Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Friday, October 23, 2009

CERPEN - Teksi Untuk Ana

Ana menghela nafas panjang. Keluhan yang dalam. Pesan ibu supaya tidak mengeluh sudah dilanggar. Dengan hujung lengan baju, Ana meyeka peluh yang memercik di dahi. Mata Ana menghala ke jalan berbukit yang perlu dilaluinya. Perjalanannya masih panjang tetapi sungguh, Ana keletihan. Walaupun tiada keyakinan, Ana berharap ada yang datang membantu.
Saat hampir berputus asa, tiba-tiba sebuah teksi berhenti di hadapan Ana.
Ana tergamam. Mahu mendekati teksi itu, Ana serba salah. Tetapi teksi itu kelihatan mengujakan. Lalu Ana mendekatinya. Dibelek luar dalam secara sepintas lalu, Ana rasa selesa. Tanpa sedar, ada rasa mahu menaiki teksi itu. Ya, Ana mahu mencuba, berharap teksi itu sebagai penyelamat keadaan. Ana berharap teksi itu akan membantunya meneruskan perjalanan yang entah bila akan terhenti.
Malang untuk Ana, teksi itu bukan untuk Ana. Ternyata teksi itu sudah memilih penumpangnya sendiri. Lalu apa sahaja yang mampu Ana buat?
Ana terkilan. Kalau sudah ada penumpang lain yang jadi pilihan, mengapa berhenti di hadapan Ana? Mengapa tidak terus berlalu? Mengapa membuatkan Ana berharap pada yang tiada?
Namun, siapalah Ana untuk mempertikaikan takdir. Teksi itu ditakdirkan berhenti di hadapannya. Siapa Ana untuk mempersoalkan kewajarannya?
Ana membiarkan teksi itu berlalu. Biarkan sahaja kerana teksi itu bukan untuk Ana. Ana terduduk, terluka. Mata Ana dipejam. Memikir. Harus bagaimana? Teruskan perjalanan ataupun menunggu teksi lain? Akan adakah teksi untuk Ana?
Perlahan nafas dihela. Mata dibuka. Keyakinan yang sedikit sudah tiada. Ana tahu Ana perlu melangkah. Tetapi buat seketika, Ana mahu begini sahaja....

Saturday, July 25, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 5)

“Saya tahu apa yang awak fikirkan. Mengapa tidak luahkan?” tanyanya dalam senyuman sinis.
Yang ditanya dahinya sudah berkerut. “Maksud awak?”
“Awak mengandaikan saya terjatuh pada tempat yang salah. Bukankah itu yang bermain dalam fikiran awak?”
Senyum diikuti tawa kecil. Tergeleng-geleng kepala. Bukan menafikan kerana memang itu yang terlintas dalam hati. Gelengan itu kerana mengagumi si dia yang bijak menelah isi hatinya.
Itulah... itulah saat permulaannya. Saat yang membawa kepada keakraban antara Akal dan Cinta. Si Cinta saat itu kecewa. Lalu entah bagaimana laju sahaja meluahkan kekecewaan kepada Akal. Padahal mereka bukan rapat pun. Mereka hanya berjiran. Berjiran tempat duduk di pejabat.
Tetapi itu cerita lama. Cerita lama yang Akal tidak mahu kenang-kenang lagi. Biarlah. Biarkan sahaja cerita lama itu berkubur.
Cinta yang terluka. Akal yang cuba merawat. Akhirnya Cinta sembuh tetapi Akal terjebak. Terjangkit penyakit yang sama. Si penyebar virus pula enggan bertanggungjawab. Kata Cinta, dia tidak mahu melaluinya sekali lagi. Dia tidak berani menanggung risiko akan terluka lagi.
Padahal, Akal mentafsir alasan Cinta itu sebagai penolakan. Cinta tidak suka Akal. Titik. Semudah itu. Makanya Akal tidak lagi percaya Cinta. Dan mereka kembali asing. Seperti dahulu. Apatah lagi Cinta memilih berpindah pejabat. Bukan jauh pun. Di bangunan bertentangan. Tetapi Akal selalu mengelak, lalu mereka tidak bertembung. Luka itu kekal dalam hati Akal. Tetapi tiada yang sedar. Kisah mereka jadi sejarah yang tidak diketahui.
Kini, muncul pula Hati. Hati pada mata Akal naif orangnya. Seperti dia dahulu, mudahnya hati terusik, teruja dengan kehadiran Cinta. Akal tertanya sendiri, kali ini bagaimana Cinta menanganinya? Akan terlukakah Hati? Ataupun Hati akan menjadi orang yang menewaskannya sekali gus menjinakkan Cinta?
Akal tidak ada jawapannya. Namun, doanya untuk Hati, moga Hati tidak terluka.

Friday, June 12, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 4)

Surat Untuk Cinta Episod 1
Surat Untuk Cinta Episod 2
Surat Untuk Cinta Episod 3



“Awak pernah terjatuh?”
Dia tidak memberi respons. Sekadar menjadi peneman setia. Bukan tidak ada jawapan, tetapi lebih kepada tidak bersedia berkongsi cerita. Biarlah hanya si dia yang bercerita. Bagi dirinya pula, ceritanya sudah lama tamat, dia tidak mahu membuka simpulan kenangan lama. Kenangan yang menjerut hati setiap kali melintasi ruang fikirannya. Kenangan yang memberi resah. Kenangan yang belum mampu dilepaskan.
“Dahulu, semasa kita anak-anak lagi, jatuh bukan perkara besar. Sakitnya hanya seketika. Kemudian kita seolah-olah terlupa yang kita pernah jatuh dan tercedera. jadi kita teruskan, terjatuh, tercedera, teruskan dan rutin itu berulang. Tetapi menginjak dewasa, kita mula didatangi rasa yang satu itu. Takut terjatuh kerana takut terluka. Semakin meningkat usia, semakin kuat pula rasa itu menguasai jiwa. Lalu rutin yang satu itu semakin berkurang. Dan sejak itu, kita semakin jarang terjatuh. Tidak kiralah terjatuh dalam situasi bagaimana. Kita hanya mahu menjalani hidup dengan selesa. Jadi kita kerap memilih jalan selamat. Jalan yang tidak akan buat kita terjatuh jauh sekali terluka. Sedangkan hidup ini satu risiko. Bagaimana mahu menjalani hidup apabila tidak berani mengambil risiko?
Dia kekal membisu. Membiarkan luahan itu meniti di bibir. Saat itu, dia tidak mahu berbalas hujah, hanya mahu menjadi pendengar yang setia.
“Saya mahu berfikiran postif. Saya tidak mahu rasa itu menguasai diri. Saya mahu melawan ketakutan itu. Saya mahu mengambil risiko. Jadi saya membiarkan diri terjatuh kerana saya percaya saya tidak akan terluka. Saya benar-benar yakin risiko yang saya ambil ini berbaloi. Pernah dengar tentang hukum tarikan? Law of attraction? Asalkan kita mahu sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh dan kerap memikirkannya, maka kita akan memperolehnya. Asalkan tiada keraguan dalam hati. Jadi, saya membiarkan diri terjatuh kerana saya mahu itu berlaku dan tiada sedikit pun keraguan dalam diri yang saya akan terluka. Tetapi mengapa akhirnya saya tetap terluka?
'Mungkinkah kerana awak terjatuh di tempat yang salah ataupun mungkin awak terjatuh untuk terluka?' Kata-kata itu hanya berlegar dalam diri.

Tuesday, June 2, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 3)

“Jadi kamulah Cinta yang diagung-agungkan?”
Cinta yang dari tadi khusyuk membaca novel sementara menunggu hidangan tengah harinya mengangkat muka. Matanya menangkap figura yang berdiri di hadapan meja makan yang didudukinya.
Wajah tersentaknya kendur, dihiasi senyuman manis. “Sudah lama kita tidak bertemu. Awak apa khabar?” Suaranya mesra, tanda gembira dengan pertemuan tanpa janji itu.
“Bagaimana awak mahu menjawab?” Intonasinya mendatar, tidak langsung ada keceriaan.
“Maksud awak?”
“Itu.” Lirik matanya menghala kepada sepucuk sampul warna merah jambu di sisi novel yang dibaca Cinta. Dia kenal sampul itu. Sampul yang sama yang dikucup Hati tempoh hari.
Cinta tersenyum. “Duduklah, saya akan jawab setiap pertanyaan awak tetapi duduklah dahulu. Sudah terlalu lama sejak kali terakhir kita duduk bersama.” Suara yang digetarkan perlahan dan lembut.
Dia mengalah. Duduk bertentang dengan Cinta.
“Saya harap itu petanda baik awak membawa sampul itu di sisi awak.”
Cinta menggeleng dalam tawa kecil. “Sekadar sebagai penanda buku, bukan apa-apa.” Serentak itu, Cinta meletakkan sampul itu di muka surat terakhir dia berhenti membaca sebelum menutup novel itu.
“Saya sangka awak sudah lama khatam membaca cerita itu?” Matanya melirik tajuk novel itu. Mencari Cinta.
“Saya suka ulang baca. Kisahnya dekat dengan diri.” Cinta tersenyum.
Dia tertawa mendengar jawapan itu. Sinis.
“Awak kenal Hati?” tanya Cinta.
“Awak bercadang mahu menjawab bagaimana kepada dia?”
“Akal, awak masih marah saya?”
Patutkah dia marah?
“Saya tidak perlu jawab soalan awak. Saya cuma harap awak tidak melukakan Hati. Padanya awak indah, sesuatu yang indah tidak akan melukakan. Saya tidak mahu dia terpedaya dengan tanggapan yang naif itu.”
Cinta tersenyum. “Dulu, awak juga beranggapan yang sama.”
“Dulu. Ketika saya bodoh menilai.”
“Sekarang, apa pandangan awak pada saya?”
“Pandangan saya bukan tajuk perbualan ini. Cinta, berhentilah melukakan.”
“Saya sendiri terluka. Awak perlu ingat itu, Akal. Dulu, bukan awak sahaja yang terluka. Saya juga.”
Akal menarik nafas dalam, menghembus perlahan. “Saya pernah terluka. Awak juga pernah terluka. Jadi, jangan lukakan dia.”
Cinta menggeleng. “Dia yang memilih untuk jatuh, jadi dia juga memilih untuk terluka. Akal, awak mahupun saya tidak upaya melindungi dia. Ini kisah Hati, biar dia lalui sendiri.”

Monday, May 25, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 2)

Untuk Cinta yang indah,
Untuk Cinta yang suci,
Untuk Cinta yang tulus,
Untuk Cinta yang damai,
Semuanya untuk Cinta....

Hati tidak pandai bermain madah,
Hati tidak tahu membisik kata puitis,
Hati tidak mahir berbicara soal rasa,
Tetapi sesungguhnya Hati hadir untuk Cinta.

Cinta,
Terima kasih kerana mewarnai hidup Hati,
Pinta Hati, Cinta selalu ada,
Buat Hati berbunga-bunga.


Cinta,
Hati menulis atas kertas yang istimewa,
Dakwatnya juga istimewa,
Tetapi tatkala menulis huruf pertama,
Ternyata tiada yang istimewa seistimewa Cinta.

Cinta,
Sudikah Cinta mekar dalam diri Hati?
Sudikah Cinta berlama di sisi Hati?
Sudikah Cinta menemani hari Hati?

Yang selalu mengharap Cinta,
Hati.



Hati tersenyum lebar saat melipat warkah cinta buat Cinta. Dalam hati, doanya melangit. Moga Cinta tersentuh. Moga Cinta merasakan yang sama. Moga ada Cinta untuk Hati.
“Sudah selesai menulis?” tegur Akal yang muncul tiba-tiba di belakang Hati.
Tersentak Hati dibuatnya. “Ish, awak ini, sengaja buat saya terkejut.” Hati mencemik.
Akal tertawa kecil. “Bagaimana?”
Hati tersenyum lebar. Dia mengangguk perlahan. “Ini, sudah siap. Tinggal lagi memberi kepada Cinta.”
“Betul awak mahu beri?” Akal bertanya lagi.
“Mengapa?”
Akal mengangkat bahu. “Sekadar bertanya.”
“Tentu ada sebab.”
Akal menarik nafas, menghembusnya perlahan dan panjang. “Mungkin kerana saya ambil berat tentang awak. Saya tidak mahu awak terluka.”
Hati menggeleng. “Terima kasih. Saya hargai perhatian awak. Tetapi bukankah saya pernah katakan, Cinta itu indah. Sesuatu yang indah tidak akan melukakan.”
Akal tersenyum tawar. “Saya harap saya tersilap.”

Friday, May 15, 2009

CERPEN - Surat Untuk Cinta (Episod 1)

Akal berjalan laju menuju ke 7 Eleven, niat di hati mahu membeli vitagen perasa oren, anggur dan epal. Di pertengahan jalan, dia bertembung dengan Hati.
Akal pantas menegur Hati yang tersenyum lebar seorang diri, “Mengapa awak tersenyum riang. Ada apa-apa yang buat awak gembira?”
Senyum Hati semakin lebar. “Hai Akal. Mahu beli vitagen?” Hati sudah tahu rutin Akal. Sengaja Hati tidak menjawab soalan Akal.
Akal mengangguk. “Awak pula?”
“Saya mahu ke Wangsa Ceria. Mahu beli pen dan kertas.”
Dahi Akal berkerut. Bukankah banyak kertas di pejabat? Mengapa perlu membeli?
Hati memahami kerutan dahi Akal. Tanpa ditanya dia menjelaskan hal sebenar. “Saya mahu beli kertas dan pen yang istimewa.”
“Istimewa?”
Hati tersenyum lalu mengangguk. “Yang istimewa untuk yang istimewa.”
“Maksud awak?” tanya Akal lagi.
“Saya mahu menulis surat untuk Cinta. Cinta istimewa, jadi surat itu perlu ditulis di atas kertas istimewa menggunakan pen istimewa.”
Akal tertawa. “Mengapa tidak SMS ataupun e-mel sahaja?”
Hati menggeleng. Masih tersenyum. “Cara itu tidak istimewa.”
Akal merenung Hati. “Bukankah Cinta itu buta? Walau seistimewa mana pun surat yang awak tulis, tetap dia tidak dapat membacanya. Bukankah hanya sia-sia?” Akal sengaja menduga Hati.
“Awak silap Akal. Surat untuk Cinta bukan untuk dibaca tetapi dirasa. Benar Cinta itu buta tetapi dia pasti dapat merasai luahan saya.”
Akal tergelak kecil lalu menggeleng. “Ya, mungkin saya tidak memahami permainan Hati dan Cinta.”
Hati terus tersenyum. “Suatu hari nanti, apabila awak bertemu Cinta, tentu awak akan faham.”
“Mungkin. Saya ada satu lagi soalan.”
“Apa?”
“Kalau Cinta tidak memahami ataupun tidak menerima luahan awak, bagaimana?”
“Belum cuba belum tahu,” jawab Hati tenang namun riak wajahnya sedikit berubah.
“Awak tidak menjawab soalan saya.” Akal tersenyum sinis.
Hati menghela nafas berat. “Sebetulnya, saya tidak berani memikirkan soalan itu. Saya hanya mahu berfikiran positif.”
Akal tersenyum dalam gelengan. “Sama ada awak optimis ataupun awak terlalu naif. Hidup ini bukan semuanya indah.”
“Tetapi Cinta indah. Sesuatu yang indah tidak akan melukakan.”
“Terpulang. Berusahalah.”
“Terima kasih. Saya pergi dahulu.”
Akal mengangguk. Menghantar pemergian Hati dengan doa, semoga semuanya kekal indah untuk Hati.
Hati pula sudah mula mengarang surat untuk Cinta dalam fikirannya. Untuk Cinta yang indah.....

Wednesday, April 15, 2009

Cerpen - Lara Hati

Cerpen ini pernah tersiar dalam MW. Ditulis ketika kita dikejutkan dengan kes kematian seorang perempuan. Rasanya ini cerpen terakhir dalam simpanan saya. Jadi mungkin lepas-lepas ni tak ada entri cerpen melainkan tiba-tiba saya terjumpa koleksi lama yang lain ataupun dapat petunjuk untuk menulis lagi. Selamat membaca.
________________________________________

LARA HATI


“Lepaskan saya.” Mendatar suara Aireen meluncur laju. Perlahan tetapi terselit sedikit ketegasan.
“Maksud sayang?” Zafir tersentak. Hatinya mula berdebar. Perlahan dan kemudian semakin kuat. Resah dia menanti bicara seterusnya dari Aireen. Matanya merenung tepat bola mata Aireen.
Aireen melarikan pandangan. Untuk menuturkan kata-kata itu, dia telah berfikir sedalamnya. Bukan mudah sebenarnya. Namun, desakan hatinya tidak mampu dibendung lagi. Dia ingin meleraikan lilitan sengsara yang melingkari hidupnya.
“Kita berpisah.”
Zafir mendengus. Benar sangkaan hatinya. Argh… wanita ini sengaja menduganya. Perlukah perpisahan yang dimintanya? Zafir sedikit geram. Niat di hati ingin membina semula hidupnya. Mencipta bahagia bersama Aireen dan Arisa Zafira, puteri hati mereka.
“Kalau abang kata tidak?”
Aireen mengeluh. Ego lelaki. Perlahan, Aireen bersuara memujuk.“Itu yang terbaik. Buat apa sengsara kalau sudah nampak jalan keluar.”
“Alasan! Aireen malu dengan abang, kan?” Bentak Zafir.
Perasaan terkilan bercampur geram membuak-buak di dada Aireen. Cuba disabarkan hatinya. Pesan emak, api jangan dicurah minyak.
“Abang tahu Aireen bukan macam tu.”
“Aireen masih marah? Belum maafkan abang?”
Suara Zafir kembali lembut. Terbit kesedaran dalam hatinya. Tidak wajar dia meninggikan suara. Hanya menambah kekusutan yang sedia ada. Bimbang hati Aireen kian terluka.
Aireen membelakangkan Zafir. Berjalan menuju ke balkoni. Merenung kosong lampu-lampu yang berkilauan. Sepoi angin malam tidak mampu mendamaikan hatinya.
Maaf? Persoalan itu berlegar di ruang fikiran Aireen. Aireen tidak pasti. Hatinya tawar. Sejak tujuh bulan lalu, Zafir kerap meminta Aireen untuk memaafkannya. Sudahkah kemaafan itu dihulur? Perlahan Aireen tersenyum tawar. Namun tiada bicara daripadanya.
Zafir melangkah mendekati Aireen. Bahu Aireen dipaut lembut. “Abang tunggu. Sampai sayang bersedia memaafkan abang. Ya?”
Aireen menoleh ke sisi. Merenung wajah Zafir penuh mengharap. Bukan tiada kasih yang bersisa namun, calar duka di hatinya tidak mampu dihilangkan.
“Tujuh bulan bukan masa yang singkat untuk Aireen berfikir. Abang, beri Aireen peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri.” Lembut dan tenang suaranya.
Zafir mendengus. Pautan dilepaskan. Aireen dan kata-katanya. Argh…dia memang bijak bermain kata. Tenang tetapi tegas. Api kemarahan kembali menguasai Zafir. Sakit hatinya melihat ketegasan Aireen.
“Apa pun terjadi, kita tidak akan berpisah.” Bersama kata-kata itu, Zafir melangkah meninggalkan Aireen. Pintu rumah dihempas kuat. Aireen sedikit tersentak. Air mata yang ditahan dari tadi berjujuran. Hatinya sepi, sesepi rumah yang dahulunya istana buat mereka.
* * * * *
“Maafkan Abang, sayang.” Zafir yang melutut tidak dipedulikan. Aireen terduduk kaku di hujung katil. Air matanya terus berguguran. Tiada kata-kata mampu diungkap untuk menggambarkan kekecewaan yang dirasa. Hatinya bagai kaca berderai. Hampa. Kesal. Marah. Benci. Perasaannya huru-hara. Pengakuan Zafir umpama bom atom yang meledak. Memusnahkan seluruh kuntuman bahagia dalam hidupnya. Badannya terasa menggigil. Aireen mengetap bibir. Cuba menenangkan rasa geram yang membuak di dada. Menunggu masa untuk meletup.
Zafir menggenggam erat tangan kanan Aireen. “Sayang, jangan macam ni. Marahlah abang. Pukul. Tapi tolong jangan membatu macam ni.”
Menggunakan tangan kiri, Aireen meleraikan genggaman Zafir. Mengumpul sisa kekuatan yang ada, Aireen bangkit dari bucu katil. Perlahan air mata dikesat. “Pergilah. Tentu ada sebab abang disyaki.”
“Sayang percaya kalau abang kata abang tak buat?”
Aireen mendengus. Zafir bangkit. Berdiri di hadapan Aireen.
“Sayang, tolong jawab. Jawapan sayang sangat penting buat abang.”
Aireen membisu seribu bahasa. Hanya anggukan sebagai jawapan.
“Jaga diri dan jaga anak kita. Mungkin Abang akan ditahan beberapa hari.”
Zafir memeluk Aireen erat. Rambut Aireen diusap. Lembut. Pipi Aireen dicium. Namun, Aireen tetap kaku. Langsung tidak membalas setiap tindakan Zafir.
Zafir melangkah perlahan. Menjauhi Aireen. Beberapa langkah, Aireen bersuara, “Kita pergi bersama.”
“Sayang?” Zafir menoleh. Mencari kepastian.
“Abang tentu perlukan peguam.”
“Maksud sayang?”
“Mulai sekarang, Aireen peguam abang.”
* * * * *
“Abang, Aireen nak abang dengar dengan teliti. Abang akan didakwa di atas tuduhan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kalau disabit kesalahan mungkin akan dijatuhkan hukuman mati.”
Zafir tunduk merenung meja. Tidak tergamak rasanya untuk menatap wajah di hadapannya.
“Aireen nak abang ceritakan semua. Semua yang berlaku pada malam kejadian. Malah sepanjang perhubungan abang dengan si mati. Jangan tertinggal walau sekecil hama pun.” Sengaja Aireen tidak menyebut nama Kartika. Hatinya terhiris. Namun, dia sedar, dia perlu kuat. Lelaki di hadapannya seorang suami yang curang tetapi bukan seorang pembunuh. Biar Tuhan yang menghukumnya di atas kecurangannya namun dia akan berjuang membuktikan Zafir bukan pembunuh.
* * * * *
“Melepaskan ataupun meneruskan. Kedua-duanya perlukan kekuatan.”
Aireen terdiam mendengar kata-kata Zaina. Sahabat baik yang menjadi tempat dia meluahkan deritanya. Ziana, seorang doktor psikologi. Secara tidak langsung, Aireen menjadi klien Zaina.
“Bertenang dan fikirkan sebaik mungkin. Di mana kau berada dan ke mana kau ingin melangkah.”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, semuanya nampak kusut. Aku penat. Betul-betul penat. Bila dalam mahkamah, aku rasa nak menjerit. Nak mengamuk pada Zafir. Tergamak dia buat aku macam ni.”
“Kenapa kau bersedia jadi peguam dia?’
“Aku sayang pada dia. Aku percaya dia tak bunuh perempuan tu.”
“Tapi, itu tak bermakna kau yang harus bela dia.”
“Entahlah. Mungkin sebab aku tak yakin dengan orang lain.”
Zaina terdiam. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Zaina sedar kecelaruan yang melanda hidup Aireen sukar diperbetulkan.
“Apa-apa pun, kau perlu tumpukan perhatian kepada tanggungjawab kau sebagai peguam Zafir.”
Aireen mengangguk lemah. Dia tahu, itu yang paling penting. Selepas itu? Biarlah, dia akan membuat keputusan bila tiba masanya.
* * * * *
Aireen bersandar di sofa. Memeluk erat bingkai gambar perkahwinannya. Air matanya sudah kering. Penat memikirkan jalan yang terbaik. Zafir masih belum pulang. Jam di dinding dijelingnya. Hampir pukul empat pagi. Mungkin Zafir tidak pulang. Mungkin dia sedang menenangkan hatinya.
Perlahan Aireen bangkit. Menuju ke bilik. Beg pakaian dikeluarkan. Baju dilipat kemas. Dimasukkan ke dalam beg. Tidak ditinggalkan walau sehelai pun. Kalau pun Zafir membenarkan dia tinggal di rumah ini selepas mereka bercerai kelak, Aireen tidak sanggup. Hidupnya tentu tidak aman, dihantui kenangan lama.
Selesai berkemas, Aireen mengambil wuduk. Menghadap Tuhan, memohon keampunan. Memohon ditetapkan hatinya. Memohon ditenangkan jiwanya.
* * * * *
Duduk seorang diri di dalam kereta, air mata Zafir tumpah lagi. Suara Aireen semakin sayup. Mengenang peristiwa yang berlaku, hatinya dihimpit rasa berdosa. Sesak nafasnya.
Ini bukan kali pertama dia menangis. Sejak tujuh bulan lalu, sudah terlalu kerap dia menangis. Hatinya penuh kesalan. Noda dosa yang dikumpul bersama Kartika amat berat untuk ditanggung. Pengorbanan seorang isteri, tegak di sisi ketika keaibannya dipertonton amat meruntun hati. Seorang isteri yang hatinya terluka, sanggup mengenepikan rasa hati lalu berjuang untuk seorang suami yang curang. Zafir tidak pasti adakah itu rahmat atau hukuman Tuhan yang diterimanya.

“Mahkamah memutuskan bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Zafir Anuar, awak dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan ini.”
Hanya Tuhan yang tahu betapa syukur dan gembira hati Zafir. Air mata Aireen tumpah juga. Menjadi tontonan segenap yang hadir dalam bilik mahkamah. Kalau sebelum ini, Aireen menjadi tajuk utama akhbar. Digambarkan sebagai wanita yang cekal dan berani. Begitu tenang biar pun sesi pendakwaan merungkai satu persatu keaiban dalam hubungan Zafir dan Kartika. Tenang melaksanakan tanggungjawab menyoal balik saksi pendakwa. Mendengar pengakuan Zafir tentang hubungannya dengan Kartika. Semuanya kerana etika guaman yang dijunjung. Lalu, bila keputusan diumumkan, Aireen menjadi seorang isteri yang gembira.
Zafir mendengus. Memadam kenangan lalu. Baru tiga hari dia dibebaskan. Baru tadi, selesai kenduri doa selamat. Tidak diduga Aireen meminta penceraian. Bukan dia tidak nampak kedukaan Aireen. Namun, sangkanya Aireen sepertinya. Ingin melupakan mimpi ngeri itu, lalu bersama berusaha untuk bahagia. Kenapa? Kenapa?
Solat subuh di masjid, Zafir merasa begitu kerdil. Niat di hati ingin memohon agar hati Aireen dilembutkan. Agar hati Aireen dapat dipujuk. Namun, Zafir terasa malu. Siapa dia untuk meminta? Layakkah dia untuk memohon?
* * * * *
“Assalamualaikum.” Zafir bersuara dalam sebak. Melihat Aireen yang duduk bersimpuh membaca al-Quran.
Aireen meneruskan bacaan seketika. Perlahan ditutup al-Quran, lalu mencari wajah Zafir.
“Abang dah sembahyang?” Itulah kali pertama Aireen bertanya tentang solat Zafir. Selama empat tahun usia perkahwinan mereka, baik Aireen mahupun Zafir kerap terlupa atau sengaja melupakan solat.
Zafir mengangguk lemah.
“Kita dah jauh tersasar. Inilah masanya untuk kita menilai semula langkah kita. Membaiki mana yang perlu.” Perlahan dan lembut suara Aireen.
“Tak bolehkah kita melakukannya bersama?”
Hati Aireen dihimpit kesayuan. Perlahan, dia menggeleng. “Aireen minta maaf. Sejak Abang ditahan, Aireen dah cuba. Aireen benar-benar berusaha. Sehinggalah saat ini, baru Aireen mengerti. Aireen dah pun memaafkan Abang. Malah, mungkin dari awal lagi. Tapi, untuk melupakan Aireen belum mampu.”
“Kalau Sayang benci Abang, kenapa sebelum ni Sayang tak tinggalkan Abang. Kenapa baru sekarang?’
“Aireen setia di sisi kerana itu tanggungjawab Aireen. Sebagai isteri. Sebagai peguam. Abang dah pun bebas, Aireen minta, beri peluang untuk Aireen.”
Peluang? Sudah dua kali Aireen minta diberi peluang. Bukankah aku yang sepatutnya diberi peluang oleh Aireen? Hati Zafir menjerit.
“Abang yang sepatutnya diberi peluang. Kenapa Aireen menghukum Abang?”
“Siapalah Aireen untuk menghukum. Aireen cuma ingin menyelamatkan diri.”
“Tak bolehkah kita sama-sama menyelamatkan keluarga kita?”
“Abang, dalam hati Aireen sudah tiada rasa percaya. Yang ada hanya curiga. Kalau kita bersama, kita hanya akan kelemasan. Biarlah kita sama-sama bernafas lega.”
Zafir menarik nafas. Melepaskan keluhan panjang. “Aireen berkeras?”
“Bukan berkeras tapi bertekad. Aireen tak mampu teruskan perkahwinan ini. Aireen akan terus dihantui bayang Kartika. Aireen akan terus tertanya siapa lagi sebelum atau selepas Kartika. Aireen tak sanggup Abang. Benar-benar tak sanggup! Aireen bukan wanita kental seperti digembar-gemburkan dalam akhbar. Aireen hanya wanita biasa. Yang tahu rasa sakit bila hati dilukakan. Yang tahu rasa kecewa bila cinta dikhianati.” Terhambur segalanya. Tujuh bulan, Aireen menyimpan kecewa dalam hati. Memaksa diri berdiri tegak. Akhirnya, dia tewas juga.
Zafir menggeleng kesal. Luka Aireen benar-benar parah.
“Arisa?”
“Dia tetap anak kita bersama. Aireen akan jaga dia. Abang boleh jumpa dia bila-bila masa.”
“Dia tentu hairan kenapa mama dan papanya tidak tinggal bersama.”
“Bila dia besar, kita akan terangkan pada dia. Dia akan mengerti.”
Zafir terdiam seketika. Aireen yang dikenalinya memang seorang yang tegas. Keputusan yang dibuat jarang diubah. Hatinya masih berat. Kasihnya pada Aireen menggunung. Sehingga kini, dia sendiri tidak mengerti kenapa dia boleh tergamak menduakan Aireen. Hubungannya bersama Kartika bukan atas dasar cinta. Nafsu semata-mata. Iman akan menjadi pendinding untuk kita dari melakukan kejahatan atau dosa. Itu pesan arwah ibunya. Mungkin itulah jawapan yang dicari. Dia terlalu leka. Leka dengan dunia. Lalu pegangannya tidak kuat. Begitu mudah hatinya diperdaya. Argh.. kesalan ini akan dirasa seumur hidup.
Suasana sepi menyelubungi bilik tidur mereka. Pandangan Zafir singgah pada beg-beg pakaian yang tersusun di tepi almari berdekatan pintu. Matanya berkaca. Hatinya kian hiba. Mengertilah dia, tiada apa yang mampu dilakukannya.
Menggigil tangan Zafir menggenggam tangan Aireen. Perlahan matanya merenung mata Aireen. “Abang lepaskan Aireen dengan talak satu.” Bergetar suara Zafir.
Air mata Aireen berguguran. Tenang dia menerimanya. Dalam senyuman tawar, dia bersuara. ‘Terima kasih.”

Friday, March 27, 2009

Cerpen - 30.05.04

Cerpen ini ditulis saat kawan baik kakak saya mahu berkahwin. Saya berharap keajaiban berlaku. Penyudahnya saya siapkan pada hari si lelaki mahu berbulan madu. Dia call kakak saya dari dalam tandas di airport. Hahahaha!
Tapi... jangan salah faham, kakak saya tidak harap apa-apa, saya sendiri yang harap mereka ada jodoh. :P Tapi... sekarang kami 99% yakin lelaki itu sudah memadukan isterinya. Makanya, bukankah satu rahmat bukan kakak saya yang jadi pengantin pada 2004 itu? Hahahaha! :P
Selamat membaca!

____________________________________________________

24.05.04

Terasa seperti degupan jantung aku terhenti tatkala mendengar tiap butir yang meluncur laju dari bibir lelaki di hadapanku. Kaku aku seketika. Kejutan apa ini? Terbantut hajatku mahu meneruskan suapan. Sudu aku lepaskan daripada pegangan. Lalu sup sayur aku terbiar sahaja. Berusaha mengawal rasa terkejut, aku mengambil gelas berisi air suam. Perlahan aku teguk. Terasa perit tekakku. Walau air mengalir, masih, kering- kontang.
Menyedari saat-saat yang berlalu tanpa reaksi, aku memberanikan diri mengangkat kepala. “Kau buat lawak? Nak aku gelak?”
Dia tersenyum sinis. Menggeleng kepala. “Min, muka aku ni macam tengah buat lawak ke?”
Aku mengetap bibir. Melarikan pandangan. Membuang pandang, aku bersuara perlahan. “Kau yakin?”
“Kenapa tanya macam tu?”
Mendengarkan soalan aku dibalas dengan soalan lain, aku ketawa sinis. Argh... lelaki ini, sengaja berpura-pura tidak mengerti. Bukan dia tidak tahu maksud aku. Tidak pula aku membalas lalu kami saling menyepi. Melayan gelora dalam hati.
“Ini yang penting sangat kau ajak aku makan tengah hari?” tiba-tiba suaraku menjadi keras. Aku juga tidak mengerti.
“Kau bila lagi?”
Sakit hatiku dibuatnya. Soalan demi soalan, sampai bila? Tiada jawapan. Aku memandang tepat redup mata seorang lelaki bergelar sahabat. Faqri Redzuan. Baru dua minggu lepas usianya genap 25 tahun. Kenalan ketika darjah tiga. Rakan sekelas sehingga darjah enam. Namun kami tidak berhubung. Jauh sekali bersahabat. Melangkah meninggalkan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Palembang terus menjauhkan aku dari zaman kanak-kanakku. Sedikit kenangan zaman itu aku bawa meniti usia remaja dan dewasaku. Tentu sekali tidak aku bawa nama lelaki ini. Tidak meninggalkan kesan di dalam hidupku.
Dua belas tahun berlalu, sesungguhnya nama itu tidak aku ingati sekalipun dalam mimpiku. Entah demam apa yang melanda, dia muncul di hadapan rumah orang tuaku. Hari raya ketiga tahun lalu. Ziarah dari seorang rakan lama katanya. Lalu bermula kisah kami. Kisah sebuah keakraban yang terjalin dalam tempoh yang singkat. Tidak sampai sebulan, kami bergelar kawan baik. Itulah ikatan antara kami.
“Woi! Dengar tak?” Tersentak aku mendengar suara Faqri yang separuh menjerit. Sekelip mata, aku kembali ke alam nyata. Argh…jauh pula anganku berlari. Menyingkap sejarah antara kami.
Senyuman tawar aku ukir di bibir. Kelat. Fikiranku ligat berputar, mencari bait yang sesuai. Menarik nafas panjang, aku memaksa diri, bersuara, “Tahniah, pastikan kau bahagia.”
Berbalas senyuman, pandangan kami bertaut. Lama. Ada riak keliru terpancar dari sinar matanya. Mungkin dia bingung dengan sikapku yang dingin. Mungkin dia dapat membaca resah hatiku. Argh..pedulikan. Aku cuba melawan getar dalam hati. Payah. Sulit. Sukar. Berdepan dengan Faqri, inilah kali pertama dadaku sesak. Nafasku laju. Perasaanku huru-hara. Bermacam yang bergolak dalam hati. Sungguh, aku kebingungan.
“Okeylah, aku nak cepat ni. Banyak kerja di pejabat. Apa-apa SMS aku.” Pantas aku bangkit. Ingin rasanya aku berlari sekuat hati. Jauh dari lelaki ini.
Kembali ke pejabat, aku mula menyesal. Tidak sepatutnya aku berkata begitu. Tentu Faqri menyangka yang bukan-bukan. Sedangkan aku sendiri tidak mengerti.
“Kau tahu, masa darjah empat sampai darjah enam, aku pernah syok pada kau. Tapi, kau tu berlagak sangat. Maklumlah... budak pandai.” Kata-kata Faqri masih membekas dalam hati. Sewaktu dia meluahkannya dahulu, tidak pula aku mengambil serius. Aku sekadar ketawa mengejek. Kini, aku mula ragu. Entah sejak bila, kata-kata itu aku pegang sebagai benih harapan. Mengharap ia bercambah.
Berkerut dahiku memikir. Ingin sahaja aku lempar beban rasa yang menyarat dalam hati. Bingung. Sungguh, aku bingung. Faqri muncul tepat pada masanya. Waktu itu, aku dalam kecelaruan. Disokong dia, aku bertatih untuk bangkit dari kegagalan. Dikhianati kekasih, kerjayaku di hujung pedang, siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kepada Tuhan aku mengadu. Lalu, kehadiran Faqri umpama anugerah. Tanpa jemu, dia menjadi sahabat yang setia. Meniup api kecekalan ke dalam jiwaku.
Sungguh, hubungan kami jujur. Dibatasi sempadan hukum. Biarlah orang kata tiada istilah sahabat baik antara lelaki dan perempuan. Bukankah hubungan kami bukti menyangkal dakwaan itu? Itu anggapan aku. Setahun usia hubungan kami. Tidak pernah sekali aku menyingkap rahsia hatinya. Tidak pernah aku cuba mengambil tahu cinta yang hadir dalam jiwanya. Argh... bukankah dia lelaki kasanova? Tentunya tidak ada hubungan yang serius.
Sesekali aku bercerita tentang lelaki-lelaki yang menyapa hidupku. Sesekali dia bercerita tentang perempuan-perempuan yang ditemuinya. Tiada rasa cemburu. Sebaliknya kami saling menyakat. Mengusik. Gurau senda, bukankah itu gula dalam persahabatan?
Aku memejam mata. Berusaha mencipta damai dalam hati. Bila agaknya perasaan yang huru-hara ini akan kembali tenang? Urusan pejabat bersepah, terbiar di atas meja. Tidak aku endah. Berat. Persoalan demi persoalan menyarati fikiranku. Kacau. Berkocak. Bergolak.
Tiba-tiba hatiku menjadi sayu. Pilu. Tidak keruan. Entah bagaimana, entah bila, ada rasa yang berputik dalam hati. Menggeleng aku. Kepala aku pegang kejap-kejap. Aku perlu bercuti! Menenangkan diri. Persoalannya, bolehkah aku tenang selepas ini?
Memandu kereta, aku tidak pasti destinasi untuk dituju. Lalu, aku berpusing sekitar Taman Permata. Geram. Marah aku kepada Faqri membuak. Kenapa baru kini aku dikhabarkan berita itu? Kenapa setelah masa kian suntuk? Seminggu sahaja lagi. Bukankah aku kawan baiknya? Kenapa seperti aku yang terakhir mengetahuinya. Hatiku menjerit. Hampa. Semakin hampa.
Hampir satu jam berpusing, aku pulang ke rumah. Berkira-kira untuk mengirim e-mel. Meluahkan marah yang membuak. Melahirkan kecewa yang terbuku.
Aku hanya memandang kosong skrin komputer. Memandang pula kepada kad yang terbuka di atas meja. Sebelah papan kekunci. Kad undangan perkahwinan berwarna kuning susu. Fikiranku melayang jauh. Sukar untuk membendung rasa kecewa. Wajah Faqri muncul lagi. Memenuhi layar pandangku.
“Ni kad kahwin aku. Jangan tak datang pula.”
Suara Faqri tengah hari tadi bergema membawa angin pilu memenuhi segenap lorong hatiku. Rasa ingin menangis namun aku tahan. Tidak mungkin air mataku gugur kerana lelaki ini. Aku merengus. Bangkit dari kerusi, mengatur langkah menghala ke tandas. Membuka kepala paip lalu mencurah air paip di sinki. Aku membasuh muka. Beberapa kali. Membangkitkan diri dari mimpi. Jasmin, dia kawan baik kau! Hatiku menjerit. Serentak itu, hajatku untuk menaip e-mel terbantut. Mati di situ.
* * * * *
“Awak marah kerana marah ataupun marah kerana kecewa?”
Aku membulatkan biji mata. Memandang tepat Faisal yang begitu selamba menikmati makan malamnya. Apa maksud dia?
“Saya tak faham.”
Faisal tersenyum manis. Menyedut air tembikai susu beberapa kali. Aku merengus. Geram melihatkan sikapnya yang berlengah. Aku tidak sabar. Ingin kepastian. Faisal Ismail. Kami baru berkenalan dua bulan lalu. Baru beberapa kali keluar makan bersama. Selebihnya hanya berbalas SMS ataupun berbual di talian. Selalunya dia yang menghubungi aku. Kata Faqri, dia sedang cuba memikat aku. Entahlah, tidak pula aku rasa begitu. Kebetulan, petang tadi Faisal menelefon, mengajak aku makan malam bersama. Elok juga dari melayan perasaan seorang diri. Mengadap makan malam, ternyata aku tidak berselera. Menyedari sikap aku yang seperti ada tidak kena, Faisal bertanya. Laju sahaja aku mengadu kepada Faisal.
“Awak berkecil hati atas dasar seorang sahabat atau terluka sebagai seorang wanita?”
Aku mengetap bibir. Tidak terjawab olehku. Terserlahkah? Hinggakan Faisal boleh meneka isi hatiku. Walhal aku sendiri tidak menyedarinya. Baru kini, aku mula mengerti. Itu pun masih ragu.
“Kita baru kenal dua bulan. Setiap kali berbual, cerita awak lebih berkisar tentang dia. Kalau bukan suka, apa lagi?”
“Suka sebagai kawan? Dia kan kawan baik saya?” Aku cuba berdalih.
“Terpulang. Atas awak. Saya cuma boleh kata, awak ada enam hari lagi. Bertindak atau lepaskan.”
Aku termenung jauh. Mengenang kata-kata Faisal. Ada logiknya. Menyedari sesuatu, aku tersenyum.
“Kenapa?”
“Faqri kata awak nak pikat saya. Silap andaian dia. Sebaliknya, awak suruh saya kejar orang yang saya suka.”
Faisal membalas senyuman aku. “Dia tak silap. Memang benar. Saya sedang cuba memikat awak.”
Senyuman di bibir aku lenyap. Aku memandang Faisal kehairanan. “Dah tu, awak tak kisah?”
“Saya berhak suka awak dan awak berhak suka dia.”
Aku ketawa kecil. Betul. Bukankah hidup ini selalu begini? Si A suka Si B tapi Si B itu suka orang lain pula.
Kembali dari makan malam, aku berbaring di atas katil. Masih belum pasti. Perlukah aku berlaku jujur? Sedangkan aku sendiri belum yakin. Mungkin hanya untuk seketika rasa itu menjengah hatiku. Maklumlah, baru menyedari yang aku akan ‘kehilangan’ kawan baikku. Mungkin juga…
* * * * *
27.05.04
Tiga hari berlalu, aku masih belum pasti. Samar. Berbelah bagi. Menghitung hari ternyata sulit. Beberapa kali aku menaip e-mel tetapi tidak pula di klik pada perkataan ‘send’. Panggilan telefon dari Faqri aku biarkan tidak berjawab. Masuk kali kelima, tidak tergamak pula rasanya.
“Kau marah pada aku ke?”
“Tak ada sebab aku nak marah.” Kasar dan keras suaraku.
“Kalau tak, kenapa senyap? Aku call banyak kali buat tak tahu saja.”
“Saja. Tak rasa nak jawab.” Sengaja aku mencurah minyak. Biar terbakar.
“Min, aku tanya betul-betul ni. Yang kau merajuk tak bertempat ni kenapa?” Aku terusik mendengarkan suara Faqri yang kian meninggi. Mungkin kesabarannya telah lebur.
“Kalau setakat nak marah aku, baik tak payah.”
Aku terdengar keluhan Faqri yang panjang dari corong telefon. “Min, kita jumpa?”
“Tak payahlah. Aku tak nak kacau bakal pengantin. Tentu sibuk nak buat persiapan. Okeylah, bye.”
Belum sempat Faqri bersuara lagi, aku memutuskan talian. Telefon bimbit aku matikan. Mataku menjeling pada bungkusan hadiah yang berbalut rapi. Lampu tidur. Siang tadi, aku sempat berkejar memilih hadiah untuk Faqri. Aku tidak bercadang untuk hadir di majlisnya namun aku sekadar bersedia. Manalah tahu kalau-kalau aku mengubah fikiran. Paling tidak, aku beri sahaja hadiah ini sebelum atau selepas majlisnya. Hadiah dari kawan baik. Bukankah sangat bererti?
* * * * *
Dua hari lagi. Sesak nafasku mengira hari-hari yang berlalu. SMS ringkas daripada Faqri aku terima awal pagi tadi. Sesudah Subuh. Memberitahu yang dia sudah mula bercuti. Pulang ke rumah keluarganya di Bukit Baru, Melaka. Sempat dia mengingatkan aku agar hadir. Kalaupun tidak hadir pada hari pernikahannya, dia berharap aku hadir pada majlis di rumah keluarganya. Tidak aku balas SMS itu. Semakin hampir dengan hari ‘keramat’ itu, semakin aku tidak keruan. Aku mengambil cuti. Berkurung di dalam rumah. Bingung aku dibuatnya. Terasa ini dugaan yang paling berat. Perasaan yang samar semakin jelas. Ya Tuhan, bagaimana untuk aku mengakuinya? Sesungguhnya Faqri Redzuan, aku Jasmin Abdullah amat menyayangi dirimu. Bukan sekadar kasih seorang sahabat, tetapi cinta seorang kekasih.
* * * * *
30.05.04
Hampir pukul tiga pagi. Mataku tidak boleh lelap. Sesekali terlena, aku terjaga semula. Macam mana aku mampu nyenyak kalau fikiranku ligat berputar? Hatiku penuh debar. Beberapa jam sahaja lagi, segala-galanya akan berakhir. Berpusing ke kiri, ke kanan, meniarap, duduk bersila, aku perlu melakukannya! Lantas, aku bangkit. Membuka lampu tidur. Membuka komputer. Aku perlu meluahkannya.
Membuka email, aku terperanjat. Ada email untuk aku. Pukul sembilan malam tadi. Dari Faqri Redzuan. Panjang. Meruntun hatiku.
Assalamualaikum, Jasmin.
Kau tahu Min, sekarang ni rumah aku meriah. Ramai yang berkumpul. Sibuk membuat persiapan terakhir. Emak dan adikku sibuk memeriksa hantaran. Kalau-kalau ada cacat cela yang boleh diperbaiki. Emak bising sebab aku berkurung. Mengadap laptop. Dia menggesa aku keluar. Katanya nak dipakaikan inai. Leceh..lelaki pun nak kena pakai inai ke?
Min,
Aku tahu kau marah cuma aku tak pasti puncanya. Sebab aku nak kahwin atau sebab aku lambat beritahu kau? Pelik tapi aku berharap jawapannya sebab yang pertama. Tentu kau tanya kenapa, kan?
Bila kita bertemu semula, aku terbawa-bawa perasaan zaman kanak-kanak aku. Sukar untuk membezakan perasaan sebenar aku pada kau. Apatah lagi waktu itu kau dalam kedukaan. Aku berharap sangat dapat peluk kau, melindungi kau. Aku ingin mencipta bahagia untuk kau. Lalu, aku cuba menjadi kawan baik kau. Bukankah kawan juga seorang pelindung?
Fatiha, bakal isteri aku, kekasih aku semenjak tahun akhir di universiti. Sengaja tidak aku khabarkan kewujudannya. Aku keliru sebenarnya. Tapi Min, aku tak nak kehilangan kau, lalu aku memilih untuk berpegang pada janji dan melepaskan perasaan aku pada kau. Esok, insya-Allah, tepat jam 11.30 pagi, aku akan menunaikan janjiku. Kau tahu Min, sampai sekarang, aku masih keliru. Betulkah tindakan aku ini?
Min, ada satu perkara aku nak kau tahu. Fatiha tentu kecewa kalau dia tahu kenapa aku memilih tarikh ini. 30.05.04. Kau tentu tak ingat tapi, 16 tahun yang lalu, pada tarikh yang sama, aku menjejakkan kaki ke sekolah baru. Kali pertama kita bertemu.
Kau tak perlu risau untuk menyusun ayat membalas e-mel ini. Malah, kalau kau nak kau boleh abaikan sahaja email ini. Anggap sahaja kau tak pernah terima. Kau tak perlu datang ke majlis aku kalau kau tak suka. Kau tak perlu buat apa-apa. Hanya satu Min, hanya satu yang aku minta. Jangan buang aku. Menjadi penghuni di hati kau sebagai seorang sahabat sudah cukup untuk aku.
Okeylah Min, Mak aku dah ketuk pintu. Aku hanya ingin berterus terang. Delete sahaja e-mel ini kalau kau tak suka.

