Friday, February 13, 2009

cerita tentang rindu :P

Ehem ehem.... hehe... memandangkan Cik Anna meminta saya bercerita sedikit perihal novel ketiga saya bersama Alaf 21 yang dengan izin Allah akan berada di pasaran tidak lama lagi, maka saya dengan tanpa segan silunya menulis entri ini. :)

Novel pertama bercakap tentang cinta. Novel kedua pula tentang bahagia. Novel ketiga? Novel ini tajuknya err.... saya pun tak pasti saya boleh cakap ke tak, tapi ada perkataan rindu dalam tajuk itu. :)

Seorang perempuan dan lelaki asing, bertemu dalam surat. Hubungan tanpa nama ini terjalin berbelas tahun lalu menghadirkan rindu yang tidak tahu bagaimana untuk ditafsirkan. Rindu seorang Imanina kepada Pak cik.

Pada masa yang sama, seorang lelaki lain merindui perempuan ini. Rindu Muhammad Amin kepada Imanina.

Rindu siapa yang akan berbalas? Bagaimana pula dengan dendam dan kebencian yang bersarang dalam hati yang tiba-tiba membuak-buak? Patutkah dipejamkan mata lalu dihapuskan api dendam itu?

Antara dendam dan rindu, yang mana lebih utama?

Nak tahu, kenalah baca. :P

Di bawah adalah intro dalam novel saya:


Rindu. Kata orang, rindu itu tanda ingatan kepada seseorang yang tiada di depan mata. Kata kamus, rindu itu keinginan yang kuat mahu bertemu seseorang.
Kata pujangga, rindu hadir selepas suka dan cinta. Kita tidak akan suka tanpa bersua muka, tidak cinta tanpa rasa suka dan tidak rindu tanpa rasa cinta.
Kata aku?
Aku tidak minta rindu itu hadir kerana dalam hati tiada rasa suka kepadanya. Tiada cinta untuknya. Dalam hatiku, hanya ada dendam yang membara. Tetapi entah di mana silapnya, hati ini jatuh rindu kepadanya di celah-celah kebencian yang aku pupuk.
Puas aku menafikan, cuba mengusir pergi rasa yang satu ini. Tetapi rasa ini terus menghantuiku. Berperang dengan perasaan sendiri, aku kelelahan.
Ceritera rindu ini, di manakah noktahnya?

No comments: