Showing posts with label siapa leeya myra. Show all posts
Showing posts with label siapa leeya myra. Show all posts

Friday, June 4, 2010

Oh lamanya!

Salam untuk semua. Lama sunggguh tidak update blog ini. Tidak ada cerita mahu dikongsikan. Manuskrip? Hmm.... saya akan siapkan. Hahaha. Itu janji saya pada editor Alaf 21 setiap kali dia bertanya. Ya, saya akan siapkan tetapi bukan sekarang. Janji saya bulan September untuk hantar. Oh, takutnya. Janji yang entah akan ditepati ataupun tidak. Huhu... Tetapi saya tetap akan siapkan! Ya, semangat perlu ada. Hahaha.

Okey, saya sebenarnya hendak mengajak sesiapa yang mahu add saya di Facebook untuk add. Tanpa segan silu saya ajak. Hahaha. Taip Aizam Aiman (Leeya Myra), tuan puan, saudara saudari akan 'bertemu' saya di alam siber selain di blog ini. Tetapi, seperti blog ini yang jarang-jarang saya update, FB pun lebih kurang. Hahaha.

Baiklah, itu sahaja. Nanti apabila ada mood, saya tulis apa-apa ya. Err....

Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Sunday, March 7, 2010

SS - Menulis, novel popular dan tanggungjawab sosial

Sudah lama tidak update blog ini. Saya sibuk dan ya, tidak tahu mahu tulis apa. Hendak berceriata fasal manuskrip yang memang tidak nampak bayang, errkkk tidak sesuailah pula. Jadi, saya merapu ya. Selamat membaca!

Semasa menulis karya pertama dahulu, saya hanya mahu menulis. Saya tidak fikir pun penerimaan orang. Saya cuma mahu menulis apa yang terlintas. Senang cakap, saya tidak terfikir langsung berkenaan nilai murni ataupun apa-apa pun yang mahu disampaikan kepada pembaca. Bagi saya, saya hanya mahu menulis. Itu sahaja.

Tetapi apabila karya pertama diterbitkan dan saya mula menerima e-mel demi e-mel, ada satu persoalan menerjah fikiran saya.
Adakah penulis mempunyai tanggungjawab sosial? Adakah saya menerapkan nilai murni dalam karya saya? Oh, teruk bukan saya?

Banyak e-mel yang saya terima. Kandungannya buat saya terdiam. Ada yang berkata kisah itu kebetulan sama dengan kisah mereka. Ada juga yang berkata kisah itu dijadikan tauladan dan dorongan kepada mereka. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana membaca. Paling tidak pun, saya kata, di sudut lain dalam dunia ini, ada orang lain yang melalui kisah yang hampir sama dengan kita.

Hakikatnya, saya tidak tahu bagaimana mahu respons apabila orang kata mereka menjadikan kisah yang saya tulis itu sebagai motivasi. Sebab saya tidak terfikir pun tentang itu.

Lalu, membaca novel itu bukan sekadar mengisi masa senggang? Penerimaan setiap pembaca berbeza. Untuk saya yang menulis hanya kerana saya suka, saya mula rasa terbeban. Ya, walaupun kita tidak minta, hakikatnya karya kita itu menyumbang sesuatu sama ada baik ataupun buruk.

Lalu, sejak itu saya sering tertanya sendiri. Adakah yang ditemui atau diperoleh daripada karya saya sesuatu yang baik? Ataupun karya saya mempengaruhi pembaca untuk melakukan yang salah? Adakah pembaca mendapat manfaat ataupun hanya membuang masa? Saya mula merasakan saya perlu memberi input biarkan ringkas dan sedikit.