Faqri Rezduan.

Keretaku meluncur jauh meninggalkan tol Sungai Besi. Aku tidak pasti berbaloikah tindakan aku ini. Namun, aku akan lebih menyesal kalau tidak berbuat apa-apa. Biarlah apa pun yang menanti aku di sana, aku ingin mengetahuinya. E-mel Faqri telah aku balas. Tidak pasti sudahkah dia membacanya. Berkali-kali aku cuba menelefonnya, telefon bimbit dia tidak aktif. Argh!!
Menjeling jam di dashboard, hampir pukul enam pagi. Sempatkah aku? Aku perlu tiba seawal mungkin di Melaka. Takut kalau-kalau mereka bertolak awal. Mengikut alamat di dalam kad, rumah pengantin perempuan di Muar. Tentunya majlis pernikahan akan berlangsung di Muar. Argh…kalutnya aku!
Aku hanya ingin kepastian. Bertentang mata, meluahkan isi hati. Aku ingin mendengar keputusan Faqri. Kalaupun dia masih ingin menunaikan janjinya, aku tidak akan kesal. Sekurang-kurangnya, aku telah mencuba.

Faqri,
Aku tak mahu mengulas panjang e-mel kau. Aku cuma nak kau tahu yang apa yang kau rasa sama dengan yang aku rasa. Boleh tak kalau kita beri peluang kepada perasaan ini?
Jasmin.
Tuhan, kalau tindakan aku ini tepat, kau permudahkanlah. Kalau tidak, jauhkan aku dari melakukan kesilapan. Amin.
*****
03.06.04
Min,
Thanks for the email. Terlewat aku baca tapi rasanya kita sama-sama dah tahu jawapannya, kan? Esok petang aku akan ke Langkawi, berbulan madu.
Take care.
Faqri.
Aku tersenyum pedih memandang sepi skrin komputer. Benar. Jawapannya terbentang luas. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Keretaku rosak dalam perjalanan ke Melaka. Aku tiba lewat. Rumah keluarga Faqri sepi berkunci. Sesepi hatiku. Lalu tiada apa lagi yang mampu aku harapkan. Faqri, telah tertulis, kita kawan baik untuk selama-lamanya. Hanya kawan. Pedih untuk diterima tetapi bukankah hakikat hidup memang begitu?

Wednesday, March 25, 2009

Cerpen - Berhenti Berharap

Cerpen ini pernah tersiar dalam MW. Saya tulis sempena kegilaan saya pada lagu itu. Nama Nayli dan Naqib adalah sempena nama anak buah saya.

Selamat membaca! Hargailah perkara yang ada, jangan biarkan rasa kesal menjengah hanya selepas kita kehilangan. :P

______________________________


“Awak pasti?” Sengaja aku menekan suaraku.
Khadija aku lihat begitu tenang mengangguk. Aku melepaskan keluhan panjang. Wajah lembut Khadija aku renung. Cuba menyelami rasa yang tersirat di lubuk kalbunya.
“Kenapa?” Aku yang resah. Gelisah. Tidak mampu meneka isi hatinya.
“Cukup kalau saya katakan saya telah berhenti berharap pada awak.”
Jawapan Khadija hanya mengundang rasa geram di dalam hatiku. Nafasku kian kencang. Cuba mengawal api kemarahan yang kian marak. Aku benci melihat ketenangan Khadija.
“Boleh jelaskan dengan bahasa yang lebih mudah? Saya bukan orang sastera!” Sengaja aku menyindirnya.
Khadija tersenyum. Bersahaja. Hatiku yang kian sakit.
“Saya mengimpikan sebuah kisah kasih yang tulus dan unik. Cinta yang unggul. Saya tidak menemui semua itu dalam diri awak. Dalam hubungan kita.”
Aku tidak pasti reaksi yang sewajarnya yang perlu aku tunjukkan. Perlukah aku ketawa sinis ataupun menangisi kekalahan ini? Akukah yang yang telah tewas ataupun impian Khadija yang terlalu menggunung?
“Kalau itu alasannya, saya sekadar mampu berharap awak bertemu apa yang diharap dalam diri lelaki lain. Doa saya mengiringi langkah awak.”
Bersama kata-kata itu aku melangkah tanpa menoleh lagi.

aku pulang...
tanpa dendam
kuterima.. kekalahanku…


Sebuah lagi kisah kasih terlerai.

* * * * *
“Kau masih ingat dia?”
Aku tersenyum kelat. Setahun, tidak cukup panjang namun mungkin sudah cukup lama. Betulkah aku masih menyimpan namanya dalam hatiku? Tidak aku temui jawapannya.
“Dia dah tak ingat kau. Buat apa kau ingat dia lagi?” Mungkin Nayli ikhlas menuturkannya. Namun, aku tetap terasa.
Benar, mungkin harapan Khadija seperti yang dikatakan dahulu ada dalam diri lelaki itu. Sebagai kawan, seharusnya aku mendoakan yang terbaik untuknya. Bukankah itu janji aku dahulu? Kenapa aku terasa seperti sukar untuk menunaikannya?
“Aku di depan kau tapi hati kau masih mengejar bayang Khadija. Kau tak rasa yang kau keterlaluan?”
Aku tersentak dengan pertanyaan Nayli. Ada rasa terkilan dalam nadanya. Rasa bersalah menyelinap masuk ke lorong hatiku.
“Nayli, maaf.” Hanya itu yang mampu aku luahkan.
“Tiada istilah maaf dalam persahabatan.” Wajah Nayli berseri dengan senyuman manisnya. Aku turut tersenyum. Nayli seorang sahabat yang sungguh menyenangkan. Jarang sekali menyesakkan aku. Aku selesa di sampingnya.
“Okeylah, aku nak balik.” Nayli bangkit.
“Kata nak pergi tengok wayang?”
Nayli menggeleng dalam senyuman. “Tamatkan dulu wayang dalam hati kau. Assalamualaikum.”
Pantas dia berlalu meninggalkan aku terpana. Kata-katanya cukup menusuk kalbu!
* * * * *
“Dia datang kembali.” Aku mengadap Nayli yang tekun menaip.
“So?” Jemarinya masih petah bekerja. Matanya masih pada skrin komputer. Langsung tidak ditoleh pada aku yang mengharap perhatiannya.
“Nayli, can you focus on me?” Aku jadi geram.
Nayli mendongak. “Maaf, tapi sekarang ni waktu pejabat dan kerja aku bertimbun.”
Aku merengus. Nayli, sentiasa tegas. Aku tahu malah arif dengan komitmen kerja yang ditunjukkan. Namun, kalau tidak kerana terdesak tidak mungkin aku mengganggu tumpuan kerjanya. Tidak mungkin aku mencuri masa kerjanya.
“Dah tu, nak tolong ataupun tak? At least give me some advices. Opinion maybe.”
Nayli ketawa kecil. “Don’t you think it’s funny?”
“What?”
“Wake up Naqib! Dia tak menghargai kau sebelum ni, kenapa sekarang dia kembali?”
“Katanya dia tersilap menilai.”
“Mungkin. Dan aku pulak berharap kau tak akan tersilap menilai.”
Belum sempat aku bertanya lanjut, Nayli kembali bersuara. “Okay, time’s up. Aku ada meeting dengan klien.”
Aku mengeluh perlahan.
* * * * *
Aku terbaring merenung kosong siling. Wajah Khadija muncul lagi. Entah kenapa simpati aku melimpah. Mungkin kerana masih ada kasih yang bersisa.
Khadija Azman. Dia bukan kekasih pertama aku. Yang ketiga sebenarnya. Namun, ketika bersamanya dahulu, aku selalu berharap dia yang terakhir. Aku suka pada kelembutan tutur bicaranya. Aku merasa damai merenung wajah tenang milik Khadija. Suatu masa dulu, aku benar-benar berharap dia sebagai jodohku. Peluang kedua ini, perlukah aku genggam erat?

“Apa dah jadi?”
“Saya tersilap. Rupa-rupanya saya melepaskan intan dan mengejar kaca.”
“Lelaki itu, tidakkah dia memiliki apa yang awak harapkan?”
Khadija menggeleng lemah. “Dia pukul saya. Tanpa ikatan, tapak tangannya sudah begitu mudah singgah di pipi saya. Tidak mungkin saya sanggup memperjudikan nasib saya di tangannya.”
Wajah Khadija kelihatan kusam. Simpatiku melimpah ruah.

Bunyi telefon bimbit membawa aku ke alam nyata. Aku tersenyum melihat nama yang tertera. Aku tahu dia mengambil berat. Tak mungkin membiarkan aku dihimpit masalah seorang diri.
“Macam mana?”
“Masih tergantung.”
“Susah sangat ke nak buat keputusan?” Nayli menyindir aku.
“Kalau senang sangat, tak lah aku sampai sakit kepala.”
“Ikutlah… okeylah. Assalamualaikum.” Terus sahaja Nayli memutuskan talian. Seketika aku merenung skrin telefon bimbitku. Aku dapat merasakan Nayli seperti malas melayan aku. Mungkin dia sudah jemu untuk menjadi pendengar.
* * * * *
“Esok aku cuti.”
“Kenapa?”
“Bercuti.”
“Bercuti? Mimpi apa?” Nayli penuh kehairanan.
Aku tersenyum. “Mimpi bertemu Khadija!”
Nayli tersenyum kelat. “So, dah berbaik?”
Senyum aku kian lebar. Aku ingin mencuba sekali lagi. Mana tahu, kali ini harapan aku akan jadi kenyataan.
“Tahniah!”
“Nanti, aku kenalkan kau dengan dia.”
“Tak naklah.”
“Kenapa pula?” Senyuman aku hilang. Sebagai kawan baik aku, seharusnya dia aku kenalkan kepada kekasihku.
“Tanpa bertemu pun aku dah kenal dia.”
“Maksud kau?”
“Aku tak berminat nak bertentang mata dengan dia. Cukup dengan semua cerita kau tentang dia selama ni.”
Sebetulnya aku tak mengerti. Apa maksud Nayli? Namun, yang pasti, sejak hari itu, persahabatan kami mula renggang. Masaku lebih banyak dihabiskan dengan Khadija. Nayli pula seperti terlalu sibuk. Bertemu di pejabat setiap hari tidak membantu. Kami sekadar tersenyum dan mengangkat kening. Tiada lagi makan tengah hari atau menonton wayang mahupun bermain boling bersama. Kami semakin jauh.
* * * * *
“Kita perlu berbincang.”
“Please Naqib. Aku dah malas nak dengar! Kau uruskanlah sendiri soal Khadija. Aku tak nak masuk campur!” Keras suara Nayli. Dia sibuk menyusun dokumen di atas meja. Tidak langsung menoleh padaku.
Aku tersentak seketika. Terkejut dengan sikap Nayli. Namun, aku cuba bertenang.
“Bukan hal aku dan Khadija. Tapi hal kita.”
Nayli mengeluh lalu mendongak.
“Kita?”
Belum sempat aku menjawab, pintu bilik Nayli diserbu masuk. Kami kaget seketika.
“Surprised!” Nayli yang terkejut senyum selepas seketika. Hanya aku seorang yang masih keliru. Kek? Hari jadi siapa? Nayli, bukan bulan depan ke?
“Kek ni, kami hadiahkan sempena kenaikan pangkat Cik Nayli. Malam ni, kami ingat nak keluar makan bersama. Cik Nayli free tak?” Fatin mewakili yang lain bersuara.
Aku kian keliru. Aku memandang Nayli meminta penjelasan. Nayli ternyata tidak sedar akan pandanganku.
“Terima kasih. Malam ni saya ada hal. Esok, lunch on me!”
“Well, okay. Kalau macam tu, kami keluar dulu.”
Mungkin mereka serba salah. Mungkin mereka menyedari ketegangan yang melanda antara aku dan Nayli.
Nayli sekadar mengangguk. Aku sekadar memerhati langkah mereka. Dalam hati, rasa marah mula meluap. Kenapa seperti aku seorang yang tidak tahu?
Kembali berdua, aku merenung Nayli. “Apa semua ni?”
“Apa... apa?”
“Nayli, jangan buat-buat tak faham! Kenapa aku tak tahu?”
“Sebab kau tak ambil tahu!”
Aku merengus. Nayli, sengaja mencari marahku!
“Naqib, kau pun tahu, aku dipinjamkan ke cawangan ni. Sekarang aku transfer balik ke HQ. Itu sahaja.
Aku terdiam. Memang, perkenalan kami hanya kebetulan. Sepatutnya, sudah lama Nayli memegang jawatan Pengurus Operasi. Tetapi kerana kekurangan kakitangan, dia dipinjamkan ke cawangan ini sebagai Pengurus Cawangan.
“Kenapa tak cakap?”
“Sekarang pun kau dah tahu, kan?”
“Orang terakhir?”
Nayli tersenyum tenang. “Orang terakhir ataupun pertama, sama sahaja.”
Aku kehilangan kata. Hakikatnya, aku terasa!
“Marah lagi?”
“Bila balik ke JB?”
“Esok hari terakhir aku di sini.”
“What?”
Nayli mengetap bibir. Mungkin terkejut dengan jeritanku.
“Well, congratulation my friend!” Aku mengatur langkah pantas. Pintu bilik sengaja aku hempas. Biar dia tahu aku terasa!
Esoknya, aku tidak ke pejabat. Sengaja mengambil MC. Sengaja tidak mahu bertentang mata dengan Nayli. Aku benar-benar terasa!
Sebulan berlalu sepi. Aku tidak menghubungi Nayli. Entah apa khabarnya di Johor Bharu.
* * * * *
“Bila awak nak masuk meminang?”
Pertanyaan Khadija membawa kejutan besar. Hampir tersedak aku. Mujur tidak tersembur keluar milo ais yang baru aku teguk. Sungguh, aku tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Lalu aku biarkan soalan itu tanpa jawapan.
“Awak dengar tak?”
Aku melepaskan garfu di tangan. Hajat untuk menyuap fries terbantut.
“Nantilah dulu.” Tiba-tiba aku jadi tidak selesa. Aku terkenang kenangan lampau. Setahun lalu, bukankah perkara itu termasuk dalam matlamat hidup aku?
Sesuatu yang tidak aku sedari sehingga saat ini, rupa-rupanya sejak kami bermula semula, perkara itu tidak pernah aku fikirkan. Tidak lagi menjadi sebahagian impianku. Sehingga kini, baru aku menyedari hakikat itu!
Lalu untuk apa sebenarnya hubungan ini bermula semula? Tiba-tiba aku dadaku menjadi sesak. Lemas. Berdepan dengan Khadija, damainya tidak aku rasai. Tidak seperti dahulu. Ketenangan yang terpancar pada wajahnya tidak terbias kepadaku.
Aku merenung meja. Tidak berani mengangkat wajah. Aku sedar pada sepasang mata redup yang tajam memandangku. Aku tidak ingin bertentang mata. Aku tidak mahu Khadija nampak keraguan hatiku.
“Naqib, adakah saya tersalah anggap?”
Aku menarik nafas panjang. Mengeluh perlahan. Dengan rasa yang memberat dalam hati, aku mendongak.
“Maaf.”
“Kenapa? Adakah ini balasan untuk saya?”
Pantas aku menggeleng. “Saya bukan pendendam.”
Khadija tersenyum kelat. Takungan manik mula kelihatan di hujung matanya. Aku kian resah. Kalut. Melukakan hatinya, bukan sesuatu yang menyenangkan!
“Siapa dia?”
Aku memejam mata. Soalan Khadija berlalu sepi.
* * * * *
“Tolong jangan cakap yang awak…”
“Saya tersilap!” Pantas aku memotong kata-kata Nayli. Aku muncul mengejut di hadapannya. Ke Johor Bharu aku mencarinya.
‘Habis tu?”
“Saya cintakan awak.” Yakin. Aku benar-benar yakin. Rasa yang samar itu kian jelas. Wanita di hadapanku, entah bila, telah menghuni ruang hatiku. Ya, dia bakal membahagiakan aku! Aku benar-benar yakin!
“Izinkan saya bahagiakan hidup awak!”
Nayli terus membatu. Wajahnya tenang. Langsung tidak memberi sebarang reaksi.
“Nayli, awak dengar, kan?”
Nayli tersenyum. “Bukan selayaknya ucapan itu untuk saya.”
Aku tersentak. “Atau saya yang tidak layak menuturkannya?” aku menyindir Nayli. Nayli hanya berdalih. Menjaga air mukaku. Itu tanggapanku!
“Maaf.”
“Kenapa? Saya sangka…”
Nayli mengangguk. “Memang, dulu…..pernah kasihkan awak.”
“Sekarang?”
Nayli tersenyum tawar. Perlahan dia bersuara, “Saya telah lama berhenti berharap.”
Aku kaku. Beku.
“Assalamualaikum, Naqib.” Nayli berlalu meninggalkan aku yang keliru.

aku tak percaya lagi
atas apa yang kau beri
aku terdampar di sini…..

aku berhenti berharap
dan menunggu datang gelap….

Terlewatkah aku?

Saturday, March 21, 2009

Cerpen - Duka Seorang Isteri

Cerpen ini kesinambungan cerpen Cinta Seorang Lelaki. Saya menulis dari sudut isteri pula. Tetapi wataknya berbeza. Juga ditulis sekitar 2005 rasanya. Entah....
Hmm... yang pasti saat menulis ini, hati saya terluka... cewah... bagi pihak perempuan yang terluka itu. Hmm.... tetapi ya, in real life, mereka berjaya mengatasi masalah itu. Namun, saya tahu, luka dalam hatinya kekal jadi parut. Hmm...
_______________________


Untuk suamiku yang tidak mengerti....

Cahaya petunjuk. Indah. Sungguh indah tafsiran namanya. Nama orang baik-baik. Nama yang memberi damai. Nama yang memberi tenang.
Sebaik-baik nama. Ya. Dan pastinya, nama yang baik tentunya mencerminkan perilaku empunya nama. Itu kepercayaan aku. Namun, mengapa sebaliknya?
Entah di mana silapnya, nama ini yang memberiku derita. Membawa duka dalam hidupku. Nama ini yang merentap pergi kebahagiaan aku! Cahaya petunjuk… Argh….

20 Ramadan 1425
“Tolong jangan ganggu suami saya.” Perlahan dan selembut mungkin, aku menuturkannya. Boleh sahaja aku mengamuk, namun, aku masih waras. Masalah tidak mungkin selesai dengan pergaduhan. Itu pendirian aku.
“Jangan bimbang, saya tidak mungkin melukakan hati wanita lain. Saya anggap dia seperti abang kandung.” Itu janjinya.
Entahlah. Aku curiga namun, dalam hati masih ada sedikit kepercayaan, pemilik suara di hujung talian ini masih ada peri kemanusiaan.
Apatah lagi bila dikhabarkan kepadaku sejarah keluarganya. Katanya, hidup ibunya bergelora kerana kehadiran pihak ketiga. Dia turut menanggung derita itu. Tidak mungkin dia melakonkan watak ‘jalang’ itu.

20 Syawal 1425
‘Abang sayang’. Ya Tuhan, tidak dapat aku gambarkan kecewa hatiku. Menggigil aku menatap mesej yang tertera di skrin telefon bimbit suamiku. Air mata aku menitis laju. Lebat. Selebat tangisan hatiku. Hancur luluh kepercayaan yang aku pegang selama ini. Suamiku, kenapa?
‘Jangan sampai saya telefon keluarga awak.’ Aku bukan mengugut tetapi bertegas. Sangka aku dia ada harga diri. Bermaruah. Namun, ternyata, dia semakin menunjukkan kejalangannya! Aku benci perempuan ini! Tersangat benci!
Suami aku telah terjebak! Dia berterus terang. Simpatinya telah bertukar menjadi kasih.
Aku meluahkan pendirianku. Tidak mengapa kalau dia ingin mengahwininya. Aku tidak menghalang. Namun, beri aku peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri. Lepaskan aku.
Dia menggeleng. Katanya tidak mungkin dia melepaskan aku. Kasihnya pada aku tidak pernah dan tidak akan berubah.
Buntu. Sesak. Aku tidak nampak hala tuju.
Aku memaksa suamiku bersumpah dengan nama Allah. Hanya itu jalan yang aku nampak. Aku benar-benar terdesak! Berpegang kepada sumpah itu, aku meneruskan kehidupan. Dalam doaku aku tidak putus meminta diberi petunjuk kalau-kalau suamiku memungkiri sumpah itu. Biarlah, kalau kebenarannya menyakitkan. Aku rela. Aku rela berdepan dengan hakikat yang pahit itu.

20 Zulkaedah 1425
Kebenaran itu terserlah! Aku tersenyum dalam tangisan. Tiada apa-apa yang tinggal untuk aku pegang. Sumpah seorang Muslim telah pun dikhianati! Bagaimana aku boleh percaya yang suamiku tidak akan sesekali melanggar sumpah? Argh... aku dan kebodohanku..
‘Alang-alang menjadi keji, hasutlah orang tu tinggalkan isterinya.’ Sungguh aku keliru. Untuk apa aku menghantar SMS itu? Aku tidak mahu merendahkan martabat aku. Aku tidak mahu menjadi seperti jalang itu. Tetapi itulah yang aku lakukan.
Namun, sekurang-kurangnya aku masih jujur. Berani buat berani tanggung! Itu pendirianku. Aku mengakui perbuatan aku di hadapan suamiku. Aku tahu kalaupun aku tidak mengakuinya, perempuan itu pasti mengadu! Argh... bukankah dia mangsa keadaan? Wanita malang yang teraniaya?
‘Belum jadi keji lagi. Kalau tak, dah lama hasut. Sanggupkah jadi janda?’ Kereta aku berhentikan di bahu jalan. Menarik nafas panjang. Menenangkan diri. Anak-anak tidak mengerti namun tidak pula mendesak aku meneruskan perjalanan. Mereka diam membisu. Mungkin, mereka mengerti hati ibu mereka terluka. Mungkin mereka dapat merasa derita hatiku.
Aku bersemuka dengan suamiku untuk kesekian kali. Masih berpegang pada pendirianku. Aku berjanji tidak akan mengganggu perempuan yang begitu ingin dilindunginya. Kahwinlah. Lindungi perempuan itu yang kononnya wanita malang. Bahagiakan perempuan itu yang kononnya sudah puas derita! Tetapi tolong, jangan terlalu kejam. Bebaskan aku cara baik.
Masih, dia berdegil.

20 Zulhijah
Aku tahu aku berdosa besar. Namun, aku benar-benar tidak upaya. Suamiku masih bersabar dengan kerenah aku. Masih menunjukkan kasih sayangnya. Aku dingin, enggan mempedulikannya. Tidurku sejauh mungkin darinya. Aku tidak mempedulikan keinginannya. Zahir dan batin. Aku sekadar melaksanakan tanggungjawabku sebagai ibu tidak sebagai isteri.
Bukan aku tidak sedar dosa yang aku kumpul namun, hatiku seperti sukar dipujuk. Entahlah… aku tahu dia sayangkan aku. Aku tahu aku paling penting dalam hatinya. Biarpun selepas kehadiran perempuan itu. Bukankah itu luahan suamiku?
Aku ingin mempercayainya. Malah, mungkin aku sememangnya percaya. Wahai suamiku, beritahu aku, ajar aku dan tunjukkan aku cara untuk bersikap biasa. Berpura-pura tidak kisah sedangkan hatiku terjerut. Sakit. Pedih! Kerana aku tahu walau melangit dan melaut pun cintamu untuk aku, masih, ada nama lain di hatimu.
Bagaimana aku mampu hidup tenang kalau aku sedar dalam doamu setiap hari, minta dilembutkan hatiku. Minta aku reda bergelar isteri pertama. Bagaimana suamiku? Bagaimana? Aku bukan sebaik-baik wanita. Aku tidak mampu untuk reda. Aku tidak mampu memujuk hatiku!
Suamiku, kalau kau mampu mengerti….
Satu demi satu rahsia terbongkar. Aku tidak mampu bertahan lagi. Suamiku menyimpan sim card lain. Talian untuk dia dan perempuan itu berhubung.
Mereka mempunyai siri nombor yang sama. Hanya satu nombor yang membezakan rangkaian nombor telefon mereka. Tentunya mereka beli bersama. Argh... suamiku....
Aku tidak tahu bagaimana harus aku rasa. Kekecewaan demi kekecewaan hinggakan seperti tiada lagi kesedihan yang tinggal.
‘B sayang sangat dengan Abang dan kalau B dah jadi milik orang lain, ingatlah B tetap hak abang sampai bila-bila. Mungkin B akan lupakan Abang. Maafkan B dan family B. Bye.’
Mesej dari perempuan itu. Menggigil tanganku. namun tidak sehebat gegaran jantungku. Reverse psychology. Argh, bukan aku tidak tahu. Perempuan itu bijak. Bijak bermain dengan perasaan suamiku. Aku tahu, dia hanya ingin menarik suamiku kepadanya bukan sebaliknya.
Hak? Ingin sahaja aku jeritkan pada perempuan itu. Hak itu diberi melalui ijab kabul dengan izin Tuhan. Terlupakah dia? Begitu mudah dia berkata begitu. Argh... inilah hakikatnya, apabila perasaan menguasai diri…aku semakin benci. Benci pada perempuan yang kian terserlah kejalangannya.

29 Zulhijah
Fight back! Aku ingin melakukannya. Aku tahu aku perlu berjuang mempertahankan hak aku! Namun tidak tahu bagaimana. Ya Tuhan, aku benar-benar tidak tahu!
Suamiku kecewa. Mengapa aku tidak berkeras mempertahankannya? Aku mengeluh. Sukar untuk menceritakan perit hatiku.
Aku menelefon ibu perempuan itu. “Rumahtangga saya telah hancur. Saya telefon kerana saya tidak mahu ada rumahtangga lain yang akan hancur kerana anak makcik.”
“Biarlah, mereka cuma berkawan. Lagipun makcik dah pesan, kalau pun mereka nak kahwin, mesti dapat izin isteri pertama.”
Aku terdiam seketika di hujung talian. Dadaku berombak kencang. Argh…begitu mudah dia menuturkannya. Hatiku kian hampa. Wanita, tidakkah kau mengerti kedukaan aku?
“Makcik tahu tunang anak makcik merogol dia kali kedua?” aku masih berusaha mengawal kemarahanku. Suaraku masih dengan nada yang rendah. Serendah mungkin.
“Tak pula.”
“Makcik tahu tunang anak makcik selalu dera dia? Makcik, kalau makcik sayangkan anak makcik, buat apa biar mereka bersama? Kalau anak makcik dirogol, kenapa tak buat laporan polis? Kenapa mengadu pada suami saya? Bukannya dia buat apa-apa. Sekadar jadi tempat mengadu, sampai melarat macam ni.”
Aku terus bersuara lemah. Perlahan. Hakikatnya, perbualan kami tidak membantu apa-apa. Argh…ibunya menyokong tindakannya. Aku tertanya sendiri, bagaimana seorang wanita yang pernah merasa derita itu sanggup membiarkan anaknya memberi derita itu kepada orang lain. Makcik, tiada belaskah di hatimu?
Seperti selalu, aku jujur di hadapan suamiku. Aku berterus terang tentang panggilan telefon yang aku buat. Suamiku ternyata kecewa. Terkilan dengan tindakan aku.
Perempuan itu membuat kejutan. Muncul di hadapan rumahku. Kononnya ingin bersemuka. Mengadu pada suamiku yang aku menengking ibunya. Aku terkilan. Hampa. Benar, aku menelefon ibunya. Namun, tidak sesekali aku bersuara lantang. Aku bercakap dengan nada yang rendah. Paling rendah!
Suami aku mengajak aku bersemuka. Namun aku enggan. Biarlah kalaupun perempuan itu menganggap aku takut kepadanya. Hakikatnya, aku tidak mahu bertentang mata dengannya. Aku tidak mahu wajahnya lekat dalam kotak memoriku!
Entahlah... mungkin benar aku takut berdepan dengan realiti… berdepan dengan hakikat wujud pihak ketiga….
Hatiku yang terhiris kian parah. Duka seorang isteri kian bernanah. Suamiku tidak mampu menjawab pertanyaan aku. Siapa yang dipercayainya? Aku ataupun perempuan itu? Terkilan. Bertambah terkilan. Pilu, sungguh pilu.

1 Muharam 1426
Aku bangkit dari tidur. Tengah malam. Hajat di hati ingin menyembah Tuhan. Ingin memohon dilorongkan aku ke jalan kebenaran. Tahun baru ini, aku mohon agar dipermudahkan laluan aku.
Aku ingin berjuang. Tetapi tidak pasti apa yang ingin diperjuangkan. Kebebasan ataupun hak seorang isteri? Perlukah aku berusaha minta dileraikan daripada ikatan yang memberi derita? Atau perlukah aku bertegas mempertahankan sebuah perkahwinan yang pernah memberiku bahagia? Tuhan, cekalkan hatiku. Bimbing aku untuk menempuh jalan yang berliku ini.
Aku merenung anakku. Masih bayi. Kau tak mengerti, anakku. Marahkah kau kelak kalau ibumu memisahkan kau daripada ayahmu? Tegakah aku melakukannya?
Aku merenung wajah suamiku yang lena. Mungkin sedang diulit mimpi? Mimpi indahkah, suamiku? Siapa yang hadir dalam mimpimu? Isteri ataupun kekasihmu?
Suamiku, kalaulah kau sedar. Kalaulah kau mengerti. Aku terkilan kerana suamiku seolah-olah yakin yang setiap perbuatannya di atas landasan yang benar. Katanya, tak salah untuk membantu. Katanya aku tidak boleh menghakimi perempuan itu. Katanya, mudah untuk aku kerana bukan aku yang menanggung derita. Kadangkala, aku ingin percaya. Memang aku yang salah. Mementingkan diri sendiri. Tamak.
Namun, benarkah perempuan itu insan teraniaya? Dirogol oleh orang yang sama untuk kali kedua? Wujudkah istilah itu? Dia bukan kanak-kanak yang tidak mampu melawan! Lelaki itu bukan tinggal sebumbung hingga dia tidak mampu lari? Begitu lemahkah dia? Begitu berkuasakah tunangnya sehingga dia tunduk menikus?
Mengapa tidak diadu pada yang berkuasa? Pada yang lebih arif? Pihak polis, kaunselor atau sesiapa sahaja yang diberi ‘hak’. Kenapa suami aku?
Dan, kalau benar suami aku membantunya, apa yang telah dilakukan? Bukankah dia sekadar tempat perempuan itu mengadu? Meluahkan kesedihan? Hanya itu! Hanya itu yang suami aku lakukan! Menjadi tempat perempuan itu melempiaskan kedukaannya. Sudahnya? Rasa simpati menjadi cinta. Suamiku, adakah itu satu pertolongan?
Tidak! Perempuan itu perlu bangkit! Mengeluarkan dirinya dari kongkongan seorang tunang bertopengkan syaitan kalau benar dia mahu bahagia! Bukannya dengan merintih simpati suami orang!
Aku mengeluh. Panjang. Berat. Kedatangan perempuan itu ke rumahku satu petanda sebenarnya. Secara tersirat, dia mengumumkan yang dia akan berbuat apa sahaja. Bukan sekadar untuk memiliki suamiku, tetapi juga meleraikan ikatan kami. Aku sedar tentang itu. Namun, suamiku? Argh... aku yakin dia masih tidak ‘nampak’.
Perempuan yang teraniaya akan bangkit, berdikari, mencipta bahagia sendiri. Kerana mereka tahu hanya dengan cara itu mereka mampu tegak berdiri. Bermaruah diri. Itu yang membezakan antara seorang jalang dengan perempuan teraniaya.
Suamiku, kalaulah kau mampu mengerti….
Nur Hidayah, andai ditakdirkan kau membaca catatan aku ini, hanya satu ingin aku katakan. Aku belum tewas. Aku masih berpegang dan masih percaya, hidup ini adil, what you give, you get back. Kalaupun tidak di dunia, pasti di akhirat kelak!

Friday, March 20, 2009

Cerpen - Cinta Seorang Lelaki

Yang ini saya tulis sekitar 2005 berdasarkan perasaan marah saya pada seorang lelaki yang main kayu tiga. Err... tak, dia bukan curang pada saya. :P

____________________________________________


Cinta Seorang Lelaki

Cerita saya kisah biasa. Berlaku di pentas lakonan mahu pun di pentas dunia. Sepatutnya saya bersedia dari awal ataupun paling tidak, sedar akan kemungkinan yang ianya akan berlaku. Tetapi saya hanya manusia biasa. Mudah leka. Mudah terlupa tatkala dilingkari bahagia. Meletakkan kepercayaan yang tinggi. Dalam berjaga-jaga, rupa-rupanya kejutan ini terlalu berat untuk saya. Ya Tuhan, hamba-Mu ini tidak cukup kuat untuk menempuhnya!

“Kenapa?” Sharina berusaha bertenang. Namun, hakikatnya, kata-kata yang baru meluncur dari bibir Haziq meragut pergi semangatnya. Meninggalkan dia bersama kejutan besar yang membawa luka yang dalam. Debar di dada kian kencang.
“Maafkan saya.” Haziq menunduk. Bukan tiada rasa bersalah namun keinginan dalam hati tidak mampu ditahan.
“Sayakah yang bersalah?” Sharina mengetap bibir. Menggigil badannya. Masih tidak percaya dengan apa yang didengar.
“Tidak. Rin isteri yang baik. Sungguh baik.” Pantas Haziq menggeleng. Menafikan lalu berusaha memujuk Sharina. Hati yang terguris ini, mampukah dipujuk lagi?
Sharina merengus. Tersenyum sinis. “Malangnya tidak cukup baik untuk merantai hati awak, kan?”
Seketika suasana sepi.
“Kenapa tak jawab? Cakap sahaja yang saya tak cukup baik untuk awak. Berterus terang sahaja Haziq.” Sharina menjeling tajam. Hatinya sakit. Namun cuba dikawal nada suaranya. Dia masih waras. Meninggikan suara terhadap suami berdosa. Dia tidak mahu menempah tiket ke neraka.
“Jangan cakap macam tu Rin. Awak isteri yang baik. Ia bukan sebab awak.”
Sharina merengus. Tidak mampu menerima kata-kata Haziq.
Tegang. Saling berbalas pandangan, Haziq tewas. Pantas dilarikan pandangan matanya. Haziq mengeluh. Panjang. Berat.

Dia seorang suami yang baik. Benar-benar baik. Sebagai seorang Muslim, benar dia banyak kekurangannya. Tetapi, sebagai manusia, sebagai lelaki, sebagai suami, dan sebagai bapa, tidak mungkin saya menidakkan keluhurannya. Tidak juga selepas semua yang terjadi.

“Rin fikir dahulu. Ambillah seberapa banyak masa yang perlu. Saya tunggu.” Haziq mengalah. Enggan memaksa.
Sharina tersenyum pedih. Tidak bersuara. Matanya yang berkaca sudah cukup untuk menggambarkan kepedihan yang dirasa.
“Sudahlah, mari kita keluar makan. Abang panggil Nani. Kita makan KFC ya?” Haziq cuba merubah suasana. Berlagak ceria. Tanpa menunggu kata lanjut daripada Sharina, dia pantas berlalu mencari anak tunggal mereka, Hanani.
Sharina terduduk di bucu katil. Menitis jua air mata. Gagal dia menahan diri. Rasa ingin marah membuak namun tidak tahu bagaimana untuk diluahkan. Perlukah dia mengamuk? Memaki hamun? Merajuk dan lari ke rumah keluarganya?
Tetapi, bukankah Haziq lelaki yang baik? Lalu, tidakkah dia wajar mengalah? Berbagai rasa bergelodak dalam hatinya. Buntu. Keliru. Bertegas? Ataupun merelakan? Tiba-tiba bahagia dalam hati lenyap sekelip mata.


Mungkin, saya yang tamak. Entahlah, saya hanya wanita biasa. Mungkin keimanan saya tidak sedalam mana. Kerana itu tidak mampu memujuk hati untuk reda. Tidak! Saya tidak membenci poligami! Siapalah saya untuk menidakkan sesuatu yang diizinkan dalam Islam? Namun, saya tidak mampu untuk berkongsi. Benar-benar tidak mampu. Untuk membayangkan sudah cukup menggerunkan, apatah lagi untuk melaluinya!


“Ia tidak seburuk yang awak bayangkan Rin. Yang penting, awak belajar menerima dan saya belajar berlaku adil.”
Sharina menggeleng. “Menuturkan terlalu mudah Haziq. Melaksanakan belum tentu mudah. Takut kalau kelak, ia jadi beban.”
Haziq menarik nafas dalam. Panjang keluhan yang dilepaskan. Buntu. Tidak tahu bagaimana lagi untuk memujuk hati Sharina.
“Haziq, awak masih belum jawab. Kenapa?”
“Kerana dia perlukan perlindungan saya.”
“Bukan kerana cinta?”
Haziq tunduk membisu. Cinta. Untuk menafikan dia tidak mampu. Benar, hatinya sudah terpaut. Untuk kali kedua.
Menunggu jawapan Haziq walaupun hanya beberapa minit berlalu cukup melukakan.
“Saya sayangkan dia. Tapi yang penting saya ingin melindungi dia. Bukankah Rasulullah berkahwin untuk membantu? Salahkah saya jika ingin berbuat perkara yang sama?”
Sharina tersenyum sinis. Alasan yang satu itu! Argh…insan bergelar lelaki…


Hakikatnya, saya mampu kehilangan dia. Ya, saya terluka. Tetapi, saya tidak mampu membayangkan perkongsian itu. Saya rela berundur! Biar saya terluka, saya yakin saya mampu untuk bertahan. Namun, saya tidak yakin mampu bertahan dengan gelaran isteri pertama.
Suami saya tidak mengerti pendirian saya. Mengapa saya tidak boleh seperti sesetengah wanita yang menerima poligami?


Lalu saya bertanya kepadanya. Lupakan seketika hak lelaki dalam Islam. Jawab soalan ini sebagai manusia biasa. Apa perasaan awak kalau saya katakan saya menyintai awak tetapi pada masa yang sama, dalam hati saya ada cinta untuk orang lain?
Dia menggeleng mendengar soalan saya. Tidak memahami pendirian saya. Saya tahu! Cukup sedar! Benar, lelaki dan perempuan tidak sama. Tetapi... entahlah....


“Saya setuju.”
“Betul?” Wajah ceria Haziq, akhirnya kelihatan lagi setelah sekian lama.
Begitu dalamkah keinginan Haziq? Sharina kian terluka.
“Betul, awak sanggup terima dia?” Haziq meminta kepastian. Dalam hati, angan-angan mula berputik.
“Ya tapi sebagai isteri sahabat saya.”
“Maksud Rin?”
“Kita jadi kawan.”
“Jangan bergurau Rin!”
“Kita bermula sebagai kawan, tak salah kalau kita berakhir sebagai kawan. Hidupkan ibarat roda?”


Dia berkeras. Katanya, tidak mungkin melepaskan saya. Saya juga berkeras. Saya juga tidak dapat menerima pendirian dan alasannya. Sama ada dia seiring dengan saya atau memulakan langkah baru dengan perempuan itu. Untuk kami bertiga seiring, tidak sama sekali! Dia tidak mampu membuat keputusan.


“Dia nak jumpa awak.”
“Untuk apa?”
“Berbincang.”
Sharina menggeleng. “Cukuplah saya tahu kewujudannya. Tak perlu bertentang mata.”
“Rin….”
“Haziq, saya tak mahu wajahnya lekat dalam memori saya.”
“Tapi..”
Sharina menarik nafas panjang. Perlahan dia bersuara, “Saya tak mampu memujuk hati. Awak buatlah apa yang patut.”
Haziq menggeleng. Kesal dengan pendirian Sharina.
“Hati perempuan tak mungkin sama dengan hati lelaki. Sharina, berkongsi bukan sesuatu yang asing. Bukankah dari kecil, kita berkongsi kasih ibu bapa dan rakan-rakan?”
Sharina membatu. Haziq hanya berlaku jujur. Logik akal menerima teori Haziq tetapi benarkah semudah itu? Kenapa begitu mudah Haziq menuturkannya? Tidakkah dia sedar wanita seperti dirinya terluka dengan kata-kata itu?

Lalu mengertilah saya. Cinta kami tidak sekuat mana untuk dia melepaskan cinta barunya itu. Kalau cintanya kepada saya utuh, tentunya dia memilih saya! Kenyataan itu sungguh perit untuk saya telan. Saya benar-benar terluka! Tetapi saya bertekad. Saya ingin terus melangkah. Tidak ingin menoleh lagi.

“Sharina Ismail, saya ceraikan awak dengan talak satu.”
“Terima kasih kerana pernah membahagiakan saya. Terima kasih juga kerana melepaskan saya. Doa saya akan sentiasa melingkari hidup awak.” Sharina bersuara tenang. Haziq sekadar mengangguk lemah. Walau apapun, dia sedar, mereka sama-sama telah membuat pilihan.


Saya telah kehilangan cintanya! Namun, hidup perlu diteruskan. Saya percaya tanpa cinta seorang lelaki, saya masih boleh bahagia. Saya telah lama memaafkan dia namun tidak mampu melupakan kepahitan yang diberi.


“Papa..” Suara manja Hanani mengejutkan Haziq.
Haziq tersenyum. “Kenapa tak tidur lagi, Sayang?” Haziq mengerling pada jam di dinding. Hampir 12 tengah malam. Sepatutnya Hanani sudah lama enak diulit mimpi.
“Nani rindukan mama.”
Haziq tersenyum kelat. Terkilan. Namun, dia tidak berkata apa-apa.
“Bila mama nak balik?”
Haziq memeluk erat bahu Hanani. “Minggu depan mama balik. Esok, kita telefon mama ya. Dah mari, Papa tidurkan.” Haziq mendukung mesra Hanani. Dibawanya ke bilik. Seketika, dia menunggu hingga Hanani kembali lena.

Para lelaki di luar sana, tolong jangan guna agama sebagai alasan kalau masjid bukan ‘rumah’ anda. Jangan guna agama sebagai alasan kalau perbelanjaan keluarga ditanggung bersama oleh si isteri.
Yang paling penting, jangan guna alasan agama kalau si isteri tidak mampu untuk reda! Itu tandanya dia belum mampu menerima ujian itu dengan hati terbuka. Itu tandanya anda belum berjaya mendidik isteri anda untuk reda dan berserah sepenuhnya kepada ketentuan Tuhan!


“Kenapa tiba-tiba nak ke Jepun?” Haziq curiga. Membawa dirikah Sharina?
Sharina tersenyum lembut. Haziq terkilan. Terkilan kerana bukan miliknya lagi senyuman itu.
“Bukan mengejut, sudah lama sebenarnya berhajat. Tetapi, dipendam demi keluarga. Sekarang, saya ingin mengejar cita-cita saya. Cinta saya telah kecundang, tak salah kan kalau saya mengejar impian lain?”
Haziq tersenyum kelat. Dia tahu Sharina menyindirnya.
“Nani?”
“Saya nak minta awak jaga dia sebulan, dua. Saya akan uruskan tempat tinggal dan kemudian bawa dia ke Jepun.”
“Awak nak pisahkan kami?” Suara Haziq menjadi keras.
“Awak tahu saya bukan macam tu.”
Haziq mengeluh. “Berapa lama awak di Jepun?”
“Dua tahun. kalau ada rezeki, mungkin lama lagi.”
“Saya tak tahu pun awak nak sambung belajar, ambil Master. Selama ni, awak hanya galakkan saya.” Ada rasa terkilan dalam luahan Haziq.
“Sebab awak tak pernah tanya dan saya sedar kedudukan saya. Saya tak mahu membebankan awak.”
“Sharina, maafkan saya.”
“Apology accepted.” Sharina tersenyum. Tenang.
Argh…hati Haziq kian pedih.

Life is such a give! Hala tuju saya telah berubah. Tiada lagi kebahagiaan seorang suami untuk saya utamakan. Saya ingin mengejar impian lain. Membina kebahagiaan lain. Tanpa cinta seorang lelaki. Bukankah definisi bahagia itu meluas?

Majalah itu ditutup rapat. Hati Haziq sebak membaca catatan di ruangan Tabir Hidup. Tiada nama penulis disertakan. Namun dia cukup sedar gerangan yang menghantar coretan itu. Dia cukup mengerti. Pasti. Teramat pasti.
Perasaannya kian bergelora. Fikirannya melayang jauh. Mengenang Sharina. Mengenang isterinya. Isteri barunya tidak sebaik Sharina. Sudah lewat malam, dia masih di luar. Bergembira bersama rakan-rakan. Lupa suami yang sedang menunggu. Menikmati hidup katanya!
Argh…Sharina... kalaulah dulu...

Tuesday, March 17, 2009

Cerpen - Kad Untuk Hanan

Oh, rupa-rupanya ada juga yang membaca cerpen yang saya post di sini. Ingatkan Hehehe. Okey ini juga ditulis sekitar 2004. Rasanya yang ini saya tak pernah hantar ke mana-mana. Jadi, silalah baca. :)


Hari jadi menjelma lagi! Penambahan usia setahun bagi sesetengah orang sungguh menakutkan. Namun, ada juga yang tidak memandang serius. Alah…usia bertambah, jiwa masih muda! Itulah antara kata-kata biasa yang kita dengar.
Oh, tidak! Jangan salah faham. Tulisan kali ini bukan untuk membincangkan topik ini. Sebaliknya saya ingin bercerita tentang seorang gadis dan hari jadinya.
Setiap tahun sejak lapan tahun lalu, dia tidak kisah jika rakan-rakan tidak mengingati tarikh hari jadinya. Mengapa? Kerana baginya cukup dengan sekeping kad dari seorang teman lama yang terputus hubungan. Oh..bukan teman lama sebenarnya tetapi bekas teman lelaki. Mereka telah berpisah selama lapan tahun. Mereka tidak berhubung tetapi setiap tahun, pasti gadis itu akan menerima sekeping kad ucapan.

Dina mendongak. Bacaannya terhenti. “Siapa perempuan tu?”
Aku menggeleng. “Baca sajalah.”
Dina mencebik. “Aku reject artikel ni baru tahu!”
Aku ketawa kecil. “Tak sempat nak reject. Kau nak jawab apa dengan bos besar? Kolum aku tu, nak letak apa? Gambar kau?”
“Berlagak! Mentang-mentang anak emas!”
Ketawaku kian besar. “Aku pergi dulu! Kau editlah mana yang patut. Tolong semak ejaan sekali.”
“Hmm…ini tentu kau taip last minute. Banyak typing error ni!”
Aku tersengih. “Biasalah.”
Dina mencebik lagi. “Nasib baik dapat editor macam aku! Kalau tak, dah lama kena tendang!”
“I know, you’re the best!” Aku mengenyit mata dan terus mengatur langkah. Aku perlu beredar segera. Masih banyak kerja di pejabat yang menanti.
Sayup kedengaran suara Dina menyambung pembacaannya. Aku tersenyum sendirian. Mengenangkan isi artikel itu.
Lapan kad ucapan untuk tempoh lapan tahun sentiasa tepat. Tidak pernah terawal ataupun terlewat. Empat hari lepas, gadis itu menyambut hari jadinya. Malangnya, kad yang ditunggu belum kunjung tiba. Adakah pengirimnya terlewat? Ataupun terlupa? Ataupun telah berhenti daripada mengingati tarikh hari jadinya? Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran si gadis. Ikutkan hati mahu sahaja ditanya pada empunya diri. Tetapi, di mana hendak cari? Di mana lelaki itu tinggal sekarang?


“Helo.”
“Kau di mana ni?” Dina separuh menjerit.
“Sedang memandu. Kenapa?”
“Kata nak sarapan dengan aku. Setengah jam aku tunggu. Jangan kata batang hidung, bunyi enjin kereta kau yang mengaum pun tak mencemarkan suasana damai depan rumah aku ni,” Dina membebel panjang.
“Lain kalilah. Aku nak pergi Alor Gajah ni.”
“Nak buat apa?”
“Cari jawapan. Eh, okeylah, nanti aku call. Bye!”

Lapan keping kad terbiar tanpa balasan. Selama ini, gadis itu tidak tergerak untuk memberi sebarang respons. Tidak pernah sekalipun dilayangkan balasan ataupun paling tidak ucapan terima kasih. Tiba-tiba keinginan mahu menjejaki lelaki itu membuak. Gadis itu bertekad, dia mahukan kepastian. Dia perlukan jawapan yang konkrit. Adakah mulai tahun ini, tiada lagi kad untuknya? Dia tidak mahu mereka alasan sendiri. Dia perlukan penjelasan kepada persoalan itu. Lalu diusahakan juga untuk menjejaki lelaki itu. Alamat terakhir ditemui dalam diari lama. Alamat rumah ibu bapa lelaki itu. Mungkin, di sana, akan ditemui jawapan yang dicari.

You and me
We used to be together
Everyday together always
I really feel
That I'm losing……………

Lagu lama Don’t Speak nyanyian No Doubt memenuhi ruang kereta. Membawa aku kembali ke kenangan lampau.

“Hari ni hari jadi saya.” Mendatar suaraku. Sedikit keras.
Najmi tersenyum kelat. “Sorry, saya lupa. Happy birthday.”
“Nampak sangat saya bukan orang penting.” Aku menjeling tajam. Dua tahun bercinta, dua tahun juga hari jadi aku dilupakan. Tiada ucapan, hadiah jauh sekali sebagai kejutan untuk aku. Hatiku sakit. Najmi, susah sangatkah nak ingat?
“Kita keluar makan, tengok wayang, lepas tu pilih hadiah. Macam mana?” Najmi berusaha memujuk.
Aku merengus. Perlahan, aku menghela nafas panjang. “Kita bawa haluan masing-masing.”
I can't believe
This could be the end
It looks as though you're letting go
And if it's real
Well I don't want to know….

“An, janganlah bergurau.” Najmi tersenyum meminta simpati.
“Saya serius.”
Senyuman Najmi hilang. Wajahnya mula keruh. “Kerana saya lupa hari jadi awak?” Najmi terkejut besar. Tidak dapat menerima sikapku.
Mataku mula berkaca. Kesayuan mula menyelubungi segenap ruang hatiku. Namun, aku bertekad, hari ini penamat segala-galanya. Memang alasan yang remeh padanya tetapi tidak pada aku. Aku perlukan lelaki yang mengambil berat tentang aku. Najmi terlalu selamba dan sikap selambanya itu buat hatiku terjerut.

….Don't speak
I know what you're thinking
I don't need your reasons
Don't tell me cause it hurts
Don't tell me cause it hurts!
I know what you're saying
So please stop explaining….

“Anggap sahajalah itu puncanya. Jaga diri.” Aku berlalu. Tidak menoleh lagi. Semudah itu, sebuah ikatan cinta terlerai. Terlalu sensitifkah aku?

Ketika anda membaca catatan ini, mungkin gadis itu dalam perjalanan mencari kepastian. Doakan gadis itu. Semoga dia bertemu apa yang dicari.
Sekian buat kali ini. Insya-Allah, minggu hadapan, kita sama-sama akan mengetahui jawapan sebenar. Sama-sama kita nantikan. Sampai ketemu lagi.


“Assalamualaikum.” Debaran mula aku rasa. Perlukah aku melakukan semua ini?
“Wa'alaikumussalam.” Seorang gadis muda memandang aku penuh tanda tanya.
“Ini rumah Najmi Harun?”
“Ya. Saudari ini…”
Aku tersenyum lega. “Saya An. Kawan Najmi. Dia ada?”
Wajah gadis itu berubah mendengar kata-kataku.
“An?” Dia meminta kepastian.
“Ya. Hanan.”
“Hmm..sampai juga awak ke sini. Sangka saya hanya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Masuklah.”
Dalam kebingungan aku menurut langkahnya. Bulan jatuh ke riba? Apa maksudnya? Kenapa dia seolah-olah memang menunggu kedatangan aku?

Kami kaku di ruang tamu. Aku tidak selesa dengan cara gadis itu memandang aku. Lagi pula, dia membisu. Pertanyaan aku tentang Najmi berlalu pergi tanpa balasan jawapan.
“Tunggu sebentar.” Gadis itu tiba-tiba bangkit dan berlalu pergi.
Aku semakin keliru. Siapa perempuan itu? Kenapa dia begitu dingin? Takkan dia isteri Najmi?
“Nah, untuk awak.”
Aku tersentak. Pantas mendongak. Entah bila gadis itu muncul kembali.
Dalam keraguan aku ambil juga sampul berwarna biru pastel. Seketika aku merenung sampul itu.
“Bukalah.”
‘Happy Birthday my dear An. Loves, Najmi.’
Aku kaku seketika. Degup jantungku kian pantas. Kad ini, kad yang aku tunggu. Kerana kad ini aku muncul di sini. Tetapi, mengapa tidak dipos? Macam mana boleh ada pada gadis itu?
“Dia tak sempat nak pos. Dia minta saya beri pada awak. Katanya awak tentu akan datang menuntut kad ini.” Perlahan gadis itu bersuara. Seolah-olah mengerti tanda tanya yang berlegar dalam hatiku.
Aku semakin bingung. Keliru. Resah. Gelisah. “Najmi, dia di mana? Boleh beri saya alamat dia?”
“Saya bawa awak jumpa dia petang nanti. Awak berehatlah dulu. Saya ke dapur. Awak nak minum apa?”
Belum sempat aku bersuara, gadis itu kembali bersuara. “Oh, lupa. Awak suka air soya, kan?” Pantas gadis itu mengatur langkah.
“Nanti!”
Gadis itu berpaling. “Ada apa?”
“Kita belum berkenalan.”
Gadis itu tersenyum. “Saya Najiha, adik Najmi.” Dan dia terus berlalu meninggalkan aku yang semakin tak keruan. Apa semua ini? Najmi, di mana awak?

Tiga album Najmi aku belek. Raut wajahnya aku tatap. Terubat juga rindu yang mendalam. Sungguh, tidak aku duga, di suatu sudut dalam hatiku masih menyimpan rasa rindu buat Najmi.
Najmi kelihatan ceria dan segak. Lapan tahun, tidak banyak yang berubah. Kalau ada pun, gaya rambut dan wajahnya yang kelihatan lebih matang. Gambar konvokesyen, gambar bersama rakan-rakan, bersama keluarga, seorang diri, semuanya menimbulkan perasaan yang aneh dalam hatiku. Damai. Tenang. Argh…keinginan untuk bertentang mata dengan Najmi kian meluap!

Zuhur berlalu. Asar menjelma. Sudah begitu lama aku di sini, masih belum ada tanda-tanda yang Najiha akan membawa aku bertemu Najmi. Sakit kepalaku, cuba memahami keadaan sebenar. Puas cuba aku menganalisa setiap kemungkinan yang ada. Hampa. Tidak mampu aku huraikan kekeliruan ini.
“An, boleh saya tanya sesuatu?”
Aku tersenyum dalam keraguan. Nada suara Najiha serius. Tentu perkara yang ingin ditanya juga serius.
“Kenapa?”
“Kenapa….apa?” Aku tak mengerti.
“Awak berpisah kerana dia tak ingat hari jadi awak. Tidakkah awak rasa itu satu alasan yang bodoh?”
Aku tersenyum kelat. Rahsia antara aku dan Najmi rupa-rupanya dalam tangan Najiha.
“Dia yang beritahu?”
Najiha pantas menggeleng. “Saya baca diari dia.”
“Tidakkah itu satu perbuatan yang salah? Diari, bukankah ia sesuatu yang bersifat peribadi?”
Najiha ketawa sinis. “Bukan soal moral saya yang kita perlu bincangkan sekarang.”
“Saya berhak untuk tidak menjawab soalan awak.” Tiba-tiba suaraku menjadi keras.
Sebetulnya, aku tidak selesa. Rimas dengan sikap Najiha. Siapa dia untuk bertanya semua itu? Lagi pula, aku tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada dia!
“Terpulang. Cuma..jawapan awak akan menentukan sama ada saya perlu membawa awak bertemu Abang Mie ataupun tidak.” Najiha bersuara lancar.
Aku merengus. “Awak mengugut saya? Terima kasih. Biar saya usaha cara lain. “ Pantas aku bangun. Meluat dengan sikap Najiha. Kalau dia enggan membantu, tidak mengapa. Akan aku ikhtiar cara lain.
Najiha memegang lengangku. Menahan langkahku. Dia tersenyum. Nampak lebih ikhlas. “Lepas solat Asar, kita jumpa dia. Mari, kita sembahyang.” Perlahan dan lembut suaranya.

“Sebenarnya itu hanya alasan saya.”
“Hah?” Najiha yang duduk di kiriku menoleh.
Entah kenapa ringan sahaja mulut aku untuk membuka simpulan kenangan silam.
“Najmi. Hari jadi bukan punca sebenar.”
Najiha diam. Mungkin menunggu kata lanjut dariku. Sambil memandu, aku meluahkan segala yang selama ini berkubur jauh di dasar hati.
“Saya sayangkan Najmi. Cinta saya mendalam. Namun, saya ragu-ragu. Dia tak pernah serius meluahkan isi hatinya. Dia terlalu selamba. Seperti tak kisah pada hubungan kami.”
“An tak yakin dengan dia?”
“Saya tak yakin dengan diri sendiri. Saya tak yakin yang saya mampu memiliki Najmi. Saya juga tak pasti sekukuh mana cinta Najmi pada saya.”
Jadi?”
“Saya tahu jika saya berlengah, suatu hari nanti, saya pasti tak akan mampu kehilangan dia. Saya tahu, apabila hari itu muncul dan saya benar-benar kehilangan dia, saya tak mungkin dapat bertahan. Jadi, saya memilih untuk berundur semasa terdaya. Sementara saya mampu untuk kehilangan dia.”
“Maksud awak?”
“Saya tak berani mengambil risiko. Menyintai dia perkara yang sangat membahagiakan. Namun, ia juga satu penderitaan buat saya. Semakin dalam cinta saya, semakin terseksa jiwa saya.”
“Melepaskan dia kerana terlalu menyintai dia. Aneh.”
Aku tersenyum kelat. Benar. Aneh tapi itulah hakikat sebenar. Cintaku pada Najmi membuatkan aku hilang kawalan. Ketenangan hidupku seolah-olah direntap pergi. Meninggalkan rasa takut dan bimbang. Aku jadi benci pada diriku yang seolah-olah tidak dapat hidup tanpa Najmi. Hidupku bercelaru memikirkan kemungkinan-kemungkinan negatif yang akan melanda hubungan kami. Sungguh, aku keletihan. Penat untuk berdepan dengan perasaan yang sentiasa bergelora. Lalu aku memilih untuk menyelamatkan diri.
Najiha tidak bertanya lanjut. Lalu, kami membisu. Mungkin Najiha sedang menilai penjelasan aku. Jiwaku kian sebak. Bercerita tentang kisah kami menyedarkan aku tentang satu hakikat yang selama ini cuba aku abaikan. Lapan tahun rupa-rupanya belum cukup lama untuk membuang rasa cintaku pada Najmi.
Kami melalui kawasan perkuburan Islam. Hampir 500 meter, Najiha bersuara. Aku terkejut apabila Najiha mengarahkan aku memberhentikan kereta. Melilau mataku memandang persekitaran kawasan itu. Debar di dada kian kencang. Tidak! Bukan kenyataan ini yang aku harapkan!

Anda tentu masih ingat kisah gadis dan hari jadinya yang memenuhi kolum saya minggu lalu. Hari ini, saya ingin bercerita kesudahan pencarian gadis itu. Tapi, tidak pasti di mana saya perlu bermula. Argh…..tiba-tiba terasa sukar untuk menyusun kata.
Acapkali manusia suka melarikan diri apabila berdepan dengan kerumitan yang melanda hidup. Lapan tahun lalu, gadis itu bertekad untuk ‘melarikan diri’ kerana merasakan cintanya pada lelaki itu hanya akan menghancurkan hidupnya. Sehingga semalam, dia mula sedar pelariannya hanya sia-sia. Biar terpisah beribu batu, beribu abad, kalau dalam hati masih ada cinta, tiada gunanya. Lalu, tewas juga dia dalam pelariannya.
Mungkin anda semua merasakan catatan saya telah terpesong. Menyimpang dari topik sebenar. Maaf, seperti yang saya katakan, terlalu banyak yang ingin saya luahkan tetapi tidak tahu bagaimana.
Ketika anda membaca catatan ini, pencarian gadis itu telah lama berakhir. Kesudahannya?


Aku melangkah dengan debar yang menggunung. Air mataku tumpah juga. Pilu. Rumah kayu tersergam indah di hadapanku mungkin tidak sama seperti dalam impianku. Tetapi sudah cukup untuk memenuhi impianku. Melangkah ke dalam, tidak dapat aku gambarkan perasaanku. Di kiri dan kanan dinding tersergam indah potret-potret wajahku. Juga bingkai yang memuatkan artilek-artikel hasil tulisanku sejak empat tahun lalu.
“Assalamualaikum, Hanan.” Suara lembut Najmi menyapa pendengaranku setelah sekian lama.
Pantas aku menoleh. “Najmi..”
“Welcome home, my sweetheart.”
Aku tersenyum dalam tangisan.

Perkara yang terjadi semalam, hari ini dan esok mungkin hanya kerana satu sebab; saya sayang awak!
Najmi Harun, terima kasih kerana tidak pernah berhenti daripada menyintai saya!’ – Nurul Hanan Zakaria.

Friday, February 20, 2009

Cerpen - Pesona?

Semalam, saya ada beritahu saya suka menulis cerpen sebagai luahan pandangan kan? Yang ini pula kerana saya geram membaca sebuah novel. Hehe... emosi sungguh. Dalam erti kata lain, penulis itu berjaya menghasilkan karya yang buat emosi yang huru-hara.

Cerpen ini pernah tersiar dalam Mingguan Wanita; juga sekitar 2004. Selamat membaca

________________

“Nah.”
Adibah memandang buku yang diletakkan di atas meja. Lantas dia mendongak. Memandang Karina, penuh tanda tanya?
“Ambillah. Baca.” Karina menarik kerusi, lalu duduk bertentang dengan Adibah.
“Kenapa?”
“Kau kan suka baca novel.”
“Kau beli untuk aku?”
“Tak. Firdaus yang beli. Dia takut aku bosan.”
“Dah tu?”
“Tebal sangat. Tak larat nak baca. Kau baca, nanti beritahu aku jalan cerita dia.”
Adibah menjeling. “Kan dia beli untuk kau. Bacalah.”
“Kalau majalah OK, tapi novel…ala..takkan kau dah lupa, aku tak minatlah.”
“Kau ni masih macam tu.”
“Korang saja yang berubah. Aku maintain.”
Adibah tersentak. Namun cuba dikawal debar dalam hati. Apa maksud Karina? Argh..mungkin dia bergurau. Pujuk hati kecil Adibah.
“Nak makan apa?” Perlahan Adibah mengambil novel itu lalu dimasukkan ke dalam beg. Sudahnya, kau kembali pada aku juga, dalam hati dia berbisik.
“Dib, dengar tak? Nak makan apa?”
“Sama macam kau.”
“Tak naklah, semua benda nak sama. Silap-silap suami pun orang yang sama.”
Hampir pengsan Adibah mendengar kata-kata Karina. Wajah Karina yang selamba ditenungnya.
“Kenapa pandang aku macam tu? Aku bergurau sajalah.”
Adibah menguntum senyuman nipis. Kelat. Tawar. Bagaimana penerimaan Karina kalau diberitahu kelak? Mampukah dia riang seperti sekarang? Adibah hanya memerhati Karina memesan makanan. Hatinya dihimpit rasa berdosa. Sesak nafasnya melihat Karina yang begitu lurus. Wajah Karina, akan hilangkah serinya kelak?
“Kau sibuk tak petang ni?”
“Kenapa?”
“Teman aku jalan-jalan.”
“Aku ada temu janji dengan klien.” Adibah berharap Karina tidak mendesak. Seboleh mungkin, dia tidak mahu terlalu kerap bersama Karina.
“Malam?”
“Kau suruhlah Firdaus teman kau.”
“Aku nak makan malam dengan korang berdua.”
“Nak buat apa?”
“Saja. Dah lama kita bertiga tak makan bersama. Rindu.”
“Lain kali ya?”
“Esok?”
“Kar!” Adibah separuh menjerit. Tidak dapat dikawal gelora hatinya.
“Okeylah..lain kali. Aku tahu kau sibuk. Sama macam Firdaus. Sibuk memanjang.” Ada nada rajuk dalam suara Karina. Adibah terdiam. Susah menjadi pesalah. Setiap kata-kata Karina dirasakan seperti sindiran.
* * * * *
“Diba beli lagi satu ke?” Soal Firdaus bila melihat novel yang terdampar di atas katil.
Adibah menggeleng. “Kar yang bagi. Dia suruh Diba baca.”
“Maksud Diba?”
“Dia malas nak baca katanya.”
Firdaus mengeluh perlahan. Namun cukup untuk didengar oleh Adibah. Hati Adibah tiba-tiba menjadi sayu.
“Gagal rancangan kita. Habis, nak buat macam mana lagi?” Firdaus75
bersuara perlahan.
“Kita bersemuka dengan dia.”
Pantas Firdaus menggeleng. “Kar tentu kecewa. Abang tak sanggup lukakan hatinya.”
Adibah mengetap bibir. Hatinya terasa. Kalau dah tahu macam tu, buat apa cari bala! Bentak hati kecil Adibah.
Firdaus dapat menangkap riak wajah Adibah yang kian mencuka. Perlahan dipaut tangan kanan Adibah. “I’m sorry. Bukan niat Abang nak buat Diba terasa, tapi Abang..”
Adibah masih membatu. Sayu hatinya bertambah sayu. Kelopak matanya kian berkaca. Menunggu masa untuk gugur. Bahagia yang dicari, kenapa kekalutan yang diperoleh?
“Diba tahu Abang serba salah. Tapi sampai bila?” Suara Adibah sedikit keras. Geram bila dikenangkan sikap Firdaus. Kalau takut dilanda badai, jangan berumah di tepi pantai.
Suasana sepi seketika. Tiada jawapan dari Firdaus. Lalu soalan Adibah dibiar berlalu pergi.
“Abang, baliklah. Dia tentu sedang menunggu.”
Firdaus menghadiahkan ciuman di dahi Adibah. Wajah Adibah ditenungnya. “Bersabarlah dulu. Semua ni akan berlalu.” Perlahan Firdaus berbisik. Melihat Adibah yang terus membatu, Firdaus melepaskan genggaman tangannya. Perlahan dia berpaling, lalu mengorak langkah.
Bila sahaja pintu bilik ditutup rapat, Adibah rebah di atas katil. Berjujuran air matanya. Ketenangan yang dicari, kenapa kecelaruan yang kunjung tiba?
* * * * *
“Dah habis baca?” Karina menghulur gelas berisi jus mangga kepada Adibah. Dia duduk di sofa bertentangan dengan Adibah.
“Hah?”
“Novel hari tu.”
“Oh..dah.” Hampir tersedak Adibah mendengar kata-kata Karina. Adibah meletakkan gelas ke atas meja.
“Ceritalah.”
“Biasa saja.”
Karina menjeling Adibah. Ternyata dia tidak berpuas hati. Adibah mengalah dalam terpaksa.
“Poligami. Fazlan berkahwin dengan kawan baik isterinya ketika isterinya melanjutkan pelajaran di luar negara.”
“Nama mereka?” Karina menunjukkan minat.
“Isteri dia Darina, yang sorang lagi, Najmah.”
“Apa jadi?”
“Bila Darina pulang, mereka terus merahsiakan perkahwinan tu. Keadaan jadi kelam kabut bila ayah Darina pun suka pada Najmah.”
“Erm. Interesting. Kesudahannya?”
“Happy ending.”
“Siapa? Darina ataupun Najmah?”
“Both. Mereka bermadu dalam keadaan damai.”
Adibah mencari perubahan pada wajah Karina. Dia ingin tahu reaksi Karina. “Kar, apa pendapat kau?”
Karina mengangkat bahu. “Kalau dah mereka nak, terpulang.”
Adibah tidak berpuas hati. “Your personal opinion?”
“Aku yang tanya kau dulu!”
Karina ketawa kecil. “Alah..relakslah. Yang kau emosi ni kenapa. Bukan jadi pada kita pun.”
Kecut perut Adibah. Mengucap panjang dia di dalam hati. Karina, kalau itu hakikatnya, macam mana? “Emosi? Mana ada? Aku cuma nak dengar pendapat orang yang ada Master.” Adibah berusaha berlagak biasa. Namun, dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
“Kalau ia jadi pada aku, aku akan menilai dari semua sudut.”
“Maksud kau, kau redha?” Ada bunga harapan yang berputik dalam hati Adibah.
Karina sekadar tersenyum.
Adibah menanti dengan sabar. seketika berlalu, Karina masih berlagak selamba.
“Kau tak jawab lagi?”
“Kalau kau, kau akan redha?”
Terdiam Adibah mendengar pertanyaan Karina. Redhakah aku? Dia berusaha mencari jawapan. Teringat malam-malam yang dilalui setelah kepulangan Karina. Hatinya penuh rasa cemburu. Sering membayangkan kemesraan Firdaus dan Karina. Sering pula menangis terluka. Redhakah dia?
“Hai..jauh menung?”
Adibah kembali ke alam nyata. Senyuman hambar terukir di bibirnya.
“Apa jawapan kau?”
Adibah mengeluh perlahan. Dia sendiri tiada jawapan. Lalu, wajarkah dia mendesak Karina?
Melihat Adibah yang terdiam, Karina bersuara. “Mengucapkan dan menzahirkan adalah dua perkara berbeza. Mungkin Darina ikhlas. Begitu juga Najmah. Mungkin juga tidak. Katakan mereka hidup di alam realiti, kehidupan mereka bukan setakat saling menerima. Masih jauh. Mampukah mereka melalui kehidupan tanpa rasa iri hati?
Adibah terus menyepi.
“Aku tak kata mereka tak akan bahagia. Malah, dalam dunia sebenar, ada ramai pasangan poligami yang bahagia. Sebab tu aku kata, terpulang pada diri masing-masing. Dah lah, jom, aku dah lapar ni.”
Adibah hanya mengikut langkah Karina ke dapur. Hatinya bergelora mengenang kata-kata Karina. Mampukah kita bertiga untuk bahagia?
* * * * *
“Fir. Esok kita lunch bersama?”
“I ada meeting. Takut tak sempat.”
Karina menetap bibir. Sudah lebih dua minggu kepulangannya, jarang Firdaus menemaninya. Awal pagi sudah keluar, lewat malam baru kelihatan. Karina tidak ingin mengesyaki yang bukan-bukan, namun bodohlah dia kalau masih tidak menerima hakikat yang terbentang. Dalam hati Karina mengeluh.
“Malam?”
“Tengoklah. Kalau tak ada kerja I pulang awal. Kar, kalau you bosan, pergilah jalan-jalan. Dah dua tahun you tak duduk sini, KL dah banyak berubah.”
“Sorong-sorang?”
“Ajaklah kawan teman.”
“Dib sibuk. Macam you.”
“Kawan lain?”
Karina diam tidak menjawab.
Melihat Karina tidak bersuara, Firdaus mematikan perbualan. “Okey, good night.”
Karina memandang sepi suaminya yang mengiringkan badan membelakanginya. Sampai bila lakonan ini perlu diteruskan?
Karina bangkit menuju ke balkoni. Penat rasanya berlakon tanpa jalan cerita yang tetap. Skrip yang spontan. Sangkanya dulu, kepulangannya akan membahagiakan banyak hati. Rupanya, hanya mengusutkan keadaan. Dalam ruang waktu yang ada ini, Karina berusaha bertenang. Menilai. Mungkin, aku yang perlu bertindak. Dalam hati, Karina memasang tekad. Kalau mereka enggan membuka mulut, biarlah dia yang bersuara.
* * * * *
“Diba, kita makan malam bersama?” Penuh mengharap Firdaus bersuara di hujung talian.
“Kar?”
“Abang kata ada kerja.”
Adibah mengeluh. “Kita makan di rumahlah. Takut terserempak pula. Ribut nanti.”
Firdaus lega Adibah tidak menolak. Rindunya pada Adibah menggunung. “Okey sayang, jumpa nanti. I love you.”
“Love you too.”
Adibah mematikan talian. Senyuman manis terukir di bibirnya. Hatinya berbunga riang. Walau cuba dilawan, rindunya pada Firdaus tidak mampu dikawal. Biarlah kalau tidur malamnya keseorang. Sekurang-kurangnya Firdaus masih mengingatinya.
Panggilan telefon mematikan lamunannya.
“Ada apa Kar?”
“Takkan nak tunggu ada sebab baru aku boleh call kau?”
“Taklah.”
“Aku cuba telefon Firdaus tapi tak dapat. So, aku call kau. Saja, nak berbual. Kau sibuk ke?”
“Lagi lima belas minit ada meeting. Tapi sekarang boleh cakap.” Tidak sampai hati pula Adibah untuk menipu Karina.
“Bulan depan aku mula kerja.”
“Ya? Erm..lepas ni mesti kau lebih sibuk dari aku.” Adibah tidak mampu menyembunyikan senyumannya. Mula bekerja bermakna Karina akan ke Pulau Pinang. Dapatlah dia bersama Firdaus.
“Amboi, gembira sangat kenapa? Suka ke aku tak ada kat KL?”
“Taklah. Aku happy untuk kau. Mesti kau dah tak sabar. Kau juga selalu merungut. Kata bosan.”
“Eh, okeylah, ada incoming call. Fir kut yang telefon. Bye.”
Kegembiraan hati Adibah tergugat. Namun cepat dibuang cemburu itu. Kau yang menjadi orang ketiga, kau tidak berhak untuk menyimpan rasa itu. Hati Adibah berbisik.
* * * * *
“Hai, sayang. Dari mana?” Karina merangkul pinggang Firdaus. Manja dan mesra.
Firdaus mengukir senyuman. “Ada kerja sikit.”
“Jom.” Karina berjalan di hadapan sambil tangannya erat menggenggam tangan Firdaus. Firdaus hanya menurut langkah Karina.
Hiba hati Firdaus melihat kejutan Karina. Meja dihias cantik dengan lilin. Steak dan kek memenuhi meja. Sejambak bunga turut menambah seri. “Happy anniversary.” Perlahan Karina berbisik.
Hati Firdaus menjadi hiba. “Maafkan I, Karina. I terlupa.”
“It’s okay. Dah dua tahun kita tak meraikan ulang tahun bersama, I tak salahkan you.” Karina mengukir senyuman manis. Firdaus semakin terseksa. Rasa bersalah memenuhi segenap lorong hatinya.
Berdakapan erat, bergerak perlahan mengikut irama, membawa Firdaus kembali ke kenangan lama. Dia sedar, Karina istimewa dalam hati. Biarpun selepas kehadiran Adibah, Karina tetap istimewa. Tidak mungkin dia akan melukakan hati Karina. Argh, bukankah perbuatannya sebelum ini sudah cukup untuk menghancurkan hati Karina? Mata Firdaus mula berkaca.
“Fir, apapun yang terjadi kelak, I nak you ingat saat ini. Biar dalam pelukan siapa pun you tidur kelak, I berharap I yang hadir dalam setiap mimpi you.”
“Kar, kenapa cakap macam tu? Dalam pelukan siapa lagi I nak tidur kalau bukan you?”
Karina tersenyum mendengar kata-kata Firdaus. Hatinya puas. Dia yakin, hati Firdaus masih menyimpan namanya. Kebenaran itu sudah cukup untuknya.
* * * * *
“Apa apa ni?” Adibah terkejut melihat Karina muncul di hadapan rumahnya bersama Firdaus.
“Kita perlu berbincang.” Wajah Karina kelihatan serius namun tenang.
“Aku buat air dulu. Kau nak minum apa?”
“Dib, tak payah susah-susah.”
Adibah semakin berdebar. Firdaus juga tidak tenang. Lain benar Karina. Mereka hanya menurut langkah Karina ke meja bulat di laman rumah Adibah.
“Tahniah.”
Adibah dan Firdaus tersentak.
“Rasanya belum terlambat. Tahniah di atas perkahwinan kalian.” Tenang dan lancar tutur kata Karina. Adibah dan Firdaus kaku terpana.
“How come?”
“Bodohlah I kalau I tak nampak. Cincin platinum yang you pakai masa jemput I di airport hari tu, pasangannya tersarung di jari Dib. Gerak hati wanita jarang tersasar.”
“Kar..” Adibah kehilangan kata-kata.
“Ke mana arah kita?” Karina tidak mempedulikan Adibah. Sebaliknya dia bertentang mata dengan Firdaus. Firdaus melarikan pandangan. Bukan takut tetapi serba salah. Walau Karina berlagak tenang, ada duka yang terpancar dari sinar matanya. Hati Firdaus bagai dihiris melihat kepedihan Karina.
“Kita boleh bahagia seperti Fazlan, Darina dan Najmah.” Meluru keluar kata-kata itu dari bibir Adibah. Hatinya penuh mengharap.
Karina tersenyum sinis. “Kalau benar seperti dalam cerita itu, kau adalah Najmah. Najmah sanggup berundur, kau pulak?”
Adibah terdiam. Tidak diduga itu yang ditanya Karina. Dia mengetap bibir. Diam membisu.
“Kar, Fir tahu Fir bersalah, kami bersalah, tapi betul kata Diba, kita masih boleh bahagia.”
Karina masih tersenyum sinis. Hatinya bergelora. Nampaknya mereka masih tidak faham isi hatiku, desis hatinya.
“Mula-mula, Fazlan tidak sanggup melepaskan Najmah tapi bersedia melepaskan Darina jika itu kemahuan Darina. You pulak?”
“You baca?”
“Tentu ada sebab tiba-tiba you beri I novel tu.”
“Apa yang kami cuba sampaikan ialah kita masih boleh hidup bahagia bersama.”
“I bukan Darina. I tak nak jadi Darina.”
“Kar, you tak perlu jadi sesiapa!”
“That’s what I’m trying to say. Kita bukan Fazlan, Darina dan Najmah! Kisah kita juga bukan seperti mereka. Dib, aku sayangkan kau. Aku sanggup berkongsi segala-galanya tapi bukan suami. Fir, I bukan Darina yang tinggalkan suami yang baru tiga bulan dikahwini kerana cita-cita. Dua tahun I di Jepun, kita bukan tidak bertemu langsung. Lagipun, you yang pujuk I pergi ke Jepun. You yang beri I jaminan yang you akan setia.” Karina meluahkan segalanya. Kasihnya pada Adibah mendalam. Cintanya pada Firdaus melangit. Namun, dia tetap wanita biasa. Tidak mampu memujuk hati untuk redha dengan semua ini.
“Kar, maafkan aku.” Perlahan Adibah bersuara.
“Maaf bukan persoalannya. Ucaplah seribu kali pun, hakikatnya tetap sama.”
Suasana tegang seketika. Air mata Adibah mulai banjir. Karina pula masih gagah mengawal kepedihan hatinya. Perasaan hati yang dikhianati tidak mampu diubati. Dia bukan Darina. Begitu mudah menerima semuanya. Berkali, ditegaskan dalam hati.
“I tetap cintakan you, Kar.”
“Fir, kenapa you berkahwin dengan Dib?”
“I cintakan dia.”
Karina terseyum pedih. Cinta seorang lelaki. “What would you feel if I tell you that I love you, but at the same time I'm in love with someone else?”
Firdaus mengeluh. Karina sengaja menduga hatinya.
“I dah failkan permohonan untuk bercerai. Kita jumpa di mahkamah. Dib, sebagai seorang kawan, doa I sentiasa mengiringi langkah you.” Bersama kata-kata itu, Karina melangkah meninggalkan Firdaus dan Adibah. Beban yang menyarat dalam hati Karina beransur pergi.
“Dia menghukum kita.” Perlahan Adibah bersuara. Firdaus hanya membatu. Beban rasa bersalah ini akan dipikulnya seumur hidup.