Friday, March 27, 2009

Cerpen - 30.05.04

Cerpen ini ditulis saat kawan baik kakak saya mahu berkahwin. Saya berharap keajaiban berlaku. Penyudahnya saya siapkan pada hari si lelaki mahu berbulan madu. Dia call kakak saya dari dalam tandas di airport. Hahahaha!
Tapi... jangan salah faham, kakak saya tidak harap apa-apa, saya sendiri yang harap mereka ada jodoh. :P Tapi... sekarang kami 99% yakin lelaki itu sudah memadukan isterinya. Makanya, bukankah satu rahmat bukan kakak saya yang jadi pengantin pada 2004 itu? Hahahaha! :P
Selamat membaca!

____________________________________________________

24.05.04

Terasa seperti degupan jantung aku terhenti tatkala mendengar tiap butir yang meluncur laju dari bibir lelaki di hadapanku. Kaku aku seketika. Kejutan apa ini? Terbantut hajatku mahu meneruskan suapan. Sudu aku lepaskan daripada pegangan. Lalu sup sayur aku terbiar sahaja. Berusaha mengawal rasa terkejut, aku mengambil gelas berisi air suam. Perlahan aku teguk. Terasa perit tekakku. Walau air mengalir, masih, kering- kontang.
Menyedari saat-saat yang berlalu tanpa reaksi, aku memberanikan diri mengangkat kepala. “Kau buat lawak? Nak aku gelak?”
Dia tersenyum sinis. Menggeleng kepala. “Min, muka aku ni macam tengah buat lawak ke?”
Aku mengetap bibir. Melarikan pandangan. Membuang pandang, aku bersuara perlahan. “Kau yakin?”
“Kenapa tanya macam tu?”
Mendengarkan soalan aku dibalas dengan soalan lain, aku ketawa sinis. Argh... lelaki ini, sengaja berpura-pura tidak mengerti. Bukan dia tidak tahu maksud aku. Tidak pula aku membalas lalu kami saling menyepi. Melayan gelora dalam hati.
“Ini yang penting sangat kau ajak aku makan tengah hari?” tiba-tiba suaraku menjadi keras. Aku juga tidak mengerti.
“Kau bila lagi?”
Sakit hatiku dibuatnya. Soalan demi soalan, sampai bila? Tiada jawapan. Aku memandang tepat redup mata seorang lelaki bergelar sahabat. Faqri Redzuan. Baru dua minggu lepas usianya genap 25 tahun. Kenalan ketika darjah tiga. Rakan sekelas sehingga darjah enam. Namun kami tidak berhubung. Jauh sekali bersahabat. Melangkah meninggalkan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Palembang terus menjauhkan aku dari zaman kanak-kanakku. Sedikit kenangan zaman itu aku bawa meniti usia remaja dan dewasaku. Tentu sekali tidak aku bawa nama lelaki ini. Tidak meninggalkan kesan di dalam hidupku.
Dua belas tahun berlalu, sesungguhnya nama itu tidak aku ingati sekalipun dalam mimpiku. Entah demam apa yang melanda, dia muncul di hadapan rumah orang tuaku. Hari raya ketiga tahun lalu. Ziarah dari seorang rakan lama katanya. Lalu bermula kisah kami. Kisah sebuah keakraban yang terjalin dalam tempoh yang singkat. Tidak sampai sebulan, kami bergelar kawan baik. Itulah ikatan antara kami.
“Woi! Dengar tak?” Tersentak aku mendengar suara Faqri yang separuh menjerit. Sekelip mata, aku kembali ke alam nyata. Argh…jauh pula anganku berlari. Menyingkap sejarah antara kami.
Senyuman tawar aku ukir di bibir. Kelat. Fikiranku ligat berputar, mencari bait yang sesuai. Menarik nafas panjang, aku memaksa diri, bersuara, “Tahniah, pastikan kau bahagia.”
Berbalas senyuman, pandangan kami bertaut. Lama. Ada riak keliru terpancar dari sinar matanya. Mungkin dia bingung dengan sikapku yang dingin. Mungkin dia dapat membaca resah hatiku. Argh..pedulikan. Aku cuba melawan getar dalam hati. Payah. Sulit. Sukar. Berdepan dengan Faqri, inilah kali pertama dadaku sesak. Nafasku laju. Perasaanku huru-hara. Bermacam yang bergolak dalam hati. Sungguh, aku kebingungan.
“Okeylah, aku nak cepat ni. Banyak kerja di pejabat. Apa-apa SMS aku.” Pantas aku bangkit. Ingin rasanya aku berlari sekuat hati. Jauh dari lelaki ini.
Kembali ke pejabat, aku mula menyesal. Tidak sepatutnya aku berkata begitu. Tentu Faqri menyangka yang bukan-bukan. Sedangkan aku sendiri tidak mengerti.
“Kau tahu, masa darjah empat sampai darjah enam, aku pernah syok pada kau. Tapi, kau tu berlagak sangat. Maklumlah... budak pandai.” Kata-kata Faqri masih membekas dalam hati. Sewaktu dia meluahkannya dahulu, tidak pula aku mengambil serius. Aku sekadar ketawa mengejek. Kini, aku mula ragu. Entah sejak bila, kata-kata itu aku pegang sebagai benih harapan. Mengharap ia bercambah.
Berkerut dahiku memikir. Ingin sahaja aku lempar beban rasa yang menyarat dalam hati. Bingung. Sungguh, aku bingung. Faqri muncul tepat pada masanya. Waktu itu, aku dalam kecelaruan. Disokong dia, aku bertatih untuk bangkit dari kegagalan. Dikhianati kekasih, kerjayaku di hujung pedang, siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kepada Tuhan aku mengadu. Lalu, kehadiran Faqri umpama anugerah. Tanpa jemu, dia menjadi sahabat yang setia. Meniup api kecekalan ke dalam jiwaku.
Sungguh, hubungan kami jujur. Dibatasi sempadan hukum. Biarlah orang kata tiada istilah sahabat baik antara lelaki dan perempuan. Bukankah hubungan kami bukti menyangkal dakwaan itu? Itu anggapan aku. Setahun usia hubungan kami. Tidak pernah sekali aku menyingkap rahsia hatinya. Tidak pernah aku cuba mengambil tahu cinta yang hadir dalam jiwanya. Argh... bukankah dia lelaki kasanova? Tentunya tidak ada hubungan yang serius.
Sesekali aku bercerita tentang lelaki-lelaki yang menyapa hidupku. Sesekali dia bercerita tentang perempuan-perempuan yang ditemuinya. Tiada rasa cemburu. Sebaliknya kami saling menyakat. Mengusik. Gurau senda, bukankah itu gula dalam persahabatan?
Aku memejam mata. Berusaha mencipta damai dalam hati. Bila agaknya perasaan yang huru-hara ini akan kembali tenang? Urusan pejabat bersepah, terbiar di atas meja. Tidak aku endah. Berat. Persoalan demi persoalan menyarati fikiranku. Kacau. Berkocak. Bergolak.
Tiba-tiba hatiku menjadi sayu. Pilu. Tidak keruan. Entah bagaimana, entah bila, ada rasa yang berputik dalam hati. Menggeleng aku. Kepala aku pegang kejap-kejap. Aku perlu bercuti! Menenangkan diri. Persoalannya, bolehkah aku tenang selepas ini?
Memandu kereta, aku tidak pasti destinasi untuk dituju. Lalu, aku berpusing sekitar Taman Permata. Geram. Marah aku kepada Faqri membuak. Kenapa baru kini aku dikhabarkan berita itu? Kenapa setelah masa kian suntuk? Seminggu sahaja lagi. Bukankah aku kawan baiknya? Kenapa seperti aku yang terakhir mengetahuinya. Hatiku menjerit. Hampa. Semakin hampa.
Hampir satu jam berpusing, aku pulang ke rumah. Berkira-kira untuk mengirim e-mel. Meluahkan marah yang membuak. Melahirkan kecewa yang terbuku.
Aku hanya memandang kosong skrin komputer. Memandang pula kepada kad yang terbuka di atas meja. Sebelah papan kekunci. Kad undangan perkahwinan berwarna kuning susu. Fikiranku melayang jauh. Sukar untuk membendung rasa kecewa. Wajah Faqri muncul lagi. Memenuhi layar pandangku.
“Ni kad kahwin aku. Jangan tak datang pula.”
Suara Faqri tengah hari tadi bergema membawa angin pilu memenuhi segenap lorong hatiku. Rasa ingin menangis namun aku tahan. Tidak mungkin air mataku gugur kerana lelaki ini. Aku merengus. Bangkit dari kerusi, mengatur langkah menghala ke tandas. Membuka kepala paip lalu mencurah air paip di sinki. Aku membasuh muka. Beberapa kali. Membangkitkan diri dari mimpi. Jasmin, dia kawan baik kau! Hatiku menjerit. Serentak itu, hajatku untuk menaip e-mel terbantut. Mati di situ.
* * * * *
“Awak marah kerana marah ataupun marah kerana kecewa?”
Aku membulatkan biji mata. Memandang tepat Faisal yang begitu selamba menikmati makan malamnya. Apa maksud dia?
“Saya tak faham.”
Faisal tersenyum manis. Menyedut air tembikai susu beberapa kali. Aku merengus. Geram melihatkan sikapnya yang berlengah. Aku tidak sabar. Ingin kepastian. Faisal Ismail. Kami baru berkenalan dua bulan lalu. Baru beberapa kali keluar makan bersama. Selebihnya hanya berbalas SMS ataupun berbual di talian. Selalunya dia yang menghubungi aku. Kata Faqri, dia sedang cuba memikat aku. Entahlah, tidak pula aku rasa begitu. Kebetulan, petang tadi Faisal menelefon, mengajak aku makan malam bersama. Elok juga dari melayan perasaan seorang diri. Mengadap makan malam, ternyata aku tidak berselera. Menyedari sikap aku yang seperti ada tidak kena, Faisal bertanya. Laju sahaja aku mengadu kepada Faisal.
“Awak berkecil hati atas dasar seorang sahabat atau terluka sebagai seorang wanita?”
Aku mengetap bibir. Tidak terjawab olehku. Terserlahkah? Hinggakan Faisal boleh meneka isi hatiku. Walhal aku sendiri tidak menyedarinya. Baru kini, aku mula mengerti. Itu pun masih ragu.
“Kita baru kenal dua bulan. Setiap kali berbual, cerita awak lebih berkisar tentang dia. Kalau bukan suka, apa lagi?”
“Suka sebagai kawan? Dia kan kawan baik saya?” Aku cuba berdalih.
“Terpulang. Atas awak. Saya cuma boleh kata, awak ada enam hari lagi. Bertindak atau lepaskan.”
Aku termenung jauh. Mengenang kata-kata Faisal. Ada logiknya. Menyedari sesuatu, aku tersenyum.
“Kenapa?”
“Faqri kata awak nak pikat saya. Silap andaian dia. Sebaliknya, awak suruh saya kejar orang yang saya suka.”
Faisal membalas senyuman aku. “Dia tak silap. Memang benar. Saya sedang cuba memikat awak.”
Senyuman di bibir aku lenyap. Aku memandang Faisal kehairanan. “Dah tu, awak tak kisah?”
“Saya berhak suka awak dan awak berhak suka dia.”
Aku ketawa kecil. Betul. Bukankah hidup ini selalu begini? Si A suka Si B tapi Si B itu suka orang lain pula.
Kembali dari makan malam, aku berbaring di atas katil. Masih belum pasti. Perlukah aku berlaku jujur? Sedangkan aku sendiri belum yakin. Mungkin hanya untuk seketika rasa itu menjengah hatiku. Maklumlah, baru menyedari yang aku akan ‘kehilangan’ kawan baikku. Mungkin juga…
* * * * *
27.05.04
Tiga hari berlalu, aku masih belum pasti. Samar. Berbelah bagi. Menghitung hari ternyata sulit. Beberapa kali aku menaip e-mel tetapi tidak pula di klik pada perkataan ‘send’. Panggilan telefon dari Faqri aku biarkan tidak berjawab. Masuk kali kelima, tidak tergamak pula rasanya.
“Kau marah pada aku ke?”
“Tak ada sebab aku nak marah.” Kasar dan keras suaraku.
“Kalau tak, kenapa senyap? Aku call banyak kali buat tak tahu saja.”
“Saja. Tak rasa nak jawab.” Sengaja aku mencurah minyak. Biar terbakar.
“Min, aku tanya betul-betul ni. Yang kau merajuk tak bertempat ni kenapa?” Aku terusik mendengarkan suara Faqri yang kian meninggi. Mungkin kesabarannya telah lebur.
“Kalau setakat nak marah aku, baik tak payah.”
Aku terdengar keluhan Faqri yang panjang dari corong telefon. “Min, kita jumpa?”
“Tak payahlah. Aku tak nak kacau bakal pengantin. Tentu sibuk nak buat persiapan. Okeylah, bye.”
Belum sempat Faqri bersuara lagi, aku memutuskan talian. Telefon bimbit aku matikan. Mataku menjeling pada bungkusan hadiah yang berbalut rapi. Lampu tidur. Siang tadi, aku sempat berkejar memilih hadiah untuk Faqri. Aku tidak bercadang untuk hadir di majlisnya namun aku sekadar bersedia. Manalah tahu kalau-kalau aku mengubah fikiran. Paling tidak, aku beri sahaja hadiah ini sebelum atau selepas majlisnya. Hadiah dari kawan baik. Bukankah sangat bererti?
* * * * *
Dua hari lagi. Sesak nafasku mengira hari-hari yang berlalu. SMS ringkas daripada Faqri aku terima awal pagi tadi. Sesudah Subuh. Memberitahu yang dia sudah mula bercuti. Pulang ke rumah keluarganya di Bukit Baru, Melaka. Sempat dia mengingatkan aku agar hadir. Kalaupun tidak hadir pada hari pernikahannya, dia berharap aku hadir pada majlis di rumah keluarganya. Tidak aku balas SMS itu. Semakin hampir dengan hari ‘keramat’ itu, semakin aku tidak keruan. Aku mengambil cuti. Berkurung di dalam rumah. Bingung aku dibuatnya. Terasa ini dugaan yang paling berat. Perasaan yang samar semakin jelas. Ya Tuhan, bagaimana untuk aku mengakuinya? Sesungguhnya Faqri Redzuan, aku Jasmin Abdullah amat menyayangi dirimu. Bukan sekadar kasih seorang sahabat, tetapi cinta seorang kekasih.
* * * * *
30.05.04
Hampir pukul tiga pagi. Mataku tidak boleh lelap. Sesekali terlena, aku terjaga semula. Macam mana aku mampu nyenyak kalau fikiranku ligat berputar? Hatiku penuh debar. Beberapa jam sahaja lagi, segala-galanya akan berakhir. Berpusing ke kiri, ke kanan, meniarap, duduk bersila, aku perlu melakukannya! Lantas, aku bangkit. Membuka lampu tidur. Membuka komputer. Aku perlu meluahkannya.
Membuka email, aku terperanjat. Ada email untuk aku. Pukul sembilan malam tadi. Dari Faqri Redzuan. Panjang. Meruntun hatiku.
Assalamualaikum, Jasmin.
Kau tahu Min, sekarang ni rumah aku meriah. Ramai yang berkumpul. Sibuk membuat persiapan terakhir. Emak dan adikku sibuk memeriksa hantaran. Kalau-kalau ada cacat cela yang boleh diperbaiki. Emak bising sebab aku berkurung. Mengadap laptop. Dia menggesa aku keluar. Katanya nak dipakaikan inai. Leceh..lelaki pun nak kena pakai inai ke?
Min,
Aku tahu kau marah cuma aku tak pasti puncanya. Sebab aku nak kahwin atau sebab aku lambat beritahu kau? Pelik tapi aku berharap jawapannya sebab yang pertama. Tentu kau tanya kenapa, kan?
Bila kita bertemu semula, aku terbawa-bawa perasaan zaman kanak-kanak aku. Sukar untuk membezakan perasaan sebenar aku pada kau. Apatah lagi waktu itu kau dalam kedukaan. Aku berharap sangat dapat peluk kau, melindungi kau. Aku ingin mencipta bahagia untuk kau. Lalu, aku cuba menjadi kawan baik kau. Bukankah kawan juga seorang pelindung?
Fatiha, bakal isteri aku, kekasih aku semenjak tahun akhir di universiti. Sengaja tidak aku khabarkan kewujudannya. Aku keliru sebenarnya. Tapi Min, aku tak nak kehilangan kau, lalu aku memilih untuk berpegang pada janji dan melepaskan perasaan aku pada kau. Esok, insya-Allah, tepat jam 11.30 pagi, aku akan menunaikan janjiku. Kau tahu Min, sampai sekarang, aku masih keliru. Betulkah tindakan aku ini?
Min, ada satu perkara aku nak kau tahu. Fatiha tentu kecewa kalau dia tahu kenapa aku memilih tarikh ini. 30.05.04. Kau tentu tak ingat tapi, 16 tahun yang lalu, pada tarikh yang sama, aku menjejakkan kaki ke sekolah baru. Kali pertama kita bertemu.
Kau tak perlu risau untuk menyusun ayat membalas e-mel ini. Malah, kalau kau nak kau boleh abaikan sahaja email ini. Anggap sahaja kau tak pernah terima. Kau tak perlu datang ke majlis aku kalau kau tak suka. Kau tak perlu buat apa-apa. Hanya satu Min, hanya satu yang aku minta. Jangan buang aku. Menjadi penghuni di hati kau sebagai seorang sahabat sudah cukup untuk aku.
Okeylah Min, Mak aku dah ketuk pintu. Aku hanya ingin berterus terang. Delete sahaja e-mel ini kalau kau tak suka.

Faqri Rezduan.

Keretaku meluncur jauh meninggalkan tol Sungai Besi. Aku tidak pasti berbaloikah tindakan aku ini. Namun, aku akan lebih menyesal kalau tidak berbuat apa-apa. Biarlah apa pun yang menanti aku di sana, aku ingin mengetahuinya. E-mel Faqri telah aku balas. Tidak pasti sudahkah dia membacanya. Berkali-kali aku cuba menelefonnya, telefon bimbit dia tidak aktif. Argh!!
Menjeling jam di dashboard, hampir pukul enam pagi. Sempatkah aku? Aku perlu tiba seawal mungkin di Melaka. Takut kalau-kalau mereka bertolak awal. Mengikut alamat di dalam kad, rumah pengantin perempuan di Muar. Tentunya majlis pernikahan akan berlangsung di Muar. Argh…kalutnya aku!
Aku hanya ingin kepastian. Bertentang mata, meluahkan isi hati. Aku ingin mendengar keputusan Faqri. Kalaupun dia masih ingin menunaikan janjinya, aku tidak akan kesal. Sekurang-kurangnya, aku telah mencuba.

Faqri,
Aku tak mahu mengulas panjang e-mel kau. Aku cuma nak kau tahu yang apa yang kau rasa sama dengan yang aku rasa. Boleh tak kalau kita beri peluang kepada perasaan ini?
Jasmin.
Tuhan, kalau tindakan aku ini tepat, kau permudahkanlah. Kalau tidak, jauhkan aku dari melakukan kesilapan. Amin.
*****
03.06.04
Min,
Thanks for the email. Terlewat aku baca tapi rasanya kita sama-sama dah tahu jawapannya, kan? Esok petang aku akan ke Langkawi, berbulan madu.
Take care.
Faqri.
Aku tersenyum pedih memandang sepi skrin komputer. Benar. Jawapannya terbentang luas. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Keretaku rosak dalam perjalanan ke Melaka. Aku tiba lewat. Rumah keluarga Faqri sepi berkunci. Sesepi hatiku. Lalu tiada apa lagi yang mampu aku harapkan. Faqri, telah tertulis, kita kawan baik untuk selama-lamanya. Hanya kawan. Pedih untuk diterima tetapi bukankah hakikat hidup memang begitu?

1 comment:

DNE said...

SAYA SUKA CERPEN NI......BERBEZA JAUH DARI APA YANG PERNAH SAYA BACA. KISAH CINTA YANG BUKAN KHAYALAN SEMATA.