Monday, October 18, 2010

SS - Tulis Apa yang Kita Tahu

Salam untuk semua pembaca budiman. Sudah pukul 1.13 pagi, mata tidak mahu lelap dan tiba-tiba sahaja saya rasa mahu menulis sesuatu di sini.

Sejak saya bergelar penulis, ramai juga pembaca yang apabila menghantar e-mel ataupun terkini chatting di Facebook akan mengatakan mereka bercita-cita menjadi penulis, namun tidak tahu bagaimana mahu bermula. Rasanya saya pernah menulis tentang tip mulakan penulisan (dari kaca mata Leeya Myra), tetapi saya pun sudah lupa. Tidak mengapa, saya terpanggil untuk mengulang perkara yang sama. :P

Sekiranya terasa susah menulis, tetapi bertekad untuk menjadi penulis, bermulalah dengan menulis apa yang kita tahu berdasarkan persekitaran dan pengalaman kita ada. Mungkin juga impian kita.

Saya beri contoh apa yang saya lakukan:

1. Mencari Cinta.
Watak utamanya memiliki kafe buku; yang mana menjalankan perkhidmatan menjual dan menyewakan pelbagai jenis buku dan komik serta juga disediakan ruang membaca dan ada kafe menjual roti, kek dan minuman. Dalam versi asal, saya letak kedai bunga, namun editor minta ubah, jadi saya pilih kafe buku. Sebenarnya saya dahulu berangan-angan mahu memiliki kedai bunga ataupun kafe buku, jadi, saya terjemahkan impian saya dalam penulisan. (Menjadi kebanggaan saya apabila ada pembaca yang menghantar e-mel mengatakan dia mahu membuka kafe buku sama seperti yang dimiliki oleh watak. Entah sudah terlaksana ataupun belum, saya tidak tahu. Itu adalah impian saya, saya cukup gembira sekiranya ada orang lain dapat melakukannnya.)

2. Sayalah Puteri Raja!
Saya pernah juga berangan-angan menjadi puteri raja. Lalu lahirlah watak Zara yang syok sendiri dan berangan-angan dia anak raja. Selain itu, saya juga kadangkala merasakan pasti seronok sekiranya saya ada kembar dan kembar itu lelaki, maka lahirlah watak Putera Mahkota Adam. Lalu terhasillah trilogi diraja daripada angan-angan kecil saya sendiri.

Ini antara dua contoh yang mana saya menyelitkan 'unsur diri sendiri' (syok sendiri ya)' dalam karya kerana lebih mudah menulis apa yang kita tahu.

Bagi saya, naskhah yang saya tulis ringan sahaja. Saya penulis biasa dari latar belakang biasa. Bukan tidak mahu mencabar diri menulis sesuatu yang lebih berat, namun saya tidak mahu mematikan impian saya mahu menjadi penulis kerana kegagalan terus keluar dengan karya pertama yang hebat. Sebelum Mencari Cinta, saya cuba menulis sebuah kisah agak berat, melibatkan konflik keluarga, pembunuhan, perbicaraan di mahkamah dan sebagainya. Namun saya tidak mampu melakukannya (buat masa itu). Sebab saya tidak mahir. Saya tidak cukup ilmu. Pada masa yang sama saya terdesak untuk 'membetulkan hidup saya yang ketika itu lost'. Jadi, saya memilih menulis sesuatu yang lebih mudah untuk saya. Daripada saya mematikan impian menulis, lebih elok saya bermula dengan apa yang saya tahu.


Tidak semua penulis mampu keluar dengan karya hebat dengan cubaan pertama. Saya amat meminati John Norafizan yang hadir dengan karya-karya yang hebat (di mata saya) di awal kemunculan bersama Creative Enterprise. Namun, saya percaya kehebatan itu kerana pengalaman hidup dan siapa dirinya juga.

Saya juga percaya setiap penulis ada kelebihan masing-masing. Mungkin bagi sesetengah orang termasuk saya sendiri memandang karya saya ringan tetapi percayalah, tanpa kita sedari ada orang lain mendapat manfaat apabila membacanya. Itulah yang saya pelajari apabila menerima komen pembaca yang kadangkala buat sendiri kagum, "Oh, tak sangka itu kesimpulan yang dia dapat daripada karya aku yang begini sahaja."

Seiring masa beredar, kita akan timba lebih banyak pengalaman, lebih banyak ilmu. Saya masih berharap suatu hari nanti, saya akan berjaya menghasilkan novel thriller yang saya cita-citakan.

Jadi, kesimpulannya, kepada yang bercita-cita mahu menjadi penulis, apabila terasa sukar mahu memulakan, mungkin boleh buat seperti yang saya buat. Menulislah perkara yang dekat dengan kita.

Seperti selalu, ini hanya cubaan berkongsi pengalaman menulis: syok sendiri. Sekiranya dirasakan tidak sesuai diaplikasikan, abaikan sahaja.

Selamat menulis! :)

Thursday, October 7, 2010

POEM - Terasing

Salam untuk semua. Ada kenalan penulis tanya adakah saya sibuk kerana blog ini sudah berhabuk.
Sibukkah saya? Hmm... tidak juga. Lebih kepada tidak ada idea mahu menulis di sini. Lagipun, saya tidak ada manuskrip baru yang sedang ditulis (novel dewasa). (Okey, sepatutnya ada, malas sudah melebihi deadline pun, tetapi.... huhu... saya tidak buat apa-apa. Oh, takutnya!)

Jadi, ini sahaja yang mampu saya post di sini. Saya baru tulis lima minit lalu. Merapu sahaja. Ia lebih kepada luahan kekecewaan kerana gagal fokus menulis. (Wah, ada kaitankah? Hahaha)

Terasing

Sendiri
Sepi
Tercari-cari

Sendiri
Keliru
Entah apa dicari

Sendiri
Lelah
Ke mana hendak dituju

Sendiri
Terasing...