Wednesday, April 15, 2009

Cerpen - Lara Hati

Cerpen ini pernah tersiar dalam MW. Ditulis ketika kita dikejutkan dengan kes kematian seorang perempuan. Rasanya ini cerpen terakhir dalam simpanan saya. Jadi mungkin lepas-lepas ni tak ada entri cerpen melainkan tiba-tiba saya terjumpa koleksi lama yang lain ataupun dapat petunjuk untuk menulis lagi. Selamat membaca.
________________________________________

LARA HATI


“Lepaskan saya.” Mendatar suara Aireen meluncur laju. Perlahan tetapi terselit sedikit ketegasan.
“Maksud sayang?” Zafir tersentak. Hatinya mula berdebar. Perlahan dan kemudian semakin kuat. Resah dia menanti bicara seterusnya dari Aireen. Matanya merenung tepat bola mata Aireen.
Aireen melarikan pandangan. Untuk menuturkan kata-kata itu, dia telah berfikir sedalamnya. Bukan mudah sebenarnya. Namun, desakan hatinya tidak mampu dibendung lagi. Dia ingin meleraikan lilitan sengsara yang melingkari hidupnya.
“Kita berpisah.”
Zafir mendengus. Benar sangkaan hatinya. Argh… wanita ini sengaja menduganya. Perlukah perpisahan yang dimintanya? Zafir sedikit geram. Niat di hati ingin membina semula hidupnya. Mencipta bahagia bersama Aireen dan Arisa Zafira, puteri hati mereka.
“Kalau abang kata tidak?”
Aireen mengeluh. Ego lelaki. Perlahan, Aireen bersuara memujuk.“Itu yang terbaik. Buat apa sengsara kalau sudah nampak jalan keluar.”
“Alasan! Aireen malu dengan abang, kan?” Bentak Zafir.
Perasaan terkilan bercampur geram membuak-buak di dada Aireen. Cuba disabarkan hatinya. Pesan emak, api jangan dicurah minyak.
“Abang tahu Aireen bukan macam tu.”
“Aireen masih marah? Belum maafkan abang?”
Suara Zafir kembali lembut. Terbit kesedaran dalam hatinya. Tidak wajar dia meninggikan suara. Hanya menambah kekusutan yang sedia ada. Bimbang hati Aireen kian terluka.
Aireen membelakangkan Zafir. Berjalan menuju ke balkoni. Merenung kosong lampu-lampu yang berkilauan. Sepoi angin malam tidak mampu mendamaikan hatinya.
Maaf? Persoalan itu berlegar di ruang fikiran Aireen. Aireen tidak pasti. Hatinya tawar. Sejak tujuh bulan lalu, Zafir kerap meminta Aireen untuk memaafkannya. Sudahkah kemaafan itu dihulur? Perlahan Aireen tersenyum tawar. Namun tiada bicara daripadanya.
Zafir melangkah mendekati Aireen. Bahu Aireen dipaut lembut. “Abang tunggu. Sampai sayang bersedia memaafkan abang. Ya?”
Aireen menoleh ke sisi. Merenung wajah Zafir penuh mengharap. Bukan tiada kasih yang bersisa namun, calar duka di hatinya tidak mampu dihilangkan.
“Tujuh bulan bukan masa yang singkat untuk Aireen berfikir. Abang, beri Aireen peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri.” Lembut dan tenang suaranya.
Zafir mendengus. Pautan dilepaskan. Aireen dan kata-katanya. Argh…dia memang bijak bermain kata. Tenang tetapi tegas. Api kemarahan kembali menguasai Zafir. Sakit hatinya melihat ketegasan Aireen.
“Apa pun terjadi, kita tidak akan berpisah.” Bersama kata-kata itu, Zafir melangkah meninggalkan Aireen. Pintu rumah dihempas kuat. Aireen sedikit tersentak. Air mata yang ditahan dari tadi berjujuran. Hatinya sepi, sesepi rumah yang dahulunya istana buat mereka.
* * * * *
“Maafkan Abang, sayang.” Zafir yang melutut tidak dipedulikan. Aireen terduduk kaku di hujung katil. Air matanya terus berguguran. Tiada kata-kata mampu diungkap untuk menggambarkan kekecewaan yang dirasa. Hatinya bagai kaca berderai. Hampa. Kesal. Marah. Benci. Perasaannya huru-hara. Pengakuan Zafir umpama bom atom yang meledak. Memusnahkan seluruh kuntuman bahagia dalam hidupnya. Badannya terasa menggigil. Aireen mengetap bibir. Cuba menenangkan rasa geram yang membuak di dada. Menunggu masa untuk meletup.
Zafir menggenggam erat tangan kanan Aireen. “Sayang, jangan macam ni. Marahlah abang. Pukul. Tapi tolong jangan membatu macam ni.”
Menggunakan tangan kiri, Aireen meleraikan genggaman Zafir. Mengumpul sisa kekuatan yang ada, Aireen bangkit dari bucu katil. Perlahan air mata dikesat. “Pergilah. Tentu ada sebab abang disyaki.”
“Sayang percaya kalau abang kata abang tak buat?”
Aireen mendengus. Zafir bangkit. Berdiri di hadapan Aireen.
“Sayang, tolong jawab. Jawapan sayang sangat penting buat abang.”
Aireen membisu seribu bahasa. Hanya anggukan sebagai jawapan.
“Jaga diri dan jaga anak kita. Mungkin Abang akan ditahan beberapa hari.”
Zafir memeluk Aireen erat. Rambut Aireen diusap. Lembut. Pipi Aireen dicium. Namun, Aireen tetap kaku. Langsung tidak membalas setiap tindakan Zafir.
Zafir melangkah perlahan. Menjauhi Aireen. Beberapa langkah, Aireen bersuara, “Kita pergi bersama.”
“Sayang?” Zafir menoleh. Mencari kepastian.
“Abang tentu perlukan peguam.”
“Maksud sayang?”
“Mulai sekarang, Aireen peguam abang.”
* * * * *
“Abang, Aireen nak abang dengar dengan teliti. Abang akan didakwa di atas tuduhan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kalau disabit kesalahan mungkin akan dijatuhkan hukuman mati.”
Zafir tunduk merenung meja. Tidak tergamak rasanya untuk menatap wajah di hadapannya.
“Aireen nak abang ceritakan semua. Semua yang berlaku pada malam kejadian. Malah sepanjang perhubungan abang dengan si mati. Jangan tertinggal walau sekecil hama pun.” Sengaja Aireen tidak menyebut nama Kartika. Hatinya terhiris. Namun, dia sedar, dia perlu kuat. Lelaki di hadapannya seorang suami yang curang tetapi bukan seorang pembunuh. Biar Tuhan yang menghukumnya di atas kecurangannya namun dia akan berjuang membuktikan Zafir bukan pembunuh.
* * * * *
“Melepaskan ataupun meneruskan. Kedua-duanya perlukan kekuatan.”
Aireen terdiam mendengar kata-kata Zaina. Sahabat baik yang menjadi tempat dia meluahkan deritanya. Ziana, seorang doktor psikologi. Secara tidak langsung, Aireen menjadi klien Zaina.
“Bertenang dan fikirkan sebaik mungkin. Di mana kau berada dan ke mana kau ingin melangkah.”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, semuanya nampak kusut. Aku penat. Betul-betul penat. Bila dalam mahkamah, aku rasa nak menjerit. Nak mengamuk pada Zafir. Tergamak dia buat aku macam ni.”
“Kenapa kau bersedia jadi peguam dia?’
“Aku sayang pada dia. Aku percaya dia tak bunuh perempuan tu.”
“Tapi, itu tak bermakna kau yang harus bela dia.”
“Entahlah. Mungkin sebab aku tak yakin dengan orang lain.”
Zaina terdiam. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Zaina sedar kecelaruan yang melanda hidup Aireen sukar diperbetulkan.
“Apa-apa pun, kau perlu tumpukan perhatian kepada tanggungjawab kau sebagai peguam Zafir.”