Selain itu, ada satu perkara yang sudah lama saya mahu tulis tetapi bertangguh. Walaupun saya mulanya tidak peduli, tetapi pergaulan saya dengan orang buku selama enam tahun kadangkala buat saya geram. Persepsi orang buku yang sebahagiannya melabelkan novel cinta@popular (ya, karya saya jatuh di bawal label itu ya) melalaikan dan tidak bermutu. Mereka buat kesimpulan berdasarkan lambakan novel.
Oh, saya tidak nafikan tema cerita-cerita begini lebih kurang sahaja. Tetapi betulkah novel sebegini hanya melalaikan?
(Ini samalah dengan persepsi saya pada kebanyakan filem@drama Melayu, jadi patutkah saya marah mereka? Hehehe... tetapi jangan salah faham. Saya tetap menyukai sesetengah filem@drama Melayu tetapi saya lebih menyukai drama Cina dan Korea yang err... melalaikan juga. Hahaha. Dan ya, Hollywood tetap di hati hoh... )

Jadi, bagaimana pula ada penulis yang menerima e-mel pembaca yang mengucapkan terima kasih kerana novel yang dibacanya secara tidak langsung ‘membantunya’ menjalani hidup? Mereka mengatakan mereka memperoleh sesuatu daripada karya-karya itu.

Mudah sahaja. Lain orang, lain penerimaannya. Pembaca yang beribu, menerima input berbeza daripada sebuah novel yang sama yang dibacanya. Samalah juga dengan saya yang sampai sekarang tidak faham mengapa sesetengah filem itu box-office sedangkan saya tidak tergamak pun mahu menontonnya. Taste orang berbeza. Mungkin mereka mendapat sesuatu yang saya tidak nampak. :)

Saya hanya penulis biasa, karya saya juga biasa-biasa, tetapi saya berharap supaya pembaca memperoleh sesuatu yang positif walau sekecil hama pun.

Semoga semua karya di luar sana termasuklah karya saya, ada manfaatnya.

Kepada yang hendak jadi penulis, fikirkan ya. Jangan jadi seperti saya yang tidak peduli suatu masa dahulu. :)

Monday, October 19, 2009

SS - Cinta pertama? - Tiada kaitan dengan tip menulis :P

Terlebih dahulu, wah saya update entri pada hari terakhir Syawal. Sempat lagi wish raya? Err....

Editor saya, Widad Soraya (ceh, bila pula saya bayar gaji dia) pernah bertanya, mengapa dalam cerita saya, mesti ada kisah cinta pertama ataupun mungkin perasaan yang tidak kesampaian yang terbawa-bawa hingga ke tua?
Adakah kerana saya mengalaminya. :)

Baru-baru ini, seorang pembaca bertanya perkara yang sama. Adakah ini pengalaman saya? Dia mahukan pendapat saya kerana dia juga dalam dilema.

Juga, seorang rakan lama berjaya menjejaki saya. Katanya, dahulu semasa sekolah, dia suka saya. Hehe... kembang mak cik. (Selalunya hanya saya yang suka orang hoh...) Eh, saya lupa tanya dia adakah saya yang pertama? Rasanya tidak hoh....

Ini jawapan saya untuk mereka.

Kepada Widad saya katakan, ya. Ada benar dan tidaknya. Tetapi yang pasti dalam CR, watak Wan Radzi itu adaptasi daripada watak kawan saya.


Kepada pembaca itu, ini jawapan saya.

Cinta pertama untuk saya, saya pun tidak tahu yang mana. Sebab crush masa sekolah adalah, tetapi semuanya tergantung begitu sahaja. Adakah boyfriend pertama itu cinta pertama? Tetapi bagaimana dengan crush sebelum itu?

Tetapi, ya, saya ambil ia sebagai inspirasi menulis cerita. Senang cakap saya 'hidup dalam angan-angan'. Selalu berpegang pada kenangan lama yang sepatutnya dilepaskan.

Untuk memberi pendapat saya rasa tidak layak. Apatah lagi saya tidak tahu dilema saudari.
Tetapi, pandangan saya begini sahaja. Crush ataupun cinta ataupun kenangan yang sudah berlalu, biarkan ia berlalu. Sebab yang kita ada adalah sekarang dan insya-Allah masa depan.
Kalau betul cinta pertama itu datang semula dan ianya untuk awak, dan awak masih mahu, grab it.
Tetapi kalau ia tidak datang, sebaliknya awak hanya menunggu sesuatu yang tidak pasti, let it go and move on.

Kadangkala perasaan dalam hati itu sudah tiada, cuma kita tidak mahu lepaskan, jadi kita anggap ia ada.
Saya beri contoh ya. Saya pernah crush pada seorang lelaki semasa sekolah. kami lost contact berbelas tahun. dalam tempoh itu, banyak kali saya berkira-kira mahu mencarinya. Saya mahu sangat tahu hidupnya sekarang dan ada juga berharap dia suka saya. (Hehe...) Hinggalah akhirnya hasrat saya tercapai.

Tetapi apabila kami bertemu kembali, rasa teruja itu sekejap sahaja. seketika terbuai-buai oleh perasaan dulu; kenangan lama. seketika, saya sedar, saya tidak rasa apa-apa lagi. kerana masa sudah berlalu, dan perasaan yg saya pendam itu sebenarnya untuk dia yang berusia 15 tahun pada masa itu. bukan dia yang sekarang.

(Sebab itu kalau awak perasan persamaan dalam IK dan MC adalah Ann dan Zafir tidak end up dengan crush or should I call their 1st love?

Semoga saudari dipermudahkan membuat keputusan. :)



Berkenaan kawan saya itu pula...
Saya pernah berada di tempat dia, jadi saya faham keterujaan dia. Saya juga faham yang dia tidak rasa apa-apa lagi.
Tetapi, ya, saya sedikit kecewa. Buat apa cari saya apabila sudah tidak rasa apa-apa? Buat apa luahkan apa yang sudah tiada? Ya, saya rasa hidup saya akan lebih mudah sekiranya dia masih suka saya. Sekurang-kurangna itu yang saya harap. Jadi, saya tidak perlu pening-pening. Terima sahaja apa yang datang hoh.
Hmm... nampaknya saya masih perlu menunggu petunjuk dari langit. Eh, tetapi, bukankah saya sudah tidak percaya pada istilah true love mahupun soulmate? Hahaha....


Kepada semua yang terperangkap dalam dilema cinta pertama yang sudah tiada tetapi masih berharap pada keajaiban.... terpulang. Tetapi pilihlah untuk hidup gembira. With or without your first love....

Friday, August 14, 2009

Siapa Saya?

Ada yang bertanya biodata saya. Jadinya saya ringkaskan di bawah berkenaan saya. Saya pun tidak pasti hari ini ada mood mahu bercerita tentang peribadi saya:

Penulis novel dewasa dan novel remaja bahasa Melayu.
Juga seorang editor di sebuah syarikat penerbitan.

Karya:
Diterbitkan oleh Alaf 21 menggunakan nama pena Leeya Myra
2004 – Mencari Cinta
2006 – Izinkan Kubahagia
2009 – Ceritera Rindu


Diterbitkan oleh PTS One Sdn. Bhd. menggunakan nama pena Aizam Aiman
2005 – My Angel
2006 – My Hero
2008- My Secret
2009 – Sayalah Puteri Raja

Blog:
www.leeya-myra.blogspot.com
www.aizam-aiman.blogspot.com

E-mel:
leeya.myra@yahoo.com
aizamaiman@gmail.com
roswell_124@yahoo.com


Fakta lain tentang saya:
1.Kurang percaya wujudnya 'true love' antara lelaki dan perempuan (terutama diri sendiri, orang lain mungkin mendapatnya) tetapi menulis tentang itu.
2.Pemalas dan pentingkan diri sendiri selain keluarga.
3.Kurang bersosial, hanya ada beberapa orang kawan termasuklah dua orang kawan baik.
4.Sangat percaya diri dilahirkan sebagai penulis walaupun bakat tidak seberapa. Hahahaha :P
5.Suka makan, tidur, berkhayal, menonton drama terutama Cina, Korea, Jepun. Juga drama Inggeris. Channel kegemaran adalah 8tv dan NTV7. (Bila balik kampung ada Astro, sangat suka tengok AXN dan Hallmark).
6.Apabila merasakan diri tidak ada pencapaian, rasa tidak berguna, akan cuba siapkan novel. Bila terbit, akan rasa telah melakukan sesuatu dalam hidup sebagai pencapaian peribadi. :)
7.Kehidupan berlegar soal kerja; apabila terlalu banyak kerja rasa bosan dan penat. Tetapi apabila tidak buat kerja, rasa kosong, tidak tahu hendak buat ataupun fikir apa.
8.Berharap dapat berperanan membawa sedikit perbezaan dalam hidup orang lain.
9.Mencari ketenangan dan kedamaian hidup di dunia juga di akhirat.
10.Berharap dapat mencintai Allah lebih daripada segala-galanya setiap detik melalui perbuatan, kata-kata dan dalam hati.

Saturday, May 16, 2009

Saya kena tag lagi...

10 facts about me...

1. Pemalas

2. Suka tidur.

3. Suka menulis.

4. Suka cerita Cina, Korea dan Jepun.

5. Anti-sosial.

6. Selfish.

7. Suka ketawa.

8. Suka menangis.

9. Moody.

10. Suka duit dan bau duit baru. Nikmat. :)


Azrin, jangan tag selalu, nanti dah tak ada rahsia tentang leeya myra. Tak best. :P

Saturday, May 2, 2009

Gambar daripada Presiden Alaf FC

Semasa di booth Alaf, selain duduk melepak, sesekali saya sign, ataupun tolong buka plastik novel Kak Anis (hoping dapat aura dia; hahaha), tolong jadi kaunter pertanyaan (ye, ada juga yang sangka kami cashier, heh?) dan waktu lain, terkena tempias glamor penulis lain, gambar kami diambil.

Terima kasih kepada Mr.F sebab e-mel gambar-gambar ini.

Tuesday, April 28, 2009

Saya kena tag

Hmm... sepuluh hari pesta buku, saya tak ke ofis, mahupun balik Bangi. Jadi saya tak leh akses internet. Jadi saya semacam terpisah daripada dunia luar. Nanti saya update apa yang berlaku ye.

Buat permulaan saya jawab tag Azrin dulu (memula saya ingat awak perempuan - macam orang ingat Aizam Aiman itu lelaki. :P)

1. nama timangan family : Adik, Kak Yah
2. anda seorang yang ....pemalas, berlagak dan moody.
3. insan istimewa dan kenapa dia teramat istimewa :Mak dan Kak Lin kerana tanpa mereka, anda tentu tak berpeluang tag saya. :P
4. lagu kesukaan sekarang : Coba, Faizal Tahir. (Lagu tema untuk masalah jiwa kali ini. Hahaha)
5. warna kegemaran : Hitam dan putih (lambang kejahatan dan kebaikan saya. Hahaha)
6. benda paling wajib dalam handbag (saya jarang guna handbag, tapi tak kisah bag apa pun, benda paling penting DUIT)
7. kali terakhir nangis : malam tadi.
8. tag ramai2 rakan anda : Malaslah... (saya tak ada ramai kawan. Lalalala!)

Okey, sudah selesai. Btw, nama pena saya Leeya Myra (sebutannya MAIRA- sebab ramai yang salah semasa di book fair jadi saya announce di sini. :P )

Wednesday, April 15, 2009

KLIBF09 dan saya....

Lama tak update. Minta maaf banyak-banyak. Saya sibuk. Err... tak, bukan itu sebab sebenarnya. Ya, saya sibuk tetapi ia lebih kepada saya malas nak update. Tidak ada keinginan mahu menulis. Hehehe...

Ok, kembali kepada cerita tajuk entri. Ya, saya akan berada di pesta buku di PWTC. Sejak lima tahun lalu, hidup saya berubah. Pesta buku jadi penting (kecuali 2006 di mana saya malas mahu ambil tahu pasal pesta buku).

Lain daripada itu, pesta buku adalah perkara yang akan buat saya sakit kepala, tidak cukup tidur dan dilanda kebimbangan tahap maksimum. Kenapa? Sebab ia berkaitan dengan kerja.

Okey, abaikan. Sebenarnya saya cuma nak beritahu Leeya Myra akan berada di booth Alaf 21 pada Jumaat(24/04), Sabtu (25/04) dan Ahad(26/04). Kononnya untuk sesi sain autograph. Hahaha! Macam poyo. Tak apalah, kalau tak ada pembeli novel saya, saya duduk lepak saja. Paling tidak pun saya tolong bukakan pembalut plastik novel Pak cik Ramlee. Hehehe....

Okey, sesiapa yang rasa nak jumpa saya, silalah. Bukan selalu saya 'membuka' diri kepada public. Hahahaha! :P

Sunday, March 8, 2009

Oh wanita rupa-rupanya! :P

Isnin 02/03 yang lalu saya perlu membantu sekumpulan pelajar UiTM yang datang ke syarikat tempat saya bekerja bagi mendapatkan maklumat untuk tugasan mereka. Berbual dengan salah seorang, saya bertanya umurnya. Entah mengapa soalan itu yang terlintas. Sebetulnya saya jarang bertanya soal umur. Apabila dia menjawab 20 tahun, saya terkedu. Oh betapa mudanya mereka! Jadi saya sudah tua? Hehehe...
Sebetulnya saya selalu lupa yang usia saya akan menjengah 30 tahun beberapa tahun lagi. Saya selalu lupa yang saya semakin tua. Dan ya, saya selalu lupa yang saya ini wanita. Bukan budak perempuan, bukan remaja perempuan. Tetapi wanita dewasa. Huhuhu...
Saya tahu hari wanita sedunia dekat tetapi saya tidak ingat tarikhnya. Kalau betul pencarian saya di Internet kurang beberapa minit ini, makanya 08/03 adalah tarikh hari wanita sedunia. Jadi, kepada semua wanita di luar sana Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia. Ya, menjadi wanita bukannya mudah. Saya faham kerana saya juga wanita yang dihujani ujian kesusahan dan kesenangan.
Semoga kita semua menjadi wanita yang dirahmati hidupnya dunia dan akhirat. :)

Monday, January 19, 2009

Penulis yang malas!

Editor kegemaran saya sangat memahami kerenah penulis yang suam-suam kuku ini. Masalah saya yang utama adalah saya PEMALAS!
Ya, apabila menulis, saya jarang berjaya tulis tebal. Sebab prinsip saya, buat apa tulis tebal-tebal kalau nanti banyak yang dipotong? Ataupun cerita yang sedia ada boring dan meleret menjadi semakin meleret-leret. Betul tak? Hehehe...
Tapi sebenarnya, saya bukan setakat malas tulis panjang-panjang, daripada scene ke scene pun saya selalu nak ringkas-ringkaskan. Malas nak fikir. Maka, terjadilah apa yang terjadi pada hujung minggu lalu.
Puan Editor menandakan di beberapa tempat yang bertukar scene, (banyak sebenarnya), yang mana saya perlu buat penambahan. Sebenarnya setiap penambahan lebih kurang 3,4 ayat saja. Dan tak sepatutnya berlaku kalau dari awal saya dikurniakan sikap rajin untuk menulisnya dengan proper, kan?

Note dia kepada saya; cepatnya melompat, tambah!, malaslah you ni and bla...bla... Hehehe... Oh, dia memang faham saya.

Jadi kesimpulannya, sikap pemalas saya membuatkan saya buat kerja dua kali. Saya mula buat pembetulan lebih kurang pukul 3 petang hingga 1.30 pagi. Dan esoknya sambung lagi beberapa jam. Padan muka saya! :P

Untuk editor yang 'tak beri peluang saya malas :p', terima kasih banyak-banyak kerana sesungguhnya 'ketegasan' itu membantu saya. :)

Selamat bekerja bagi yang bekerja, selamat belajar bagi yang belajar, dan selamat untuk apa-apa sahaja yang dilakukan. :)

p/s: Susahnya nak mencari tajuk yang sesuai. Saya bekerja dalam bidang ini. Selalu saya perlu come out dengan tajuk yang catchy dan bos kata; boleh jual. Tapi, bila kena fikir tajuk untuk karya sendiri, saya sesungguhnya tidak berjaya memaksa otak mengeluarkan tajuk yang catchy dan boleh jual. Huhu....