Tuesday, January 26, 2010

SS - Hubungan penulis-editor

Saya mulakan menulis dengan bismillah dan debaran. Harapnya kali ini, tulisan saya lebih berhemah dan tidak mencetus kontroversi. Tetapi suka saya uar-uarkan saya delete entri terdahulu lebih awal, hanya selepas saya delete barulah muncul Cik Kiah bersama tuduhannya. Manalah saya sangka blog saya ini diperhatikan hoh... Tetapi, biarlah. Yang sudah berlalu biarkan berlalu.

Baik, entri ini masih berkait dengan content entri terdahulu tetapi saya tulis dengan sopan supaya tiada hati yang terguris ya. Niat saya hanya mahu bakal penulis dan penulis di luar sana cuba memahami hubungan editor-penulis. Saya bukan mahu mengata mana-mana penulis. Saya cuma berharap editor lebih dihormati. Itu sahaja. Ini kerana editor adalah penghubung antara penulis dan penerbit. Ingat, editor adalah wakil penerbit. Editor bukan kuli penulis. Tetapi editor adalah orang yang berperanan besar dalam membantu sesebuah karya diterbitkan.

Ini tidak bermaksud editor sentiasa betul. Tentu ada silapnya. Editor manusia biasa. Tetapi saya menulis entri ini dengan berpihak kepada editor. Nanti saya akan tulis pula dari sudut seorang penulis.

Seperti dalam entri-entri dahulu, saya ulang, entri ini di bawah label syok sendiri, makanya, ia mungkin tidak bermanfaat pun. Tetapi sekiranya ada yang rasa ia bermanfaat, alhamdulillah.

1. Menghormati dan menyenangkan editor
Bagaimana mahu menghormati dan menyenangkan editor? Jangan selalu mendesak, jangan mengarah editor buat itu dan ini, tetapi mintalah dengan berhemah. Jangan sindir-sindir editor; memperlekahkan kesibukan editor dan sebagainya.

Susah untuk memahami tugas editor. Percayalah, sekiranya anda bukan editor makanya anda tidak akan faham situasi editor. Begitu juga bagi editor yang bukan penulis, makanya kurang faham keadaan penulis. Tetapi biarlah saling cuba memahami. Apabila editor minta masa sekian-kian, hormatilah permintaan itu. Kita tidak tahu situasi di pejabat, mesyuarat mengejut, projek ad-hoc dan seribu satu hal yang datang tiba-tiba. Itu belum termasuk kerja yang memang sudah ada dalam jadual.

Tetapi adakah bermaksud editor tidak boleh ditanya berkenaan status manuksrip dan sebagainya? Jadi, takkan tunggu sampai kucing bertanduk?

Boleh tanya. Contohnya, kalau editor kata minta tempoh dua minggu, selepas hari ke-16 ataupun ke-17, boleh e-mel ataupun SMS bertanya kembali sekiranya tidak ada respons.

Waktu bila?
Elakkan SMS di luar waktu pejabat. E-mel tidak kisah, sebab bila-bila masa editor akan jawab. Elakkan selalu telefon editor. Percayalah ramai editor yang fobia menjawab panggilan telefon.

Kalau perlu menelefon di luar waktu pejabat?
Perkara apa yang penting sangat sehinggakan tidak boleh menunggu esok?
Sekiranya tersangat penting, apa kata SMS dahulu bertanya kepada editor bolehkah menerima panggilan telefon sebentar kerana ada perkara penting mahu dibincangkan. (boleh juga dinyatakan terus dalam SMS).

Prinsipnya sangat mudah, apa perasaan anda apabila orang telefon anda malam-malam kerana urusan kerja sedangkan anda baru balik dan belum sempat tukar baju? Ataupun pada hujung minggu sedangkan anda ketika itu baru merancang-rancang tidak mahu memikirkan soal kerja?

Tidak perlu mengambil hati dengan memberi hadiah. Berilah sekiranya mahu merakamkan penghargaan. Memberi perlu dengan niat menghargai semata-mata, jangan datangkan ia bersama beban yang editor perlu layan dengan baik kerana sudah menerima hadiah. Tetapi kalau tidak beri hadiah pun tidak ada masalahnya, cukuplah ucapan terima kasih. Ada editor tidak suka terima hadiah sebenarnya, rasa serba salah kerana bimbang ’termakan budi’.



2. Potisif menerima komen
Perkara ini memang sukar. Hmm... adat menegur, tentu ada yang terasa hati. Kebelakangan ini ramai sangat penulis yang rasa tercalar egonya apabila editor memberi komen berkenaan manuskrip yang ditulis. Seorang penulis pernah bertanya pada editor, siapa editor? Pernah tulis buku? Pernah menang anugerah?
Dia tidak tahu editor itu juga penulis novel dan pernah menang pertandingan menulis cerpen ok, malah cerpennya dijadikan telemovie. (Tidak, bukan saya. Saya ambil contoh orang lain dan tidak, saya bukan mahu mengata penulis. Ini contoh, ok. :P)

Tetapi bukan semua begitu. Ramai juga yang berfikiran positif.
Pengalaman bekerja dengan ramai penulis, pelbagai ragam sebenarnya. Tetapi ada sahaja nama-nama besar yang positif, malah ucapkan terima kasih dan mengubah manuskrip berdasarkan komen yang diberi.

Adakah editor sentiasa betul?
Tidak. Pendapat adalah hak individu. Tetapi, nilai komen editor sebaik mungkin. Tentu ada sebabnya, ia mungkin berkait dengan prinsip syarikat penerbitan, faktor permintaan pasaran dan sebagainya. Penulis selalunya menulis berdasarkan kehendak diri tetapi editor selalunya memberi komen berdasarkan kehendak pasaran dan pembaca.

Tetapi tidak bolehkah dibawa berbincang?
Sudah tentu boleh. Sekiranya tidak bersetuju, bincanglah cara baik. Perkongsian pendapat akan memberi hasil yang lebih baik.

Pendapat pihak ketiga.
Ada masa editor (ya saya) apabila ragu-ragu, akan meminta editor lain untuk membaca. Kami akan berbincang pendapat masing-masing sebelum memberikan komen. Jadi, janganlah menyangka setiap masa editor komen sesuka hati tanpa tahu apa yang dikomen. Editor pun berfikir panjang sebelum memberi komen. Dan editor tidak akan menggunakan masa senggang di rumah untuk baca manuskrip dan kemudian sengaja mahu komen yang menjatuhkan. Banyak lagi kerja berfaedah lain untuk dibuat. :P Jadi, bersangka baiklah.

Salahkah yang muda menegur yang lebih tua?
Ini hubungan yang profesional. Sekali lagi, bersangka baiklah.
Pengalaman saya sebagai penulis. Saya pernah membaca komen editor (muda daripada saya mula bekerja selepas saya jadi penulis di syarikat itu).
Lebih kurang begini tulisan tangannya; apabila terlalu banyak surat, bosanlah pula. Cerita meleret-leret (maaf saya tidak ingat komen dengan tepat).
Tipu sekiranya saya tidak terasa. Terdetik sesaat dua dalam hati. Kemudian saya tersenyum lalu menanamkan pemikiran positif. Dia menegur dengan niat yang baik, mahu manuskrip saya jadi lebih bagus. Dan komen itu tidak ada salahnya. Jadi, saya perbetulkan ikut komen itu.

Sebenarnya, tiga manuskrip saya yang diterbitkan, ketiga-tiga melalui proses penambahbaikan. Sekiranya saya cepat mengalah, tentu novel pertama tidak terbit, kerana hanya 20% daripada cerita asal kekal (80% ini termasuk penambahan kerana tidak cukup tebal).

Boleh sahaja saya persoal, dia siapa? Editor baru. Tidak pernah tulis buku. Saya lebih senior daripada dia. Perlukah saya begitu? Tidak. Mengapa saya perlu berfikiran negatif sedangkan saya sepatutnya berterima kasih kerana dia membaca dan memberi komen dengan niat mahukan hasil yang lebih baik?

Apa akan jadi apabila tidak mahu terima teguran?
Oh, saya juga melaluinya. Saya bukan tidak terima komen tetapi saya ikut ala kadar. Saya malas sebenarnya, pada masa itu. Malas mahu buat perubahan yang banyak, jadi buat sedikit sahaja. Editor tidak berpuas hati tetapi tetap menerima hasil akhir saya (ulang suara, dia tidak puas hati).
Kesannya?
Saya menerima e-mel komen pembaca berkenaan novel itu, komen yang meluahkan tidak puas hati – isu yang sama dibangkitkan oleh editor.
Apa akan berlaku sekiranya saya ikut betul-betul nasihat editor?
Novel itu tentu lebih baik dan mendapat sambutan. :P


3. Berkomunikasi secara terbuka
Biasanya penerbit akan mengadakan sesi pertemuan dengan penulis. Sesi ini diwakili oleh editor dan mungkin juga wakil unit lain contohnya promosi. Untuk apa pertemuan ini? Sekadar suka-suka dan untuk sesi makan-makan sahaja? Tidak sama sekali. Pertemuan begini adalah bertujuan untuk perkongsian maklumat dan mendengar feedback. Inilah masanya untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan mendapatkan penjelasan. Setiap yang berlaku ada sebabnya. Mungkin kita sebagai penulis tidak tahu mengapa sesuatu tindakan diambil oleh penerbit mahupun editor. Dan ini juga ruang untuk penerbit mendengar masalah yang penulis hadapi. Ketidaksempurnaan layanan dan sebagainya.
Malangnya, ramai yang tidak mahu datang. Sekiranya tidak ada masalah tidak mengapa. Ini tidak. Sebenarnya banyak sangat yang terbuku dalam hati. Jadi, apa akan berlaku? Kedengaranlah dialog-dialog seperti, yalah, siapalah saya, saya bukan penulis besar dan sebagainya. Aduhai....

4. Bersangka baik dan menerima maklumat dengan tepat
Saya suka ulang banyak kali ayat bersangka baik. Pemilihan dan pengaturan jadual bukan kuasa mutlak seorang editor. Pihak pengurusan, pemasaran dan jualan akan main peranan. Jadi, jangan mempertikaikan kenapa ada sesetengah penulis, bukunya banyak diterbitkan. Sekiranya anda berusaha, insya-Allah, anda akan berada pada tahap itu. Kita perlu realistik. Kehendak pasaran tetap jadi keutamaan. Tetapi adakah bermaksud penulis baru terpinggir dan tidak ada peluang? Tidak. Peluang ada. Sekiranya tidak ada, bagaimana mahu membina pelapis? Lagipun, kalau manuskrip itu berkualiti, tentulah editor akan berusaha supaya manuskrip itu diterbitkan. Sebagai editor, saya akan bangga apabila terlibat dalam penerbitan karya berkualiti walaupun bukan penulis senior ataupun popular. Editor lain juga begitu. Sebab itu ada masanya saya berikan contoh untuk rujukan penulis lain, judul-judul yang bukan ataupun belum pun jadi karya best-seller. Malah, kami dalam team berbincang berkenaan potensi penulis, dan berusaha mengetengahkan penulis.

Apabila penulis tertentu menonjol, jangan cepat buat kesimpulan penerbit mahupun editor hanya mengutamakan penulis itu, sebab itulah dia menonjol. Anda benar-benar yakin? Mungkinkah penulis itu berjaya atas usahanya di samping usaha penerbit dan editor?
Usaha yang bagaimana? Menulis karya yang sesuai dengan kehendak pasaran. Aktif mempromosi diri dan sebagainya. Kadangkala yang kita lihat itu bukan semuanya menggambarkan hakikat sebenar. Tetapi apabila kita membuka mata, dan cuba mendengar, kita akan sedar banyak perkara.

Sebagai penulis, tanggungjawab sendiri untuk menghasilkan karya yang menepati kehendak pasaran tanpa menggadaikan prinsip diri (saya percaya setiap penulis ada prinsip). Penulis juga perlu berusaha ’menampakkan’ diri di khalayak.

Editor akan membantu yang termampu. Kadangkala sesetengah editor terpaksa berhujah untuk mempertahan sesebuah manuskrip supaya diterbitkan. Selain itu, editor juga berusaha untuk meyakinkan pihak jualan dan pemasaran untuk menaikkan jumlah cetakan pertama sekiranya buku itu dirasakan berpotensi pergi jauh. Bukan semua usaha itu berjaya, tetapi percayalah, editor ada berusaha. Jadi, bersangka baiklah. Tidak ada editor yang mahu buku yang di bawah seliaannya merudum jualannya.



Wah, panjangnya. Lenguh tangan. Saya harap, sedikit sebanyak, saya sudah masukkan aspek berkaitan. Mana yang tertinggal, nanti saya tambah sekiranya teringat.

Okeylah. Terima kasih kerana membaca. Semoga ada yang mendapat manfaat! :)

2 comments:

alifstyle said...

Masih ingat zaman editor era 90-an. Zaman itu, mengadap editor dianggap mengadap ketua mafia. Silap sikit, karya akan dikoyak ataupun diconteng depan mata. Tetapi itu era dulu.

Adakah penulis sekarang mahu era editor ala-ala mafia itu kembali pada era kini?

Please! Saya tidak mahu. Saya mahu editor seperti yang diamalkan oleh Leeya sekarang. Sokong Leeya!

Ilmar Imia said...

Editor dulu garang2...hehe... Tapi rasanya editor di tempat Kak Leeya baik2 belaka :)