Aireen mengangguk lemah. Dia tahu, itu yang paling penting. Selepas itu? Biarlah, dia akan membuat keputusan bila tiba masanya.
* * * * *
Aireen bersandar di sofa. Memeluk erat bingkai gambar perkahwinannya. Air matanya sudah kering. Penat memikirkan jalan yang terbaik. Zafir masih belum pulang. Jam di dinding dijelingnya. Hampir pukul empat pagi. Mungkin Zafir tidak pulang. Mungkin dia sedang menenangkan hatinya.
Perlahan Aireen bangkit. Menuju ke bilik. Beg pakaian dikeluarkan. Baju dilipat kemas. Dimasukkan ke dalam beg. Tidak ditinggalkan walau sehelai pun. Kalau pun Zafir membenarkan dia tinggal di rumah ini selepas mereka bercerai kelak, Aireen tidak sanggup. Hidupnya tentu tidak aman, dihantui kenangan lama.
Selesai berkemas, Aireen mengambil wuduk. Menghadap Tuhan, memohon keampunan. Memohon ditetapkan hatinya. Memohon ditenangkan jiwanya.
* * * * *
Duduk seorang diri di dalam kereta, air mata Zafir tumpah lagi. Suara Aireen semakin sayup. Mengenang peristiwa yang berlaku, hatinya dihimpit rasa berdosa. Sesak nafasnya.
Ini bukan kali pertama dia menangis. Sejak tujuh bulan lalu, sudah terlalu kerap dia menangis. Hatinya penuh kesalan. Noda dosa yang dikumpul bersama Kartika amat berat untuk ditanggung. Pengorbanan seorang isteri, tegak di sisi ketika keaibannya dipertonton amat meruntun hati. Seorang isteri yang hatinya terluka, sanggup mengenepikan rasa hati lalu berjuang untuk seorang suami yang curang. Zafir tidak pasti adakah itu rahmat atau hukuman Tuhan yang diterimanya.

“Mahkamah memutuskan bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Zafir Anuar, awak dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan ini.”
Hanya Tuhan yang tahu betapa syukur dan gembira hati Zafir. Air mata Aireen tumpah juga. Menjadi tontonan segenap yang hadir dalam bilik mahkamah. Kalau sebelum ini, Aireen menjadi tajuk utama akhbar. Digambarkan sebagai wanita yang cekal dan berani. Begitu tenang biar pun sesi pendakwaan merungkai satu persatu keaiban dalam hubungan Zafir dan Kartika. Tenang melaksanakan tanggungjawab menyoal balik saksi pendakwa. Mendengar pengakuan Zafir tentang hubungannya dengan Kartika. Semuanya kerana etika guaman yang dijunjung. Lalu, bila keputusan diumumkan, Aireen menjadi seorang isteri yang gembira.
Zafir mendengus. Memadam kenangan lalu. Baru tiga hari dia dibebaskan. Baru tadi, selesai kenduri doa selamat. Tidak diduga Aireen meminta penceraian. Bukan dia tidak nampak kedukaan Aireen. Namun, sangkanya Aireen sepertinya. Ingin melupakan mimpi ngeri itu, lalu bersama berusaha untuk bahagia. Kenapa? Kenapa?
Solat subuh di masjid, Zafir merasa begitu kerdil. Niat di hati ingin memohon agar hati Aireen dilembutkan. Agar hati Aireen dapat dipujuk. Namun, Zafir terasa malu. Siapa dia untuk meminta? Layakkah dia untuk memohon?
* * * * *
“Assalamualaikum.” Zafir bersuara dalam sebak. Melihat Aireen yang duduk bersimpuh membaca al-Quran.
Aireen meneruskan bacaan seketika. Perlahan ditutup al-Quran, lalu mencari wajah Zafir.
“Abang dah sembahyang?” Itulah kali pertama Aireen bertanya tentang solat Zafir. Selama empat tahun usia perkahwinan mereka, baik Aireen mahupun Zafir kerap terlupa atau sengaja melupakan solat.
Zafir mengangguk lemah.
“Kita dah jauh tersasar. Inilah masanya untuk kita menilai semula langkah kita. Membaiki mana yang perlu.” Perlahan dan lembut suara Aireen.
“Tak bolehkah kita melakukannya bersama?”
Hati Aireen dihimpit kesayuan. Perlahan, dia menggeleng. “Aireen minta maaf. Sejak Abang ditahan, Aireen dah cuba. Aireen benar-benar berusaha. Sehinggalah saat ini, baru Aireen mengerti. Aireen dah pun memaafkan Abang. Malah, mungkin dari awal lagi. Tapi, untuk melupakan Aireen belum mampu.”
“Kalau Sayang benci Abang, kenapa sebelum ni Sayang tak tinggalkan Abang. Kenapa baru sekarang?’
“Aireen setia di sisi kerana itu tanggungjawab Aireen. Sebagai isteri. Sebagai peguam. Abang dah pun bebas, Aireen minta, beri peluang untuk Aireen.”
Peluang? Sudah dua kali Aireen minta diberi peluang. Bukankah aku yang sepatutnya diberi peluang oleh Aireen? Hati Zafir menjerit.
“Abang yang sepatutnya diberi peluang. Kenapa Aireen menghukum Abang?”
“Siapalah Aireen untuk menghukum. Aireen cuma ingin menyelamatkan diri.”
“Tak bolehkah kita sama-sama menyelamatkan keluarga kita?”
“Abang, dalam hati Aireen sudah tiada rasa percaya. Yang ada hanya curiga. Kalau kita bersama, kita hanya akan kelemasan. Biarlah kita sama-sama bernafas lega.”
Zafir menarik nafas. Melepaskan keluhan panjang. “Aireen berkeras?”
“Bukan berkeras tapi bertekad. Aireen tak mampu teruskan perkahwinan ini. Aireen akan terus dihantui bayang Kartika. Aireen akan terus tertanya siapa lagi sebelum atau selepas Kartika. Aireen tak sanggup Abang. Benar-benar tak sanggup! Aireen bukan wanita kental seperti digembar-gemburkan dalam akhbar. Aireen hanya wanita biasa. Yang tahu rasa sakit bila hati dilukakan. Yang tahu rasa kecewa bila cinta dikhianati.” Terhambur segalanya. Tujuh bulan, Aireen menyimpan kecewa dalam hati. Memaksa diri berdiri tegak. Akhirnya, dia tewas juga.
Zafir menggeleng kesal. Luka Aireen benar-benar parah.
“Arisa?”
“Dia tetap anak kita bersama. Aireen akan jaga dia. Abang boleh jumpa dia bila-bila masa.”
“Dia tentu hairan kenapa mama dan papanya tidak tinggal bersama.”
“Bila dia besar, kita akan terangkan pada dia. Dia akan mengerti.”
Zafir terdiam seketika. Aireen yang dikenalinya memang seorang yang tegas. Keputusan yang dibuat jarang diubah. Hatinya masih berat. Kasihnya pada Aireen menggunung. Sehingga kini, dia sendiri tidak mengerti kenapa dia boleh tergamak menduakan Aireen. Hubungannya bersama Kartika bukan atas dasar cinta. Nafsu semata-mata. Iman akan menjadi pendinding untuk kita dari melakukan kejahatan atau dosa. Itu pesan arwah ibunya. Mungkin itulah jawapan yang dicari. Dia terlalu leka. Leka dengan dunia. Lalu pegangannya tidak kuat. Begitu mudah hatinya diperdaya. Argh.. kesalan ini akan dirasa seumur hidup.
Suasana sepi menyelubungi bilik tidur mereka. Pandangan Zafir singgah pada beg-beg pakaian yang tersusun di tepi almari berdekatan pintu. Matanya berkaca. Hatinya kian hiba. Mengertilah dia, tiada apa yang mampu dilakukannya.
Menggigil tangan Zafir menggenggam tangan Aireen. Perlahan matanya merenung mata Aireen. “Abang lepaskan Aireen dengan talak satu.” Bergetar suara Zafir.
Air mata Aireen berguguran. Tenang dia menerimanya. Dalam senyuman tawar, dia bersuara. ‘Terima kasih.”

No comments: