Saturday, May 9, 2009

SS - Editor ataupun penulis?

Tanggungjawab siapa? Editor ataupun penulis? Soalan ini selalu ditanya. Ataupun begini; bukankah ini kerja editor?

Berdasarkan pengalaman saya, ramai termasuklah saya sendiri kurang faham tugas sebenar editor dan tanggungjawab penulis.

Rakan saya seorang editor pernah dimarahi penulis semasa membuat pruf. Katanya manuskrip itu terlalu banyak kesalahan dan tidak diedit dengan betul. Apabila disemak manuskrip asal, lebih teruk keadaannya. Salah siapa?

Sebenarnya memarahi editor, menuduh editor tidak melakukan kerja adalah perkara yang kurang sopan. Apalah salahnya kemukakan rasa tidak puas hati itu dengan ayat yang lebih sopan?

Bukan penulis sahaja hatinya perlu dijaga. Penulis yang bijak akan tahu yang editor juga perlu dihormati kerana masing-masing ada peranan. Malah, dalam keadaan tertentu manuskrip seseorang penulis mungkin jadi jauh lebih baik kerana adanya editor itu.

Ada penulis karyanya dipuji. Si penulis bangga tetapi tanpa disedarinya, editor yang mengedit yang langsung tidak dipedulikannya itulah yang menambah rasa pada manuskripnya. Jadi, sesekali, ucapkan terima kasih. Tidak salah merendah diri.

Okey, bagaimana pula dengan situasi ini. Siapa yang perlu menyemak ejaan, memastikan manuskrip yang dihantar dalam keadaan 'bersih'?

Jawapannya adalah penulis. Ya, penulis bertanggungjawab memastikan manuskrip akhir yang dihantar sebelum kerja suntingan (oleh editor) dalam keadaan bersih. Ya, kadangkala memanglah berlaku kesalahan di sana sini, tetapi editor tahu menilai, ada kesalahan yang tidak disedari, tetapi ada juga yang memang tidak disemak sebelum dihantar.

Tugas utama editor adalah menyolek manuskrip; menambah baik di mana-mana, ada scene yang kurang sesuai diubah, dipotong, disusun semula dan sebagainya. Kesalahan ejaan dan tanda baca sebenarnya tanggungjawab penulis. Bukanlah bermakna editor langsung tidak semak tetapi, adalah lebih elok sekiranya penulis juga menyemak sebelum menghantar manuskrip. Dengan ini memudahkan kerja editor dan hasilnya lebih baik.

Saya sendiri sebagai penulis masih kurang teliti. Semoga lain kali, saya lebih cermat. :P


Apa yang penting? Kerjasama! :P

2 comments:

SARNIA said...

Akak nak tanya, perlukah seseorg editor meletak jarak dgn penulis?

Aizam Aiman@Leeya Myra said...

Salam Kak Sarnia.

Merujuk soalan, ini pendapat saya, mungkin betul, mungkin salah.

Bagi saya, perlu. Seorang editor perlu meletakkan sempadan dengan penulis.

Kenapa?
Bagi mengelakkan masalah di kemudian hari. Saya ambil contoh situasi yang pernah berlaku; seorang editor berkawan dengan seorang penulis (hubungan bermula atas urusan kerja). Kemudian, penulis mempersoalkan kenapa itu dan ini. (Sesetengah penulis menganggap dirinya perlu diberi layanan kelas A apabila dia baik dengan editor).

Saya rasa itulah masalahnya. Sebagai manusia, kadangkala kita gagal membezakan urusan rasmi dengan personal. Sebab itu, bagi mengelakkan isu begini, dua-dua pihak perlu jelas.

Jarak di sini bukanlah bermaksud tidak boleh mesra. Hubungan baik dan mesra perlu supaya kerjasama yang terjalin menggembirakan dua-dua pihak dan memudahkan kerja. Ia bergantung kepada bagaimana editor mengawal situasi.

Cewah, macam bagus jawapan saya. Hahaha. Sekali lagi, saya hanya memberi pendapat. :P