Sunday, March 7, 2010

SS - Menulis, novel popular dan tanggungjawab sosial

Sudah lama tidak update blog ini. Saya sibuk dan ya, tidak tahu mahu tulis apa. Hendak berceriata fasal manuskrip yang memang tidak nampak bayang, errkkk tidak sesuailah pula. Jadi, saya merapu ya. Selamat membaca!

Semasa menulis karya pertama dahulu, saya hanya mahu menulis. Saya tidak fikir pun penerimaan orang. Saya cuma mahu menulis apa yang terlintas. Senang cakap, saya tidak terfikir langsung berkenaan nilai murni ataupun apa-apa pun yang mahu disampaikan kepada pembaca. Bagi saya, saya hanya mahu menulis. Itu sahaja.

Tetapi apabila karya pertama diterbitkan dan saya mula menerima e-mel demi e-mel, ada satu persoalan menerjah fikiran saya.
Adakah penulis mempunyai tanggungjawab sosial? Adakah saya menerapkan nilai murni dalam karya saya? Oh, teruk bukan saya?

Banyak e-mel yang saya terima. Kandungannya buat saya terdiam. Ada yang berkata kisah itu kebetulan sama dengan kisah mereka. Ada juga yang berkata kisah itu dijadikan tauladan dan dorongan kepada mereka. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana membaca. Paling tidak pun, saya kata, di sudut lain dalam dunia ini, ada orang lain yang melalui kisah yang hampir sama dengan kita.

Hakikatnya, saya tidak tahu bagaimana mahu respons apabila orang kata mereka menjadikan kisah yang saya tulis itu sebagai motivasi. Sebab saya tidak terfikir pun tentang itu.

Lalu, membaca novel itu bukan sekadar mengisi masa senggang? Penerimaan setiap pembaca berbeza. Untuk saya yang menulis hanya kerana saya suka, saya mula rasa terbeban. Ya, walaupun kita tidak minta, hakikatnya karya kita itu menyumbang sesuatu sama ada baik ataupun buruk.

Lalu, sejak itu saya sering tertanya sendiri. Adakah yang ditemui atau diperoleh daripada karya saya sesuatu yang baik? Ataupun karya saya mempengaruhi pembaca untuk melakukan yang salah? Adakah pembaca mendapat manfaat ataupun hanya membuang masa? Saya mula merasakan saya perlu memberi input biarkan ringkas dan sedikit.


Selain itu, ada satu perkara yang sudah lama saya mahu tulis tetapi bertangguh. Walaupun saya mulanya tidak peduli, tetapi pergaulan saya dengan orang buku selama enam tahun kadangkala buat saya geram. Persepsi orang buku yang sebahagiannya melabelkan novel cinta@popular (ya, karya saya jatuh di bawal label itu ya) melalaikan dan tidak bermutu. Mereka buat kesimpulan berdasarkan lambakan novel.
Oh, saya tidak nafikan tema cerita-cerita begini lebih kurang sahaja. Tetapi betulkah novel sebegini hanya melalaikan?
(Ini samalah dengan persepsi saya pada kebanyakan filem@drama Melayu, jadi patutkah saya marah mereka? Hehehe... tetapi jangan salah faham. Saya tetap menyukai sesetengah filem@drama Melayu tetapi saya lebih menyukai drama Cina dan Korea yang err... melalaikan juga. Hahaha. Dan ya, Hollywood tetap di hati hoh... )

Jadi, bagaimana pula ada penulis yang menerima e-mel pembaca yang mengucapkan terima kasih kerana novel yang dibacanya secara tidak langsung ‘membantunya’ menjalani hidup? Mereka mengatakan mereka memperoleh sesuatu daripada karya-karya itu.

Mudah sahaja. Lain orang, lain penerimaannya. Pembaca yang beribu, menerima input berbeza daripada sebuah novel yang sama yang dibacanya. Samalah juga dengan saya yang sampai sekarang tidak faham mengapa sesetengah filem itu box-office sedangkan saya tidak tergamak pun mahu menontonnya. Taste orang berbeza. Mungkin mereka mendapat sesuatu yang saya tidak nampak. :)

Saya hanya penulis biasa, karya saya juga biasa-biasa, tetapi saya berharap supaya pembaca memperoleh sesuatu yang positif walau sekecil hama pun.

Semoga semua karya di luar sana termasuklah karya saya, ada manfaatnya.

Kepada yang hendak jadi penulis, fikirkan ya. Jangan jadi seperti saya yang tidak peduli suatu masa dahulu. :)