Thursday, February 19, 2009

Cerpen - Tentang Kasih

"Kau dah lama tak tulis cerpen." Kata-kata Kak Lin buat saya terdiam sejenak. Ya, sekitar tahun 2004, saya agak rajin menulis cerpen. Ada juga yang tersiar dalam Mingguan Wanita. Kebanyakan cerpen yang saya tulis adalah luahan saya pada perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya. Contohnya cerpen di bawah ini ditulis sekitar tahun 2004; adalah luahan saya selepas membaca artikel dalam majalah tentang kesulitan hidup seorang remaja berjuang demi adik-adik.

Selamat membaca. :)

__________________________


Ara kasihkan Eton. Sepenuh jiwa. Kasih yang luhur. Lahir dari lubuk hati yang tulus. Melaut. Dalam. Terlalu dalam, tak terselam. Melangit. Tinggi. Terlalu tinggi, tak terjangkau.
Kasih Ara pada Eton bukan dipaksa. Bukan dipinta. Anugerah Ilahi. Suci. Terlalu suci.
Namun, tidak bererti Ara perlu akur dengan setiap tingkah Eton. Tidak bermakna Ara perlu terima setiap perilaku Eton. Tidak juga bermaksud Ara hanya menutup mata dan berpeluk tubuh.
“Ara tak sayang Eton?”
Ara tersenyum tawar. Soalan itu telah acapkali bergema di gegendang telinganya.
Telah acapkali berbisik dalam hati kecilnya. Malas untuk dijawab. Ara sedia maklum jawapannya. Namun, malas untuk diuar-uarkan.
Ara percaya Eton tahu tentang perasaannya. Ara yakin tentang itu. Teramat yakin. Bukan Ara yang patut disoal. Hakikatnya, Eton yang perlu menjawab. Tidakkah Eton kasih pada Ara? Kasih pada Alif? Kasih pada Ani?
Ara bosan untuk bertanya. Sudah terlalu kerap sebenarnya. Jawapan Eton tetap sama.
“Ara tak faham.”
Eton pasti bersuara penuh kesayuan. Lain yang ditanya, lain yang keluar dari bibir kering milik Eton. Ara malas bertanya lagi. Lalu, dibiar sahaja Eton terus berkurung. Termenung di hujung katil. Mata yang sentiasa bersisa tangisan. Rambut yang kusut masai. Baju yang yang jarang bertukar. Longlai. Eton tidak terurus. Biarlah. Ara sudah tidak larat. Tidak upaya untuk memujuk.

* * * * *

Eton. Entah di mana silapnya. Mungkin benar Ara tak faham. Tapi, bukan Ara tak faham perasaan Eton! Bukankah Ara juga perempuan? Tidak banyak sedikit, Ara mengerti kekecewaan Eton. Malah, bukankah Ara juga dikecewakan? Tidakkah Eton sedar Ara juga terluka? Kalau Ara cuba untuk berdiri tegak, mengapa tidak Eton?
Ara tidak mengerti mengapa Eton begini. Begitu mudah tewas. Begitu mudah rebah. Jatuh. Tersungkur. Lalu tidak cuba untuk bangun. Tidak berusaha untuk bangkit. Mengapa Eton bukan seperti ramai lagi di luar sana yang mengalami nasib yang sama? Mengapa Eton tidak mencontohi mereka yang cekal meneruskan kehidupan? Mengapa Eton?
Ara tak faham. Betul-betul tak faham. Keliru. Benar-benar keliru.
Ara penat sebenarnya. Letih melayan kerenah Eton. Tanggungjawab Ara bukan sedikit. Terasa tidak mampu dipikul. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas Eton. Tetapi, Ara yang terbeban. Namun, Ara gigih berusaha. Cuba bertahan. Demi Alif. Demi Ani.
Nak harapkan Eton? Tidak mungkin! Eton terlalu asyik. Melayan duka jiwa. Melayan lara hati. Hingga terlupa tentang Alif. Tentang Ani. Tentang Ara.
Sikap Eton buat Ara sakit hati. Marah. Benci. Geram. Kasih Ara masih melaut. Namun, ada kalanya tergugat dek kedegilan Eton. Ara benci melihat Eton yang terus membiarkan diri hanyut dalam arus kecewa.
Mengapa tidak Eton berenang ke tepian? Kalau tidak untuk diri sendiri, mengapa tidak diusahakan demi Alif? Demi Ani? Dan demi Ara juga? Bukan sekali dua Ara bersuara. Meluahkan rasa terkilan. Namun, hampa. Terlalu hampa. Eton tetap begitu. Berkeluh kesah. Meratap pilu.
Muak. Ara muak. Semakin lama, semakin muak.


* * * * *

“Terima kasih Pak Mail. Nanti, bila ada duit, Ara bayar.”
Sudah terlalu kerap Ara mengungkapkannya. Ara sendiri tidak pasti bila agaknya dia mampu melunaskan janji-janji yang tertunggak. Berjanji dengan Pak Mail, tuan punya kedai runcit di kawasan flat dua bilik tempat Ara berteduh. Kedai tempat Ara membeli atau lebih tepat berhutang beras, ikan kering dan kicap. Sekali sekala, telur ayam atau bayam.
Pak Mail seperti biasa tersenyum simpati sambil mengangguk. Kadangkala, Pak Mail memberi percuma ikan sardin dan kangkung yang tidak habis dijual. Dari busuk terbuang, lebih elok menambah pahala. Itu pendirian Pak Mail.
Setiap kali itu, Ara tersenyum sayu. Sebak. Ara segan dengan Pak Mail. Ara tahu Pak Mail bukan kaya sangat. Namun, masih sudi membantunya. Orang kata, orang bandar buat hal masing-masing. Tidak peduli susah senang jiran tetangga. Namun, tidak semua begitu. Ara bersyukur Pak Mail digerakkan Tuhan untuk berbudi kepadanya.


* * * * *

“Ini sewa bulan tiga.”
“Dua bulan lepas dengan bulan ni bila nak bayar?”
“Saya minta maaf Kak Timah. Baki yang tertunggak, saya bayar lambat sikit.”
Kata-kata ini juga sudah terlalu kerap diulang Ara. Saban bulan. Setiap kali menuturkannya, Ara pasti tunduk malu. Suaranya perlahan dan tersekat-sekat seperti selalu.
Dan seperti selalu juga terdengar rengusan kecil Kak Timah. Hendak dimarah, tidak tergamak. Bukan salah Ara kalau bayaran sewa rumah tertunggak bulan demi bulan.
“Eton mana?”
Soalan ini, menjadi rutin setiap bulan. Ara terus membatu. Seperti selalu.
Kak Timah mengeluh. Sedia maklum jawapannya namun masih gatal bertanya. Kasihan Ara. Tentu serba salah.
“Nanti sekejap.” Kak Timah bergegas. Menghilang ke dalam rumah. Tinggal Ara terpacak di depan pintu. Ara melayan perasaan hati yang bergelora. Malu dan sedih silih berganti.
“Nah. Ambil ni. Kek gula hangus. Akak buat lebih. Duit ni, buat belanja sekolah kau, Alif dan Ani.”
Ara menggigit bibir. Menahan sebak. Perlahan diambil plastik merah berisi kek dan gumpalan not merah.
Kak Timah, badannya gempal, wajahnya selalu bengis dan suaranya garau. Namun, hatinya baik. Terlalu baik.
Berjalan pulang, air mata Ara berjujuran. Not merah empat keping digenggam erat. Hati Ara pilu. Bertambah-tambah pilu. Langkah kaki kian laju. Sederas manik jernih yang mengalir dari sepasang mata bundar milik Ara.
Selalunya begini. Eton tidak peduli. Hanya Pak Mail dan Kak Timah yang ambil kisah. Juga Kak Zana. Hanya mereka yang kasihkan Ara, Alif dan Ani.


* * * * *

“Kak Ara, sedaplah kek ni. Alif nak lagi.”
Ara tersenyum sayu melihat Alif yang riang. Jarang benar mereka merasa makanan enak. Hari ini rezeki mereka mewah sedikit. Kek pemberian Kak Timah. Nasi juga berlaukkan kangkung goreng dan ikan sardin goreng.
Dalam hati, doa Ara tidak henti buat Pak Mail. Buat Kak Timah. Ara berdoa agar Tuhan melindungi mereka. Melimpahi mereka dengan rahmat-Nya. Dunia akhirat. Hanya itu cara Ara untuk membalas budi mereka. Hanya itu yang termampu.
Ara gembira melihat Alif dan Ani berselera menikmati makan tengah hari. Sesekali Ara menjeling pada pintu bilik Eton yang tertutup rapat. Ara malas untuk memujuk lagi. Sudah berkali Ara berlembut. Menyuakan makanan kepada Eton. Namun, Eton membatu. Hanya menggeleng.
Abu. Hanya nama itu yang tidak lekang dari bibir Eton. Dipanggil-panggil. Ikutkan hati, mahu sahaja Ara menjerit. Memarahi Eton. Buat apa meratap, mengenang orang yang tidak peduli? Orang yang sedang berbahagia?
Namun, Ara pendam jua. Malas untuk merumitkan keadaan. Ara tidak mahu rumah flat dua bilik yang sedia sesak tambah serabut. Ara kasihankan Alif dan Ani. Ara ingin mereka merasa bahagia. Bukan kekalutan. Ara ingin Alif dan Ani menjalani hidup normal seperti kanak-kanak lain. Tinggi menggunung harapan Ara.


* * * * *

Abu. Nama yang satu ini selalu disebut-sebut Eton. Namun, tidak pernah muncul lagi. Hampir enam bulan. Tidak seperti sebelum ini. Selalunya Abu muncul seketika bertanya khabar Ara, Alif dan Ani setiap dua, tiga bulan.
Ara tidak tahu bagaimana untuk menyambut kemunculan Abu. Perlukah dia tersenyum girang? Memeluk erat, meluahkan rindu yang terpendam? Atau perlukah Ara bersuara lantang, meluahkan kemarahan yang terbuku?
Selalunya, Ara hanya bersalaman. Menjawab sepatah dua bila disoal Abu.
“Dah makan? Sekolah macam mana?”
Kadangkala Ara hairan. Abu begitu mudah bertanya. Tidakkah Abu sedar keadaan Ara, Alif dan Ani? Abu jarang benar menghulur wang, tetapi berlagak seperti ambil berat. Terlupakah Abu? Bukankah sepatutnya dia yang perlu menghulur wang belanja untuk membeli makanan dan membayar yuran sekolah?
Mungkin kerana Abu tahu Ara bekerja sambilan. Ya. Mungkin itu sebabnya Abu bertanya tanpa rasa bersalah.
Ara mempunyai wang yang cukup untuk makan dan ke sekolah. Bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga untuk Alif dan Ani. Begitu senang Abu membuat kesimpulan.
Abu terlupa yang Ara hanya bekerja di salun kecil milik Kak Zana. Dengan gaji hari lima belas ringgit, bagaimana Ara mampu menanggung semua belanja? Belanja sekolah, sewa, bil air dan elektrik dan belanja dapur. Mungkin Abu terlupa yang tahun ini Ara akan menduduki SPM dan Alif pula akan menduduki UPSR. Bukankah ada yuran peperiksaan yang perlu dijelaskan?
Ara mengeluh. Tidak tahu bagaimana untuk diungkap rasa hati.
Tapi itu kisah yang selalu berlaku enam bulan lalu. Sekarang? Abu sudah tidak muncul lagi. Dari setiap hari menjadi kadangkala, jarang-jarang dan kini, terus menghilang.
Biarlah. Mungkin, Abu sudah tidak ingatkan Ara, Alif dan Ani lagi. Seperti mana Abu sering melupakan Eton. Ara membuat kesimpulan dalam hati.
Sebenarnya, ada eloknya Abu tidak muncul. Ara malas untuk menonton drama minggu ini lakonan Eton dan Abu. Eton akan melutut, meraung, merayu agar Abu tidak pergi lagi. Abu akan menolak, bertegas nyaring bahawa dia tidak suka lagi pada Eton.
Alif dan Ani akan menangis keliru sambil bertanya kepada Ara. Ara malas untuk berdalih. Melayan pertanyaan Alif dan Ani. Ara malas untuk mendengar rintihan Eton. Ara malas untuk melihat kemarahan Abu.
Biarlah. Biarlah, Abu terus menghilang.
Ara sendiri tidak yakin dengan kasih Abu. Kalau benar Abu kasihkan Ara, kasihkan Alif dan kasihkan Ani, tentu tidak begini jadinya. Tentu Abu lebih bertanggungjawab. Bukankah melaksanakan tanggungjawab itu antara cara meluahkan rasa kasih?


* * * * *

“Ara mulai bulan depan, Kak Zana naikkan gaji Ara sehari dua puluh ringgit.”
Ara tersenyum lebar. Sayu bercampur girang.
“Betul ke, kak?”
Kak Zana mengangguk dalam senyuman.
“Lepas SPM, sebelum dapat kerja lain, Ara kerja dengan akak. Akak bayar tujuh ratus sebulan.”
Tidak mampu Ara gambarkan kegembiraan dalam hati. Berulang kali Ara mengucap syukur kepada Ilahi. Mata Ara berkaca. Dada Ara sebak. Sungguh tidak diduga, masih ada sinar dalam kelam hidupnya.
“Nah, ambil duit ni, bayar yuran SPM Ara.”
“Tapi Kak Zana…”
Dua pasang mata bertentang. “Ambillah. Ini pun dah lambat. Nanti cikgu marah Ara lagi.”
Sayu. Bertambah sayu. Perlahan tangannya menerima huluran Kak Zana. Dipeluk erat Kak Zana. Air matanya menitis dibahu Kak Zana.
“Terima kasih, Kak Zana.” Bersulam esakan kecil Ara bersuara.
Kak Zana mengusap bahu Ara. Lembut dan perlahan. “Akak anggap Ara macam adik sendiri. Selagi mampu, akak akan tolong.”
Pilu. Bertambah-tambah pilu.
Biarlah Eton terus dengan khayalannya. Biarlah Eton terus hanyut meratap cinta yang kecundang. Biarlah Abu terus menghilang. Biarlah Abu terus menganyam bahagia dengan kekasih hati yang baru.
Biarlah. Biarlah mereka terus terlupa untuk mencurah kasih pada zuriat mereka. Biarlah mereka terus begitu.
Ara sudah tidak mahu ambil peduli. Tidak mahu ambil tahu. Ara tidak mahu menoleh lagi. Ara ingin terus melangkah. Paling penting, Ara akan terus berusaha. Demi nasib Alif dan Ani, adik-adik tercinta. Demi nasib dirinya juga.
Kalau sudah takdir kasih ibunya malap, tidak mengapa. Kalau sudah takdir kasih bapanya kelam, tidak mengapa. Cukuplah kasih orang asing seperti Pak Mail, Kak Timah dan Kak Zana. Cukuplah kasihnya pada Alif dan Ani. Cukuplah kasih Alif dan Ani kepadanya. Paling penting, cukuplah kasih yang Maha Esa sebagai bekalan untuk Ara, Alif dan Ain untuk meneruskan perjalanan. Cukuplah dengan kasih yang Satu itu!

No comments: