat, tetapi cinta seorang kekasih.
* * * * *
30.05.04
Hampir pukul tiga pagi. Mataku tidak boleh lelap. Sesekali terlena, aku terjaga semula. Macam mana aku mampu nyenyak kalau fikiranku ligat berputar? Hatiku penuh debar. Beberapa jam sahaja lagi, segala-galanya akan berakhir. Berpusing ke kiri, ke kanan, meniarap, duduk bersila, aku perlu melakukannya! Lantas, aku bangkit. Membuka lampu tidur. Membuka komputer. Aku perlu meluahkannya.
Membuka email, aku terperanjat. Ada email untuk aku. Pukul sembilan malam tadi. Dari Faqri Redzuan. Panjang. Meruntun hatiku.
Assalamualaikum, Jasmin.
Kau tahu Min, sekarang ni rumah aku meriah. Ramai yang berkumpul. Sibuk membuat persiapan terakhir. Emak dan adikku sibuk memeriksa hantaran. Kalau-kalau ada cacat cela yang boleh diperbaiki. Emak bising sebab aku berkurung. Mengadap laptop. Dia menggesa aku keluar. Katanya nak dipakaikan inai. Leceh..lelaki pun nak kena pakai inai ke?
Min,
Aku tahu kau marah cuma aku tak pasti puncanya. Sebab aku nak kahwin atau sebab aku lambat beritahu kau? Pelik tapi aku berharap jawapannya sebab yang pertama. Tentu kau tanya kenapa, kan?
Bila kita bertemu semula, aku terbawa-bawa perasaan zaman kanak-kanak aku. Sukar untuk membezakan perasaan sebenar aku pada kau. Apatah lagi waktu itu kau dalam kedukaan. Aku berharap sangat dapat peluk kau, melindungi kau. Aku ingin mencipta bahagia untuk kau. Lalu, aku cuba menjadi kawan baik kau. Bukankah kawan juga seorang pelindung?
Fatiha, bakal isteri aku, kekasih aku semenjak tahun akhir di universiti. Sengaja tidak aku khabarkan kewujudannya. Aku keliru sebenarnya. Tapi Min, aku tak nak kehilangan kau, lalu aku memilih untuk berpegang pada janji dan melepaskan perasaan aku pada kau. Esok, insya-Allah, tepat jam 11.30 pagi, aku akan menunaikan janjiku. Kau tahu Min, sampai sekarang, aku masih keliru. Betulkah tindakan aku ini?
Min, ada satu perkara aku nak kau tahu. Fatiha tentu kecewa kalau dia tahu kenapa aku memilih tarikh ini. 30.05.04. Kau tentu tak ingat tapi, 16 tahun yang lalu, pada tarikh yang sama, aku menjejakkan kaki ke sekolah baru. Kali pertama kita bertemu.
Kau tak perlu risau untuk menyusun ayat membalas e-mel ini. Malah, kalau kau nak kau boleh abaikan sahaja email ini. Anggap sahaja kau tak pernah terima. Kau tak perlu datang ke majlis aku kalau kau tak suka. Kau tak perlu buat apa-apa. Hanya satu Min, hanya satu yang aku minta. Jangan buang aku. Menjadi penghuni di hati kau sebagai seorang sahabat sudah cukup untuk aku.
Okeylah Min, Mak aku dah ketuk pintu. Aku hanya ingin berterus terang. Delete sahaja e-mel ini kalau kau tak suka.

Faqri Rezduan.

Keretaku meluncur jauh meninggalkan tol Sungai Besi. Aku tidak pasti berbaloikah tindakan aku ini. Namun, aku akan lebih menyesal kalau tidak berbuat apa-apa. Biarlah apa pun yang menanti aku di sana, aku ingin mengetahuinya. E-mel Faqri telah aku balas. Tidak pasti sudahkah dia membacanya. Berkali-kali aku cuba menelefonnya, telefon bimbit dia tidak aktif. Argh!!
Menjeling jam di dashboard, hampir pukul enam pagi. Sempatkah aku? Aku perlu tiba seawal mungkin di Melaka. Takut kalau-kalau mereka bertolak awal. Mengikut alamat di dalam kad, rumah pengantin perempuan di Muar. Tentunya majlis pernikahan akan berlangsung di Muar. Argh…kalutnya aku!
Aku hanya ingin kepastian. Bertentang mata, meluahkan isi hati. Aku ingin mendengar keputusan Faqri. Kalaupun dia masih ingin menunaikan janjinya, aku tidak akan kesal. Sekurang-kurangnya, aku telah mencuba.

Faqri,
Aku tak mahu mengulas panjang e-mel kau. Aku cuma nak kau tahu yang apa yang kau rasa sama dengan yang aku rasa. Boleh tak kalau kita beri peluang kepada perasaan ini?
Jasmin.
Tuhan, kalau tindakan aku ini tepat, kau permudahkanlah. Kalau tidak, jauhkan aku dari melakukan kesilapan. Amin.
*****
03.06.04
Min,
Thanks for the email. Terlewat aku baca tapi rasanya kita sama-sama dah tahu jawapannya, kan? Esok petang aku akan ke Langkawi, berbulan madu.
Take care.
Faqri.
Aku tersenyum pedih memandang sepi skrin komputer. Benar. Jawapannya terbentang luas. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Keretaku rosak dalam perjalanan ke Melaka. Aku tiba lewat. Rumah keluarga Faqri sepi berkunci. Sesepi hatiku. Lalu tiada apa lagi yang mampu aku harapkan. Faqri, telah tertulis, kita kawan baik untuk selama-lamanya. Hanya kawan. Pedih untuk diterima tetapi bukankah hakikat hidup memang begitu?

Wednesday, March 25, 2009

Cerpen - Berhenti Berharap

Cerpen ini pernah tersiar dalam MW. Saya tulis sempena kegilaan saya pada lagu itu. Nama Nayli dan Naqib adalah sempena nama anak buah saya.

Selamat membaca! Hargailah perkara yang ada, jangan biarkan rasa kesal menjengah hanya selepas kita kehilangan. :P

______________________________


“Awak pasti?” Sengaja aku menekan suaraku.
Khadija aku lihat begitu tenang mengangguk. Aku melepaskan keluhan panjang. Wajah lembut Khadija aku renung. Cuba menyelami rasa yang tersirat di lubuk kalbunya.
“Kenapa?” Aku yang resah. Gelisah. Tidak mampu meneka isi hatinya.
“Cukup kalau saya katakan saya telah berhenti berharap pada awak.”
Jawapan Khadija hanya mengundang rasa geram di dalam hatiku. Nafasku kian kencang. Cuba mengawal api kemarahan yang kian marak. Aku benci melihat ketenangan Khadija.
“Boleh jelaskan dengan bahasa yang lebih mudah? Saya bukan orang sastera!” Sengaja aku menyindirnya.
Khadija tersenyum. Bersahaja. Hatiku yang kian sakit.
“Saya mengimpikan sebuah kisah kasih yang tulus dan unik. Cinta yang unggul. Saya tidak menemui semua itu dalam diri awak. Dalam hubungan kita.”
Aku tidak pasti reaksi yang sewajarnya yang perlu aku tunjukkan. Perlukah aku ketawa sinis ataupun menangisi kekalahan ini? Akukah yang yang telah tewas ataupun impian Khadija yang terlalu menggunung?
“Kalau itu alasannya, saya sekadar mampu berharap awak bertemu apa yang diharap dalam diri lelaki lain. Doa saya mengiringi langkah awak.”
Bersama kata-kata itu aku melangkah tanpa menoleh lagi.

aku pulang...
tanpa dendam
kuterima.. kekalahanku…


Sebuah lagi kisah kasih terlerai.

* * * * *
“Kau masih ingat dia?”
Aku tersenyum kelat. Setahun, tidak cukup panjang namun mungkin sudah cukup lama. Betulkah aku masih menyimpan namanya dalam hatiku? Tidak aku temui jawapannya.
“Dia dah tak ingat kau. Buat apa kau ingat dia lagi?” Mungkin Nayli ikhlas menuturkannya. Namun, aku tetap terasa.
Benar, mungkin harapan Khadija seperti yang dikatakan dahulu ada dalam diri lelaki itu. Sebagai kawan, seharusnya aku mendoakan yang terbaik untuknya. Bukankah itu janji aku dahulu? Kenapa aku terasa seperti sukar untuk menunaikannya?
“Aku di depan kau tapi hati kau masih mengejar bayang Khadija. Kau tak rasa yang kau keterlaluan?”
Aku tersentak dengan pertanyaan Nayli. Ada rasa terkilan dalam nadanya. Rasa bersalah menyelinap masuk ke lorong hatiku.
“Nayli, maaf.” Hanya itu yang mampu aku luahkan.
“Tiada istilah maaf dalam persahabatan.” Wajah Nayli berseri dengan senyuman manisnya. Aku turut tersenyum. Nayli seorang sahabat yang sungguh menyenangkan. Jarang sekali menyesakkan aku. Aku selesa di sampingnya.
“Okeylah, aku nak balik.” Nayli bangkit.
“Kata nak pergi tengok wayang?”
Nayli menggeleng dalam senyuman. “Tamatkan dulu wayang dalam hati kau. Assalamualaikum.”
Pantas dia berlalu meninggalkan aku terpana. Kata-katanya cukup menusuk kalbu!
* * * * *
“Dia datang kembali.” Aku mengadap Nayli yang tekun menaip.
“So?” Jemarinya masih petah bekerja. Matanya masih pada skrin komputer. Langsung tidak ditoleh pada aku yang mengharap perhatiannya.
“Nayli, can you focus on me?” Aku jadi geram.
Nayli mendongak. “Maaf, tapi sekarang ni waktu pejabat dan kerja aku bertimbun.”
Aku merengus. Nayli, sentiasa tegas. Aku tahu malah arif dengan komitmen kerja yang ditunjukkan. Namun, kalau tidak kerana terdesak tidak mungkin aku mengganggu tumpuan kerjanya. Tidak mungkin aku mencuri masa kerjanya.
“Dah tu, nak tolong ataupun tak? At least give me some advices. Opinion maybe.”
Nayli ketawa kecil. “Don’t you think it’s funny?”
“What?”
“Wake up Naqib! Dia tak menghargai kau sebelum ni, kenapa sekarang dia kembali?”
“Katanya dia tersilap menilai.”
“Mungkin. Dan aku pulak berharap kau tak akan tersilap menilai.”
Belum sempat aku bertanya lanjut, Nayli kembali bersuara. “Okay, time’s up. Aku ada meeting dengan klien.”
Aku mengeluh perlahan.
* * * * *
Aku terbaring merenung kosong siling. Wajah Khadija muncul lagi. Entah kenapa simpati aku melimpah. Mungkin kerana masih ada kasih yang bersisa.
Khadija Azman. Dia bukan kekasih pertama aku. Yang ketiga sebenarnya. Namun, ketika bersamanya dahulu, aku selalu berharap dia yang terakhir. Aku suka pada kelembutan tutur bicaranya. Aku merasa damai merenung wajah tenang milik Khadija. Suatu masa dulu, aku benar-benar berharap dia sebagai jodohku. Peluang kedua ini, perlukah aku genggam erat?

“Apa dah jadi?”
“Saya tersilap. Rupa-rupanya saya melepaskan intan dan mengejar kaca.”
“Lelaki itu, tidakkah dia memiliki apa yang awak harapkan?”
Khadija menggeleng lemah. “Dia pukul saya. Tanpa ikatan, tapak tangannya sudah begitu mudah singgah di pipi saya. Tidak mungkin saya sanggup memperjudikan nasib saya di tangannya.”
Wajah Khadija kelihatan kusam. Simpatiku melimpah ruah.

Bunyi telefon bimbit membawa aku ke alam nyata. Aku tersenyum melihat nama yang tertera. Aku tahu dia mengambil berat. Tak mungkin membiarkan aku dihimpit masalah seorang diri.
“Macam mana?”
“Masih tergantung.”
“Susah sangat ke nak buat keputusan?” Nayli menyindir aku.
“Kalau senang sangat, tak lah aku sampai sakit kepala.”
“Ikutlah… okeylah. Assalamualaikum.” Terus sahaja Nayli memutuskan talian. Seketika aku merenung skrin telefon bimbitku. Aku dapat merasakan Nayli seperti malas melayan aku. Mungkin dia sudah jemu untuk menjadi pendengar.
* * * * *
“Esok aku cuti.”
“Kenapa?”
“Bercuti.”
“Bercuti? Mimpi apa?” Nayli penuh kehairanan.
Aku tersenyum. “Mimpi bertemu Khadija!”
Nayli tersenyum kelat. “So, dah berbaik?”
Senyum aku kian lebar. Aku ingin mencuba sekali lagi. Mana tahu, kali ini harapan aku akan jadi kenyataan.
“Tahniah!”
“Nanti, aku kenalkan kau dengan dia.”
“Tak naklah.”
“Kenapa pula?” Senyuman aku hilang. Sebagai kawan baik aku, seharusnya dia aku kenalkan kepada kekasihku.
“Tanpa bertemu pun aku dah kenal dia.”
“Maksud kau?”
“Aku tak berminat nak bertentang mata dengan dia. Cukup dengan semua cerita kau tentang dia selama ni.”
Sebetulnya aku tak mengerti. Apa maksud Nayli? Namun, yang pasti, sejak hari itu, persahabatan kami mula renggang. Masaku lebih banyak dihabiskan dengan Khadija. Nayli pula seperti terlalu sibuk. Bertemu di pejabat setiap hari tidak membantu. Kami sekadar tersenyum dan mengangkat kening. Tiada lagi makan tengah hari atau menonton wayang mahupun bermain boling bersama. Kami semakin jauh.
* * * * *
“Kita perlu berbincang.”
“Please Naqib. Aku dah malas nak dengar! Kau uruskanlah sendiri soal Khadija. Aku tak nak masuk campur!” Keras suara Nayli. Dia sibuk menyusun dokumen di atas meja. Tidak langsung menoleh padaku.
Aku tersentak seketika. Terkejut dengan sikap Nayli. Namun, aku cuba bertenang.
“Bukan hal aku dan Khadija. Tapi hal kita.”
Nayli mengeluh lalu mendongak.
“Kita?”
Belum sempat aku menjawab, pintu bilik Nayli diserbu masuk. Kami kaget seketika.
“Surprised!” Nayli yang terkejut senyum selepas seketika. Hanya aku seorang yang masih keliru. Kek? Hari jadi siapa? Nayli, bukan bulan depan ke?
“Kek ni, kami hadiahkan sempena kenaikan pangkat Cik Nayli. Malam ni, kami ingat nak keluar makan bersama. Cik Nayli free tak?” Fatin mewakili yang lain bersuara.
Aku kian keliru. Aku memandang Nayli meminta penjelasan. Nayli ternyata tidak sedar akan pandanganku.
“Terima kasih. Malam ni saya ada hal. Esok, lunch on me!”
“Well, okay. Kalau macam tu, kami keluar dulu.”
Mungkin mereka serba salah. Mungkin mereka menyedari ketegangan yang melanda antara aku dan Nayli.
Nayli sekadar mengangguk. Aku sekadar memerhati langkah mereka. Dalam hati, rasa marah mula meluap. Kenapa seperti aku seorang yang tidak tahu?
Kembali berdua, aku merenung Nayli. “Apa semua ni?”
“Apa... apa?”
“Nayli, jangan buat-buat tak faham! Kenapa aku tak tahu?”
“Sebab kau tak ambil tahu!”
Aku merengus. Nayli, sengaja mencari marahku!
“Naqib, kau pun tahu, aku dipinjamkan ke cawangan ni. Sekarang aku transfer balik ke HQ. Itu sahaja.
Aku terdiam. Memang, perkenalan kami hanya kebetulan. Sepatutnya, sudah lama Nayli memegang jawatan Pengurus Operasi. Tetapi kerana kekurangan kakitangan, dia dipinjamkan ke cawangan ini sebagai Pengurus Cawangan.
“Kenapa tak cakap?”
“Sekarang pun kau dah tahu, kan?”
“Orang terakhir?”
Nayli tersenyum tenang. “Orang terakhir ataupun pertama, sama sahaja.”
Aku kehilangan kata. Hakikatnya, aku terasa!
“Marah lagi?”
“Bila balik ke JB?”
“Esok hari terakhir aku di sini.”
“What?”
Nayli mengetap bibir. Mungkin terkejut dengan jeritanku.
“Well, congratulation my friend!” Aku mengatur langkah pantas. Pintu bilik sengaja aku hempas. Biar dia tahu aku terasa!
Esoknya, aku tidak ke pejabat. Sengaja mengambil MC. Sengaja tidak mahu bertentang mata dengan Nayli. Aku benar-benar terasa!
Sebulan berlalu sepi. Aku tidak menghubungi Nayli. Entah apa khabarnya di Johor Bharu.
* * * * *
“Bila awak nak masuk meminang?”
Pertanyaan Khadija membawa kejutan besar. Hampir tersedak aku. Mujur tidak tersembur keluar milo ais yang baru aku teguk. Sungguh, aku tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Lalu aku biarkan soalan itu tanpa jawapan.
“Awak dengar tak?”
Aku melepaskan garfu di tangan. Hajat untuk menyuap fries terbantut.
“Nantilah dulu.” Tiba-tiba aku jadi tidak selesa. Aku terkenang kenangan lampau. Setahun lalu, bukankah perkara itu termasuk dalam matlamat hidup aku?
Sesuatu yang tidak aku sedari sehingga saat ini, rupa-rupanya sejak kami bermula semula, perkara itu tidak pernah aku fikirkan. Tidak lagi menjadi sebahagian impianku. Sehingga kini, baru aku menyedari hakikat itu!
Lalu untuk apa sebenarnya hubungan ini bermula semula? Tiba-tiba aku dadaku menjadi sesak. Lemas. Berdepan dengan Khadija, damainya tidak aku rasai. Tidak seperti dahulu. Ketenangan yang terpancar pada wajahnya tidak terbias kepadaku.
Aku merenung meja. Tidak berani mengangkat wajah. Aku sedar pada sepasang mata redup yang tajam memandangku. Aku tidak ingin bertentang mata. Aku tidak mahu Khadija nampak keraguan hatiku.
“Naqib, adakah saya tersalah anggap?”
Aku menarik nafas panjang. Mengeluh perlahan. Dengan rasa yang memberat dalam hati, aku mendongak.
“Maaf.”
“Kenapa? Adakah ini balasan untuk saya?”
Pantas aku menggeleng. “Saya bukan pendendam.”
Khadija tersenyum kelat. Takungan manik mula kelihatan di hujung matanya. Aku kian resah. Kalut. Melukakan hatinya, bukan sesuatu yang menyenangkan!
“Siapa dia?”
Aku memejam mata. Soalan Khadija berlalu sepi.
* * * * *
“Tolong jangan cakap yang awak…”
“Saya tersilap!” Pantas aku memotong kata-kata Nayli. Aku muncul mengejut di hadapannya. Ke Johor Bharu aku mencarinya.
‘Habis tu?”
“Saya cintakan awak.” Yakin. Aku benar-benar yakin. Rasa yang samar itu kian jelas. Wanita di hadapanku, entah bila, telah menghuni ruang hatiku. Ya, dia bakal membahagiakan aku! Aku benar-benar yakin!
“Izinkan saya bahagiakan hidup awak!”
Nayli terus membatu. Wajahnya tenang. Langsung tidak memberi sebarang reaksi.
“Nayli, awak dengar, kan?”
Nayli tersenyum. “Bukan selayaknya ucapan itu untuk saya.”
Aku tersentak. “Atau saya yang tidak layak menuturkannya?” aku menyindir Nayli. Nayli hanya berdalih. Menjaga air mukaku. Itu tanggapanku!
“Maaf.”
“Kenapa? Saya sangka…”
Nayli mengangguk. “Memang, dulu…..pernah kasihkan awak.”
“Sekarang?”
Nayli tersenyum tawar. Perlahan dia bersuara, “Saya telah lama berhenti berharap.”
Aku kaku. Beku.
“Assalamualaikum, Naqib.” Nayli berlalu meninggalkan aku yang keliru.

aku tak percaya lagi
atas apa yang kau beri
aku terdampar di sini…..

aku berhenti berharap
dan menunggu datang gelap….

Terlewatkah aku?